Rabu, 20 Februari 2019 | 11:05am
Chef de Partie, Prince Court Medical Centre, Asiah Daud menunjukkan cara memasak hidangan khas untuk menaikkan selera pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan. - Foto Owee Ah Chun
Chef de Partie, Prince Court Medical Centre, Asiah Daud menunjukkan cara memasak hidangan khas untuk menaikkan selera pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan. - Foto Owee Ah Chun

Jangan silap! Susu dan daging bukan punca kanser merebak

Adakah benar daging merah dan susu perlu dihindari kerana kononnya didakwa mengandungi hormon yang boleh menyebabkan merebaknya sel kanser.

Selain elakkan pengambilan gula yang dikatakan merangsang pertumbuhan sel kanser tetapi sejauh manakah kebenarannya?

Ini antara dakwaan mengaitkan makanan dengan kanser yang membuatkan orang ramai terutama penghidapnya keliru sehingga tidak tahu apa perlu dimakan atau dielakkan.

Pengurus Pengubahsuaian Gaya Hidup, Pusat Perubatan Prince Court PCMC, Datin Farah Diba Khan, berkata semua dakwaan itu mitos semata-mata.

Beliau berkata, gula tidak menyebabkan kanser berkembang dengan lebih cepat tetapi tidak dinafikan pengambilannya tidak memperlahankan pertumbuhan sel kanser.

“Tiada data menunjukkan hormon dalam susu boleh terus berada dalam sistem penghadaman atau mengeluarkan komponen yang boleh memberikan kesan biologi,” katanya.

Pakar Onkologi, Prince Court Medical Centre, Dr Muhammad Azrif bercakap mengenai kanser dan nutrisi pada pelancaran " Bring Back The Joy Of Eating" di Auditorium Prince Court Medical Centre. - Foto Owee Ah Chun

Hilang selera makan

Beliau berkata demikian pada pelancaran buku 'Bring Back The Joy Of Eating', mengandungi maklumat pemakanan untuk pesakit kanser terbitan Nestle Health Science dengan kerjasama PCMC di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Farah Diba berkata, sistem tubuh manusia tidak dapat mengenalpasti hormon lembu dan tidak boleh memberikan kesan ke atas manusia.

Katanya pesakit kanser biasanya kehilangan khasiat pemakanan atau nutrisi akibat hilang selera kesan rawatan dijalani.

Ini mengakibatkan terapi dijalankan kurang berkesan dan lambat untuk pulih.

Justeru, beliau berkata, pengambilan makanan berkhasiat penting untuk mencegah kanser sama ada sebelum atau ketika mendapatkan rawatan kanser.

Beliau menasihatkan makan mengikut kaedah pinggan sihat iaitu mengandungi karbohidrat, protein dan lemak pada saiz segenggam tangan kerana setiap nutrien didalamnya membantu tubuh melawan sel kanser.

Pengurus, Pusat Pengubahsuaian Gaya Hidup, Prince Court Medical Centre, Datin Farah Di Ba Khan. - Foto Owee Ah Chun
Pengurus, Pusat Pengubahsuaian Gaya Hidup, Prince Court Medical Centre, Datin Farah Di Ba Khan. - Foto Owee Ah Chun

Dari kiri, Pakar Dietetik, Judy Ng, Ketua Pegawai Operasi Prince Court Medical Centre, Mahenthiran Thanapal, Pengurus Kawasan Jualan, Nestle Health Science, Marcus Lam dan Chef de Partie, Prince Court Medical Centre, Asiah Daud melancarkan " Bring Back The Joy Of Eating" di Auditorium Prince Court Medical Centre. - Foto Owee Ah Chun

Diet buah-buahan, sayur-sayuran

Sementara itu, Pakar Perunding Onkologi, PCMC, Dr Muhammad Azrif Ahmad Annuar, berkata kira-kira 30 peratus kanser boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat terutama apabila usia mencecah 40 tahun ke atas.

“Punca utama kebanyakan kanser adalah disebabkan amalan merokok, berat badan berlebihan atau obesiti, kurang makan sayur dan buah-buahan, diet tinggi daging merah selain terdedah kepada radiasi.

“Sebaiknya makan lima hidangan buah-buahan dan sayuran setiap hari dengan menjadikan pilihan itu sebahagian daripada snek apabila lapar,” katanya.

Kurangkan pengambilan garam termasuk makanan diproses dan gula seperti minuman ringan, jus, minuman untuk sukan serta campuran kopi atau teh tiga dalam satu.

Bekas pesakit kanser Nasophayrngeal Karsinoma, Wan Asmakusairi Wan Daud. - Foto Owee Ah Chun
Bekas pesakit kanser Nasophayrngeal Karsinoma, Wan Asmakusairi Wan Daud. - Foto Owee Ah Chun

INFO: Mitos dan Fakta makanan dan kanser:

Makanan organik:

Fakta: Tiada kajian menunjukkan makanan organik mengurangkan risiko kanser. Kajian menunjukkan tiada perbezaan kualiti nutrisi antara kaedah tanaman konvensional berbanding organik.

Makanan ‘superfood’ mencegah kanser:

Fakta: Tiada isitilah ‘superfood’ dan hanya digunakan untuk tujuan pemasaran.

Tubuh perlu dibersihkan daripada toksin yang menjadi punca kanser:

Fakta: Tiada bukti saintifik produk ‘pembersihan’ atau prosedur yang boleh mengeluarkan toksin daripada tubuh.

Berita Harian X