Isnin, 7 Januari 2019 | 3:00pm
Kentut vagina berbau dan berdarah perlu rawatan segera.

Kentut vagina berbau, berdarah perlu rawatan segera

llahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Kentut vagina bukanlah sesuatu yang bahaya, namun jika berbau, tidak selesa dan berlaku pendarahan, keadaan ini memberi isyarat anda perlu menjalani pemeriksaan segera.

Mengulas perkara itu, pegawai perubatan, Dr Erna Nadia Noordin, berkata antara punca berlaku antaranya tekanan dalam menjalani kehidupan harian hingga membawa kedinginan hubungan intim bersama pasangan.

Beliau berkata, kentut vagina berlaku kesan daripada angin dibebaskan keluar melalui faraj. Sifatnya tidak berbau dan tidak berwarna.

Situasi ini katanya, adalah biasa dan tidak bahaya, namun pasangan yang kerap mengalami masalah ini tidak boleh memandang mudah dan seeloknya mendapatkan nasihat pakar.

“Terdapat situasi tidak normal jika berlaku kentut vagina yang disertai bau atau darah. Keadaan ini tidak normal dan biasanya membabitkan individu mempunyai masalah fistula mengakibatkan najis dari usus atau rektum masuk ke dalam faraj,” katanya.

Dr Erna Nadia berkata, terdapat banyak perkara menyebabkan kentut vagina, antaranya berkaitan aktiviti seksual.

Beliau berkata, posisi tidak betul sewaktu hubungan seksual menyumbang masalah ini. Faktor lain termasuklah memasukkan sesuatu ke dalam faraj, contohnya penggunaan tampon sewaktu haid juga boleh menyebabkan masalah ini berlaku.

Batuk jejas otot vagina

Selain itu katanya, keadaan tubuh badan wanita itu sendiri memainkan peranan terutama bagi mereka yang pernah hamil dan melahirkan. Namun, masalah sama berlaku walaupun wanita sudah putus haid.

‘Selain itu, ada beberapa jenis aktiviti bersenam serta batuk yang berpanjangan atau batuk yang kuat juga menjadi penyebab berlakunya kentut vagina,’ katanya.

Beliau aktif di media sosial melalui Medical Mythbusters Malaysia, berkata sesetengah prosedur kesihatan seperti kolonoskopi atau pemeriksaan memasukkan spekulum boleh mengakibatkan kentut vagina.

‘Bila sesuatu dimasukkan ke dalam faraj, kandungan udara di dalamnya akan dibebaskan keluar, berlakulah situasi ini. Ini adalah normal’, katanya.

Mengulas kentut vagina menyebabkan otot rahim menjadi lemah, Dr Erna Nadia berkata, otot berkenaan menjadi kurang anjal terutama bagi mereka yang pernah melakukan hubungan seksual atau melahirkan.

Ketidakanjalan pada otot faraj (vagina) boleh berlaku akibat beberapa faktor seperti obesiti (lebih berat badan), tekanan, jangkitan kuman, batuk berpanjangan, posisi yang tidak betul sewaktu bersenam atau sewaktu menikmati hubungan intim.

Senaman kemutan tingkat keanjalan

‘Wanita boleh menguatkan otot rahim dengan mengamalkan senaman kegel dengan mengemut otot sekeliling faraj. Mulakan dengan mengemut selama 10 saat, rehat 10 saat dan ulang kembali proses ini sehingga 30-60 saat.

“Senaman ini disaran dilakukan secara 10 kali setiap sesi dengan satu hingga tiga sesi sehari,’ katanya.

Ramai menganggap senario ini memberi tekanan kepada wanita dengan anggapan mereka sudah tidak boleh membahagiakan pasangan,

Dr Erna Nadia berkata, perkara itu sebagai sebahagian dakwaan pihak tertentu yang mahu melariskan produk makanan tambahan mereka sahaja.

Beliau berkata, pihak berkepentingan mendakwa, wanita berpenyakit ini akan membuatkan suami akan lari, batalkan solat dan hubungan intim bermasalah.

‘Dakwaan sebegini sebenarnya hanya menakut-nakutkan wanita, sekali diingatkan masalah ini tidak merbahaya dan keadaan itu hanyalah satu tindak balas yang normal.

“Anda tidak perlu menggunakan produk atau makanan kesihatan tambahan untuk merawat masalah ini kerana pengambilan tanpa nasihat pakar dikhuatiri berlaku kesan sampingan termasuk jangkitan kuman.

“Penting untuk mereka menjaga kebersihan dengan sempurna selain mengamalkan makanan yang sihat dan seimbang. Amalkan senaman dan dapatkan berat badan yang ideal serta betulkan posisi sewaktu hubungan seksual,” katanya

Berita Harian X