Sabtu, 23 Februari 2019 | 10:22am
FOTO hiasan.

Najis berdarah: Kanser atau buasir?

Setiap kali berak bercampur darah masing-masing membuat andaian berpunca daripada pengambilan makanan pedas atau perut meragam.

Perubahan tektur najis itu sendiri dilihat petanda jelas memerlukan anda menjalani pemeriksaan segera bagi mencari puncanya yang sering dikaitkan dengan kanser kolon atau ‘cancer colorectal’.

Pakar Onkologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Nik Muhd Aslan Abdullah, berkata individu berkenaan akan mengalami kesan sampingan antaranya sakit bahagian perut, kembung dan cirit-birit berterusan.

Selain mengalami kurang selera makan dan anemia yang memungkinkan anda menghidap kanser tahap tiga.

Katanya, simptom berkenaan tidak semestinya kanser, mungkin juga boleh berpunca daripada masalah usus lain yang tidak berkaitan kanser.

“Bagaimanapun jika seseorang sudah berusia lebih 50 tahun atau mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser, mereka disaran membuat pemeriksaan segera.

“Terdapat juga kes di mana simptom ini jelas dan pesakit beranggapan tidak mungkin kanser dan enggan membuat ujian. Mereka beranggapan pendarahan disebabkan buasir, sehinggalah usus besar berada dalam keadaan parah,” katanya.

Dr Nik Muhd Aslan, berkata keadaan itu berlaku pada usus besar atau bahagian rektum penghujung usus besar dengan saiz dianggarkan 15 sentimeter.

Kedua-duanya terdapat perbezaan dari segi prosedur rawatan.


MAKANAN kaya serat bantu pencernaan. - foto hiasan

Beberapa cara mengesan kanser ini, sama ada pemeriksaan najis untuk mengesan darah yang tidak nampak dengan mata kasar (faecal occult blood test) atau pemeriksaan endoskopik.

Pemeriksaan awal mendapati kanser yang menyerang tidak mengenal jantina itu, membabitkan individu yang mengamalkan diet tinggi lemak, berat badan berlebihan dan perokok tegar.

“Kebarangkalian mendapat kanser meningkat atas faktor usia. Peratusan kes meningkat pada usia di antara 45 hingga 50 tahun.

“Kanak-kanak atau remaja jarang mendapat kanser ini, jika ada membabitkan sebahagian kecil dalam kalangan yang mengalami berat badan berlebihan,” katanya.

Individu dewasa sekitar usia awal 30 juga berkemungkinan mendapat sporadi kanser walaupun mereka tidak ada sejarah dalam keluarga menghidap kanser kolon.

“Selain kes sporadik ini, ada juga generasi muda mendapat kanser awal disebabkan penyakit usus lain contohnya ‘Familial Adenomatous Polyposis’ dan `Hereditary Nonpolyposis Colorectal Cancer’. Kes ini ada, namun kadarnya kecil sekitar 5 peratus,” katanya.

Beliau berkata, secara ringkas kanser berkenaan terdapat empat tahap, iaitu Tahap I, Tahap II, Tahap III dan Tahap IV. Perubahan tahap setiap satunya mengambil masa.

“Kanser tahap I mempunyai peluang 95 peratus untuk sembuh. Lebih tinggi tahap dikesan, makin berkurang proses penyembuhan.

“Peratusan sembuh untuk kanser Tahap III pula berkurangan kepada 70 peratus. Bagi kanser yang dikesan pada tahap akhir pula, rawatan bukan untuk sembuh tetapi mengawal kanser dan melegakan simptom,” katanya.

Prosedur rawatan:

* Pembedahan

- Mengeluarkan kanser dari badan hanya untuk yang mengalami kanser tahap awal.

- Pembedahan kanser kolon dan rektum berbeza tetapi kedua-duanya berkesan. Pembedahan berkesan untuk memastikan kanser tidak berulang pada usus sama.

* Kanser rektum risiko kanser berulang di kawasan rektum (pelvis) bergantung kepada tahap.

- Rawatan lanjutan untuk tahap tinggi dengan prosedur pembedahan disusuli radioterapi serentak kemoterapi. Ini bagi mengelak kanser berulang di kawasan pembedahan.

* Radioterapi, Kemoterapi

- Untuk kanser kolon dan rektum bagi mengelak kanser berulang sama ada di kawasan asal kanser mahupun berulang dengan merebak ke organ lain.

- Prosedur rawatan diputuskan pakar selepas pesakit menjalani beberapa siri saringan kesihatan.

INFO

* Kanser kolorektal termasuk kanser rektum dan kanser kolon.

* Kanser kolorektal juga dipanggil adenokarsinoma membentuk 98 peratus.

* 80 peratus kes kanser kolorektal di Malaysia didiagnosis orang berusia 50 tahun ke atas.

* Diet barat, obesiti dan merokok antara penyebab utama kanser kolon.

Pilihan makanan tingkat kesihatan kanser

* Mengandungi serat

* Sayur-sayuran hijau

* Buah-buahan (beri)

Berita Harian X