Ahad, 20 Januari 2019 | 11:59am
BISUL boleh tumbuh di muka, leher, ketiak, punggung atau paha. - foto hiasan

Mengapa tumbuh bisul di kaki, ketiak

KITA sering dimomokkan dengan sangkaan mereka yang tidak menjaga kebersihan, berhadapan dengan masalah darah kotor dan mudah ditumbuhi bisul.

Ada yang percaya mereka yang gemar duduk atas bantal akan mengalami masalah sama hingga amalan itu sering ditegah dan menjadi pantang larang orang terdahulu.

Bisul adalah penyakit normal dalam kalangan masyarakat. Sikap acuh tidak acuh menyebabkan penghidapnya tidak mendapatkan pemeriksaan.

Sikap itu mengundang padah kerana bisul yang serius boleh menyebabkan berlaku kegagalan organ hingga membawa maut.

Pakar dermatologi UiTM Private Specialist Centre ( UPSC), Dr Tarita Taib, berkata bisul boleh tumbuh di mana-mana bahagian tubuh tetapi kerap muncul di muka, leher, ketiak, punggung atau paha.

Katanya, kawasan berkenaan mempunyai rambut, kerap berpeluh dan mudah bergesel.

Penyakit ini mungkin remeh bagi sesetengah individu dan sering diabaikan kerana diyakini tidak memberi kesan serius sedangkan tanpa mereka sedari, gangguan ini boleh mengancam nyawa.

Dalam beberapa kes, bakteria daripada bisul memasuki aliran dan bergerak ke bahagian lain hingga berlaku kesan keracunan dalam darah (septisemia) dan boleh meragut nyawa.


DR Tarita Taib. Foto Eizairi Shamsudin

“Walaupun kebanyakan gangguan pada kulit tidak membahayakan nyawa tetapi tidak dinafikan, apabila tumbuh bisul individu perlu memberi perhatian serius dengan berjumpa doktor untuk mengelak tidak selesa terutama pada bahagian punggung.

“Bisul boleh terjadi dalam kelompok yang dikenali sebagai karbunkel (bisul besar) mahupun jenis boil (bisul kecil).

“Karbunkel, kelompok bisul berlaku bahagian belakang leher, bahu atau paha lebih-lebih lagi dalam kalangan lelaki dewasa. Keadaan ini berisiko berlaku jangkitan lebih dalam dan teruk berbanding bisul tunggal.

“Keadaan bisul berkembang dan proses pemulihannya perlahan selain meninggalkan parut. Biasanya pesakit akan mengalami demam panas apabila karbunkel berlaku.

“Bisul biasanya bermula dengan kesan bengkak ketulan merah, berisi nanah, membesar, mempunyai titik mata dan menjadi lebih sakit sehinggalah pecah. Nanah dan biji punat berwarna putih bercampur darah mengalir keluar.

“‘‘Walaupun bisul akan hilang selepas beberapa hari, kebanyakannya mengambil selama dua minggu untuk benar-benar sembuh,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa saja boleh menghidap jangkitan, namun risiko lebih tinggi kepada pesakit diabetes, sistem imun rendah, wanita mengandung, pesakit kanser, individu kulit berjerawat dan masalah berkaitan kulit.

“Kekerapan berlaku biasanya dua hingga tiga kali setahun. Tetapi jika anda mengalami setiap bulan, disarankan berjumpa doktor bagi mengenalpasti masalah sebenar.

“Biasanya, kita akan periksa sama ada kekerapan bisul disebabkan anda menghidap diabetes atau disebabkan faktor lain,” katanya.

Kegagalan pesakit mendapatkan rawatan awal menyebabkan bisul melarat sehingga perlu menjalani prosedur pembedahan.


BISUL juga dikenali sebagai karbunkel (bisul besar) mahupun jenis boil (bisul kecil). Foto hiasan

“Walaupun kebanyakan mengambil jalan singkat merawat sendiri bisul seperti menyapu krim dan memicit bisul. Sepatutnya jangan picit kerana dikhuatiri berlaku jangkitan.

“Jangkitan perlu dirawat dengan antibiotik atau pembedahan kecil bagi mengelak melarat,” katanya.

“Bisul seperti ketulan menyakitkan berwarna merah jambu atau merah dengan saiz lebih kurang setengah inci diameter. Kulit di sekelilingnya akan kelihatan merah dan bengkak, terasa panas, boleh menyebabkan demam dan lenguh di bahagian tertentu seperti ketiak.

“Bisul kecil selalunya pulih tanpa meninggalkan parut tetapi bisul besar mungkin akan meninggalkan tanda di kulit,” katanya.

Ia berlaku apabila satu atau lebih daripada folikel rambut – injap berbentuk tiub dari mana rambut tumbuh – dijangkiti bakteria stafilokokus aureus.

Bakteria stafilokokus menyebabkan bisul dan masuk melalui luka pada kulit.

“Sebaik ini terjadi, sel darah putih khas iaitu neutrofil akan ‘meluru’ ke kawasan terbabit untuk melawan jangkitan, menyebabkan inflamasi (radang) dan nanah yang kita lihat itu sebenarnya terbentuk daripada– satu campuran sel darah putih lama, bakteria dan sel kulit mati,” katanya.

Beliau berkata, soal pemakanan tidak ada kena-mengena dengan bisul, sebaliknya perlu menjaga kebersihan badan.

“ Misalnya, penggunaan gunting dan pencukur bulu perlu dalam keadaan baik, selamat digunakan dan tidak kotor atau berkarat bagi mengelak pembentukan bisul.

Elakkan menggunakan ubat kampung yang tidak diiktiraf kerana tiada kajian saintifik membuktikan mampu menyembuhkan bisul.

info

Apa penyebab Bisul?

* Bisul disebabkan oleh bakteria pada rambut folikal dan sekeliling kulit yang mana pada mulanya muncul sebagai jerawat. Bakteria yang paling biasa membentuk bisul dipanggil Staphylococcus aureus.

Siapakah berisiko mendapat bisul?

* Mereka yang kurang menjaga kebersihan diri.

* Kawasan penempatan yang sesak seperti di intitusi dan rumah kebajikan.

Atopy (alahan).

* Ahli keluarga yang mengalami jangkitan kulit berulang.

Sistem imuniti badan yang lemah.

* Kurang zat makanan.

* Pesakit diabetes.

Apakah tanda bisul?

* Nanah di bahagian tengah bisul.

* Keputihan, lelehan mengandungi darah daripada bisul tersebut.

* Kemerahan di sekeliling kulit yang dijangkiti.

* Biasanya teramat sakit apabila disentuh.

Rawatan

* Antibiotik yang bersesuaian (semasa).

* Melakukan demahan suam untuk menggalakkan aliran nanah.

* Pemberian ubat antibiotik secara oral atau suntikan berdasarkan keseriusannya.

* Melakukan pembedahan kecil untuk mengeluarkan nanah.

Berita Harian X