Isnin, 24 Jun 2019 | 7:23pm
Daging merah. - Foto hiasan

Kurang menu daging merah hidup lebih sihat

KAJIAN membuktikan pengurangan pengambilan daging merah dengan diganti ayam atau ikan memanjangkan usia seseorang.

Hanya hanya menggantikan satu hidangan daging merah setiap hari bersama kepingan ikan mengurangkan risiko kematian awal sehingga 17 peratus disebabkan pelbagai komplikasi penyakit.

Penyelidik dari Universiti Harvard, mendapati sajian ayam tanpa kulit atau sayuran mengelakkan kematian pramatang sehingga 10 peratus. Sekiranya daging digantikan dengan telur pula, mengurangkan kematian awal sehingga lapan peratus.

Kajian juga mendapati pengambilan bijirin penuh menggantikan daging dapat mengurangkan kematian awal sehingga 12 peratus.

Hasil penyelidikan yang diterbitkan Jurnal Perubatan turut melaporkan pengambilan daging merah tidak banyak manfaat kepada kesihatan.

Tukar sosej dan kepingan sandwich daging dengan ikan boleh memanjangkan usia sebanyak 25 peratus. Manakala tukar kepada ayam 17 peratus dan sayur-sayuran 18 peratus.

Penyelidikan amalan diet membabitkan lebih 81,000 penduduk Amerika Syarikat dengan perubahan tabiat makanan dipantau selama lapan tahun dan tambahan lagi lapan tahun bertujuan mengesan impak diet ke atas tahap kesihatan mereka.

Kekacang, bijirin sumber protein terbaik

Keputusan menunjukkan mereka yang menambah pengambilan daging merah sekurang-kurangnya setengah saiz hidangan selama lapan tahun mengurangkan risiko kematian awal sehingga 10 peratus.

Namun bagi yang mengurangkan pengambilan daging tetapi menukarkan kepada ayam, ikan dan telur, berjaya menurunkan risiko peratus kematian.

Ketua Penyelidik Prof Frank Hu mendapati, kajian menunjukkan daging merah dan makanan proses berkait rapat dengan risiko penyakit kencing manis, jantung dan kanser usus.


Ketua Penyelidik Prof Frank Hu.

Beliau berkata, pengurangan pengambilan daging merah dan penambahan pengambilan kekacang, ayam tanpa kulit, susu, telur, bijirin penuh dan sayuran selama lapan tahun, mengekalkan kecergasan selain menikmati hidup lebih sihat.

“Penemuan ini mencadangkan umum menukar protein mahupun sayuran dan kekacang boleh memanjangkan usia. Pakar mencadangkan diet 'mediterranean' iaitu memilih ikan sebagai sumber protein selain kekacang dan sayur adalah pilihan terbaik dalam mengekalkan kesihatan sekali gus membantu meningkatkan jangka hayat seseorang.

“Untuk membaiki tahap kesihatan dan alam semula jadi, sangat penting mengamalkan cara diet mediterranean lain yang menekankan pemakanan sihat,” katanya.

Subsidi sajian berkhasiat

Mengulas isu berkaitan, Pengarah kajian Dana Kajian Kanser Sedunia, Dr Giota Mitrou menyatakan kajian terbaharu membuktikan pengambilan daging merah dan makanan proses meningkatkan risiko kanser.


Pengarah kajian Dana Kajian Kanser Sedunia, Dr Giota Mitrou.

“Faktor lain termasuk persekitaran tempat tinggal mereka, kami menggesa kerajaan mengambil langkah dan memperkenalkan polisi seperti subsidi harga ke atas makanan sihat seperti sayur dan buah-buahan bagi membolehkan orang ramai menikmati sajian berkhasiat pada harga berpatutan.

“Kami cadangkan jangan ambil lebih dari tiga hidangan daging merah setiap minggu. Ini memberikan keseimbangan antara kelebihan daging merah sebagai sumber nutrien. Bagaimanapun, kami mencadangkan jangan makan langsung daging yang sudah diproses,” katanya.


Sumber protein lain bagi menggantikan daging merah. - Foto hiasan

INFO

• Sajian tinggi serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan mengekalkan kecergasan selain melancarkan sistem pencernaan.

• Dapatkan sumber karbohidrat daripada roti bijirin penuh, beras perang dan kentang.

• Makan 30 gram serat sehari seperti makan semua lima bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk bijirin gandum, dua keping tebal roti gandum dan kentang panggang berkulit.

• Alternatif memilih tenusu (seperti minuman soya) bagi mendapatkan lemak rendah dan pilihan gula rendah.

• Sumber sumber protein lain seperti ikan, telur atau daging setiap minggu dan setiap satunya perlu berminyak.

• Pilih minyak tak tepu untuk menu harian

• Minum enam hingga lapan gelas air putih sehari

• Orang dewasa harus mempunyai kurang enam gram garam dan 20 gram lemak sehari.

Berita Harian X