Sabtu, 6 Julai 2019 | 10:00am
Kajian mendapati usia meningkat menyebabkan tahap kesuburan berkurangan.
Kajian mendapati usia meningkat menyebabkan tahap kesuburan berkurangan.

Pesakit kanser digalak simpan sperma, telur

Kira-kira 30 hingga 40 peratus pesakit kanser lelaki, proses pengeluaran sperma mereka akan berkurangan atau tiada langsung selepas menjalani rawatan kemoterapi.

Begitu juga, telur atau ovari pesakit kanser payudara atau kanser lain turut menerima kesan ubat kemoterapi yang kuat hingga menjejaskan peluang mereka mendapatkan zuriat selepas menjalani prosedur berkenaan.

Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Pakar Fertiliti, Pusat Perubatan Sunway (SMC), Dr P Kannappan, berkata melihat akan fenomena itu, pasangan yang mendapatkan rawatan di SMC digalakkan menyimpan sperma atau telur mereka di bank fertiliti.

Beliau berkata, bank ini dikhususkan untuk pesakit kanser, sebelum menjalani rawatan kemoterapi sperma lelaki dan telur ovari wanita akan dikeluarkan untuk dibekukan menggunakan nitrogen cecair dan disimpan.

“Biasanya sperma atau telur yang dibekukan itu akan digunakan semula bagi mereka yang inginkan anak dengan pasangan masing-masing.

“Selepas kemoterapi, kekuatan sperma pada lelaki berkenaan tidak sesuai untuk persenyawaan menerusi hubungan biasa dalam dua tahun yang pertama. Ada masa tiada sperma dihasilkan selepas kemoterapi.

“Apa yang kita lakukan di SMC ialah sperma berkenaan akan disenyawakan dengan telur pasangannya menerusi tabung uji (IVF), sebelum embrio disuntik ke rahim wanita,” katanya.

Kajian mendapati usia meningkat menyebabkan tahap kesuburan berkurangan.
Kajian mendapati usia meningkat menyebabkan tahap kesuburan berkurangan.

Ditanya mengenai risiko sama ada kualiti sperma atau telur terjejas disebabkan individu berkenaan mengalami kanser, Dr Kannappan berkata, risiko itu ada tetapi peratusannya begitu rendah.

“Doktor akan memaklumkan pesakit risiko anak yang bakal dilahirkan nanti berkemungkinan boleh menghidap kanser, namun kebarangkalian agak kecil atau tidak sama sekali,” katanya.

Dr Kannappan berkata, wanita yang kahwin lambat turut digalakkan menyimpan telur mereka kerana kajian menunjukkan apabila usia meningkat tahap kesuburan berkurangan.

“Pemeriksaan mendapati wanita berusia 35-36 tahun dan lambat berkahwin, telur mereka sudah kurang, sekali gus mempengaruhi peluang untuk hamil,” katanya.

Syarat menyimpan sperma dan telur pasangan Islam

  • Pasangan Islam dibenar menyimpan telur atau sperma dalam tempoh perkahwinan, apabila sudah bercerai telur atau sperma perlu dimusnahkan.
  • Persenyawaan IVF bagi orang Islam tidak boleh dilakukan sebelum perkahwinan atau selepas bercerai kerana mengikut undang-undang negara, anak yang dilahirkan perlu didaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
  • JPN pula tidak akan menerima pendaftaran sekiranya tiada sijil nikah yang sah.
  • Sperma bank di Malaysia, bukanlah untuk orang lain seperti dilakukan di negara Barat.
  • Sperma hanya untuk kegunaan sendiri ketika individu berkenaan masih hidup.
  • Sekiranya pesakit kanser menjalani kemoterapi meninggal, sperma atau telur beliau tidak boleh dituntut ahli keluarga mahupun pasangannya.
  • Telur atau sperma perlu dimusnahkan seperti termaktub dalam aku janji yang ditandatangani.
  • Undang-undang di Malaysia, anak dilahirkan pasangan mestilah suaminya masih hidup. Jika tidak anak itu dikategorikan sebagai anak tidak sah taraf.
  • INFO

  • Kemandulan adalah kegagalan untuk hamil selepas persetubuhan biasa selama dua tahun tanpa adanya patologi reproduktif.
  • IVF ialah telur dan sperma adalah semula jadi bercampur bersama semalaman, manakala ICSI hanya satu sperma akan disuntik setiap telur.
  • Hanya dua peratus risiko ICSI akan gagal, berbanding 20 peratus bagi IVF.
  • Berita Harian X