Sabtu, 15 Jun 2019 | 10:00am
SALMON kaya dengan asid lemak Omega 3, iaitu eikosapentatonik asid (EPA) dan asid dokosaheksanoik (DHA). - Foto Reuters
CEF Jimmy Chok mengajar dua resipi ringkas ikan salmon dan trout fjord, iaitu Panfried Norwegian Salmon/Fjord Trout dihidang bersama kentang, hirisan timun jeruk, hancuran dill dan mayonis perahan limau. - Foto Rohanis Shukri

Salmon kaya omega 3 baik untuk jantung

IKAN isi merah sangat bermanfaat untuk kesihatan dan spesies salmon antara yang kaya dengan sumber protein lengkap. Spesies yang banyak di Lautan Pasifik dan Atlantik ini kaya dengan asid lemak Omega 3, iaitu eikosapentatonik asid (EPA) dan asid dokosaheksanoik (DHA).

Spesies daripada keluarga Salmonidae tersenarai antara lima ikan terbaik untuk diet harian selain sardin, rainbow trout, tuna dan tilapia. Sumber protein lain, iaitu kembung dan mackerel.

Salmon memilih untuk tinggal di tasik besar ini, menjadikan habitat air tawar sebagai tempat menetas sebelum berpindah ke laut, sebelum kembali semula ke air tawar untuk membiak, selain hanya mampu hidup dalam air tawar.

Bagi penggemar sajian berasaskan ikan, pemilihan ikan isi merah digalakkan bagi mendapatkan diet seimbang. Pelbagai manfaat selain menurunkan trigliserida, tekanan darah, keradangan, degenerasi makula, kurang risiko jantung dan strok.

Selain kebaikan Omega 3, salmon antara ikan yang mempunyai nutrisi tinggi, iaitu Vitamin B2 (riboflavin) dan B12, Vitamin D, kalsium, fosfor, dan mineral seperti zat besi, seng, yodium, magnesium, kalium dan selenium.

Faktor geografi dengan kawasan perairan Norway yang sejuk dan bersih menghasilkan salmon dan trout fjord berkualiti. Hasil laut ini dipasarkan ke 100 negara dalam tempoh beberapa jam selepas ditangkap.

Sajian ringkas kekal khasiat

Majlis Makanan Laut Norway kini giat mempromosikan ikan ini bertujuan menggalakkan pengguna menikmati ikan yang dibawa terus dari negara berkenaan untuk dimanfaatkan khasiatnya.

Promosi bersama isteri diplomat Spouses of Heads Diplomatic Missions (SOHOM) dan Persatuan Wanita Kementerian Luar (PERWAKILAN) menerusi program kelas masakan.

Dikendalikan cef duta berpengalaman, Cef Jimmy Chok, mengajar dua resipi ringkas ikan salmon dan trout fjord, iaitu Panfried Norwegian Salmon/Fjord Trout dihidang bersama kentang, hirisan timun jeruk, hancuran dill dan mayonis perahan limau.


CEF Jimmy Chok. - Foto Rohanis Shukri

Bagi memenuhi selera tempatan resipi enak gulai tumis ikan Salmon/ Fjord Trout, dimasak begitu enak dan mudah disediakan.

Cef Jimmy berkata, sebaik-baiknya ikan tidak dimasak terlalu lama atau hingga layu jika mahu mengekalkan nutrien asal.

“Ramai suka memasak lama sedangkan spesies ini tidak perlu dimasak lama supaya lemaknya kekal. Begitu juga trend memasak mengetuk kuali dan sudip terlalu kuat, sedangkan perbuatan itu tidak membuatkan rasanya berubah menjadi lazat,” katanya.

Program mendapat kerjasama Kedutaan Norway. Yang hadir sama Duta Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset serta Pengarah Asia Tenggara, Majlis Makan Laut Norway, Jon Erik Steenslid.


DUTA Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset (tiga dari kiri) bergambar bersama orang ramai ketika menghadiri kelas masakan di KDU University College. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Fakta salmon Norway

* Kaya sumber asid lemak Omega 3

* Satu hidangan salmon 150 gram memenuhi keperluan mingguan Omega 3, seperti dicadangkan Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA).

* Ikan trout Fjord Norway serupa ikan salmon tetapi dagingnya berwarna merah jingga mendalam dengan marbling' putih, iaitu corak lemak putih (kandungan lemak di antara serat otot) memberikan rasa mewah.

* Trout Fjord Norway kulit berkilat dan berwarna perak seperti ikan salmon.

INFO

Kebaikan salmon

- Tambah nutrisi baik untuk wanita hamil dan bayi dalam kandangan.

- Kandungan merkuri lebih rendah kurangkan risiko gangguan proses pengembangan sistem saraf bayi.

- Mencegah kemurungan

- Asid lemak Omega 3 yang terkandung di dalam ikan bertindak sebagai penawar antidepresi .

Menyokong perkembangan otak

- Bagi kanak-kanak, salmon yang diperkaya Omega 3 EFA meningkatkan keupayaan perkembangan otak anak

Perkembangan otak kanak-kanak

- Asid lemak Omega 3 dalam salmon baik bagi mereka yang mengalami gangguan defisit perhatian (ADHD).

- Mencegah sakit jantung dan strok

- Kekerapan mengambil salmon dalam diet harian mengurangkan risiko serangan sakit jantung.

Membantu penghasilan hormon dan menstabilkannya

- Fungsi utama Vitamin D adalah penghasilan hormon.

Berita Harian X