Khamis, 28 Februari 2019 | 2:28pm

Kos rawat anak tidak divaksin tinggi, membebankan kerajaan, keluarga

KUALA LUMPUR: Keluarga kanak-kanak yang tidak mengambil vaksin seperti ditetapkan menerusi Program Imunisasi (NIP) Kebangsaan (NIP) terpaksa menanggung kos lebih tinggi kerana perlu menjalani pelbagai prosedur rawatan.

Pegawai Perubatan Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Marieanne Sundram, berkata sebelum meneruskan rawatan, pakar perlu menjalankan pelbagai penilaian terhadap pesakit berikutan risiko mereka berdepan komplikasi adalah tinggi.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan akan menjalani proses pengasingan untuk melihat tahap keseriusan penyakit dihadapi.

Ketahanan badan lebih rendah

“Sistem ketahanan badan individu terutama kanak-kanak yang tidak divaksin lebih rendah berbanding yang mendapatkan imunisasi.

“Sebelum menjalani rawatan lanjut, pesakit yang tidak menerima suntikan akan diasing dalam bilik khas jika rawatan awal tidak menunjukkan tindak balas positif.

“Kita menerima kemasukan semua pesakit termasuk yang tidak diberi vaksin untuk rawatan terbaik dalam keadaan kritikal kerana ia prosedur standard di semua pusat rawatan.

“Bagaimanapun, sudah pasti mereka perlu menjalani pelbagai prosedur yang dengan sendirinya meningkatkan kos rawatan,” katanya.

Dr Marieanne mengulas keengganan ibu bapa menghantar anak mendapatkan suntikan vaksin menerusi program NIP hingga menyebabkan masalah sistem imun badan yang rendah serta mudah dijangkiti penyakit.

Katanya, pesakit tidak dimasukkan ke bilik pengasingan serta-merta ketika datang mendapatkan rawatan, sebaliknya perlu menjalani lima peringkat pemeriksaan selepas dua hari ditempatkan di wad.

“Pakar akan menjalankan pelbagai prosedur tambahan bagi mengesahkan punca sebenar penyakit, ia agak rumit berbanding kanak-kanak yang mendapat vaksin,” katanya.

Mengulas isu sama, Pakar Pediatrik KPJ Selangor Specialist Hospital, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata pihaknya menawarkan khidmat rawatan kepada pesakit walaupun ibu bapa mengesahkan anak mereka tidak menerima suntikan sejak dilahirkan.

Katanya, pengamal perubatan tidak menolak pesakit yang tidak menerima vaksin ketika berdepan situasi terdesak, terutama risiko komplikasi ketika menjalani rawatan.

“Semua kes yang dirujuk diberi rawatan terbaik walaupun kami mengetahui pesakit terutama kanak-kanak tidak mendapat suntikan sebelum ini,” katanya.

Berita Harian X