Sabtu, 2 March 2019 | 1:42pm
Foto hiasan.

Demam berulang bukan biasa, kemungkinan anak menghidap kanser

Jangkitan dan demam adalah perkara biasa dialami anak kecil, mungkin juga situasi itu sebahagian daripada amaran kanser yang perlu diawasi oleh ibu bapa sekiranya keadaan itu berpanjangan atau berulang, tidak sembuh melebihi tiga minggu.

Simptom lain perlu diperhatikan termasuk kemunculan bengkak atau ketulan luar biasa seperti pada tangan atau kaki yang tidak dipastikan puncanya, terutama jika saiz bengkak semakin membesar.

Leukemia akut adalah kanser paling kerap dihadapi kanak-kanak, membabitkan satu pertiga daripada jumlah kanser dalam kalangan golongan berkenaan.

Lazimnya demam dihidapi kanak-kanak datang dan pergi, sakit sendi atau kecenderungan pendarahan, lebam, berdarah hidung, gusi dan kelihatan pucat.

Ibu bapa mudah terlepas pandang penampilan pucat pada peringkat awal, hanya selepas orang luar atau saudara rapat melihat perubahan mereka.

Jalani ujian

Pakar Hemaotologi Pediatrik dan Onkologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Eni Juraida Abd Rahman, berkata kanser berbeza menunjukkan tanda berlainan dan berkemungkinan tidak begitu khusus.


Foto hiasan.

Beliau berkata, jangkitan dan demam adalah perkara biasa bagi kanak-kanak tetapi apabila demam berpanjangan atau berulang, perhatian secara menyeluruh perlu diberikan.

Katanya, namun ada juga penyakit yang memiliki tanda sama tetapi bukan kanser.

“Secara amnya kanser pada kanak-kanak boleh membabitkan mana-mana organ seperti otak, hati dan buah pinggang,” katanya.

Dr Erni Juraida berkata, apabila kanak-kanak disyaki mempunyai kanser ibu bapa dinasihatkan menjalani ujian yang perlu seperti disarankan pakar untuk mengesahkan penyakit.

Katanya, sekiranya ujian positif ibu bapa perlu menerima kenyataan anak mereka menghidap kanser.

“Jika mereka tak dapat menerimanya rawatan sukar diteruskan termasuk jangkaan apa yang bakal berlaku ketika proses terapi, terutama kesan sampingan.

“Hasil rawatan bergantung jenis kanser dan tahap penyakit. Secara keseluruhan, kanser kanak-kanak berpotensi dirawat yang mana mungkin membabitkan pembedahan atau kemoterapi,” katanya.

Prosedur bedah, kemoterapi

Beliau berkata, kemungkinan rawatan yang diperlukan adalah gabungan prosedur pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.

“Semua kaedah ini mempunyai kesan sampingan. Sebelum memulakan rawatan, ibu bapa diberi nasihat mengenai kesan sampingan ubat-ubatan pada anak. Sekiranya ada, sejauh mana tahap kesan berkenaan sepanjang tempoh rawatan.

“Tidak balas individu terhadap ubat sama mungkin berbeza walaupun kemoterapi lebih kepada rawatan tumor. Pastinya ada sedikit kesan pada tisu normal seperti jantung, paru-paru, buah pinggang. Sesetengah ubat mempunyai kesan terhadap otak dan sistem saraf,” katanya.

Katanya, terdapat beberapa ubat boleh menjejaskan kesuburan kanak-kanak lelaki. Keluarga akan dimaklumkan bahawa ini mungkin berlaku supaya mereka tidak terkejut pada kemudian hari.

Di Malaysia, bank sperma untuk kanak-kanak yang lebih tua tidak diamalkan tetapi di luar negara ini ditawarkan kepada pesakit.

Info

* Usia pediatrik:

- Antara 0 sehingga 18 tahun.

- Penjagaan pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak secara amnya adalah sehingga 12 tahun.

- Sesetengah pusat melanjutkan penjagaan kepada pesakit berumur sehingga 15 tahun.

* Diagnosis rawatan dan jenis kanser pediatrik:

- Di bawah skop pakar onkologi pediatrik.

*Risiko selepas rawatan:

- Berisiko berulang

- Rawatan lengkap dan bebas penyakit selama beberapa tahun, dianggap sembuh.

- Rawatan susulan sepanjang hayat:

* Awasi penyakit berulang (relaps)

- Kesan sampingan rawatan

- Risiko kemunculan malignan kedua.

*Statistik pulih:

- Leukemia limfoblastik akut (Eropah dan Amerika Syarikat)-kadar pulih sehingga 90 peratus.

- Tumor Wilm (tumor buah pinggang paling biasa pada kanak-kanak);

- Kanser tahap 1-kadar pulih 90 peratus.

- Kanser tahap 4-kadar pulih 60 sehingga 70 peratus.

Berita Harian X