Jumaat, 4 Januari 2019 | 12:41pm
PENGGUNA perlu pastikan kandungan jamu dan majun yang diambil mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan bagi mengelak kesan sampingan kepada tubuh. - Foto hiasan
PENGGUNA perlu pastikan kandungan jamu dan majun yang diambil mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan bagi mengelak kesan sampingan kepada tubuh. - Foto hiasan
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Jamu, majun racuni tubuh

KUALA LUMPUR: Pengambilan jamu selepas bersalin dan majun yang didakwa menguatkan tenaga lelaki boleh memberi kesan sampingan kepada pengguna dipercayai sebahagian kandungannya dicampur bahan terlarang seperti steroid.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jamu dan majun yang didakwa memberi kebaikan tanpa disedari seperti ‘meracuni’ tubuh.

Beliau berkata, ghairah mendapat kekuatan diharapkan, akibatnya memberi kesan buruk kepada sistem badan.

“Ramuan asas jamu yang dipercayai dicampur steroid menyebabkan kesan kegemukan mengejut pada anggota badan seperti muka menjadi bulat atau ditumbuhi bulu.

“Antara bahan larangan pernah dikesan terkandung dalam jamu dan majun adalah ubat penurunan berat badan seperti sibutramine.

Walaupun pengambilannya bertujuan menurunkan berat badan pengguna, tetapi boleh meningkatkan selera makan.

“Kesan lain termasuk sembab ketara (oedema) dan luka lambat sembuh. Sibutramine pula antara bahan disenaraikan dalam Racun Berjadual di bawah Akta Racun 1952, tidak dibenarkan ditambah ke dalam produk semula jadi,” katanya.

Kesan sampingan dialami mungkin berbeza antara seorang pengguna dengan pengguna lain bergantung kepada faktor sistem badan seperti taraf kesihatan, gaya hidup dan pemakanan.

Tempoh pengguna mengalami kesan sampingan dan tahap serius berbeza, ada cepat dan ada lambat.

Dr Noor Hisham berkata, pengguna yang mengambil produk semula jadi yang dicampur racun terdedah kepada risiko kesan sampingan kerana kuantiti bahan terlarang atau racun yang dimasukkan ke dalamnya adalah tidak tetap iaitu sama ada terlalu tinggi atau rendah.

Katanya, kesan sampingan lain termasuk peningkatan tekanan darah, kerosakan buah pinggang, peluh berlebihan dan elangiectasia (pengucupan kapilari darah).

Laporan mendapati, berlakunya atropi iaitu kulit menjadi nipis dan mudah lebam selain menjejaskan membran hingus serta lemah otot proximal (paha dan bahu).

Bahan larangan lain turut dikesan dalam ubat tahan sakit seperti phenylbutazone, ibuprofen dan diclofenac. Steroid seperti dexamethasone dan prednisolone.

Bahan terlarang yang sering ditemui dalam ubat rawatan kencing manis seperti metformin dan glibenclamide dan bahan merangsang seks seperti sildenafil.

“Pengambilan phenylbutazone pula menyebabkan pendarahan dalam perut, kesan melecur pada kulit, kabur penglihatan, kegagalan buah pinggang, Steven-Johnson Syndrome dan pengambilan ubat anti-inflamatori bukan steroid (NSAIDS) pula menyebabkan gastrik, pendarahan dalam perut serta kerosakan buah pinggang,” katanya.

Jamu atau majun diklasifikasikan sebagai produk tradisional perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan sebelum boleh dipasarkan.

Sesuatu persediaan yang dikategorikan sebagai produk tradisional hendak mengandungi hanya bahan semula jadi dan tidak boleh dicampurkan dengan sebarang bahan terlarang.

Pengguna seharusnya mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil produk berkenaan, terutama jika mereka turut mengambil ubat dari doktor untuk sebarang penyakit.

Penggunaan sildenafil tanpa pengawasan pakar menyebabkan kesan serius seperti tekanan darah rendah, pengurangan atau kehilangan pendengaran dan menjejaskan kesihatan kardiovaskular. Justeru, sangat bahaya sekiranya produk ini digunakan individu berisiko.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan (O&G), Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Dr Nuguelis Razali, berkata amalan pengambilan jamu didakwa memberikan kesegaran tubuh membantu mengembalikan kesihatan tidak digalakkan.

Beliau berkata, bahan proses yang terkandung dalam jamu, terutama rangkaian set berpantang tidak diketahui tahap keselamatannya.

“Pengambilan jamu boleh mengakibatkan risiko perdarahan khususnya jika wanita mengalami luka atau menjalani pembedahan.

“Sesetengah tumbuhan herba atau ubatan tradisional mempunyai bahan aktif berkemungkinan memberi kesan buruk kepada tubuh pengguna khususnya ibu selepas bersalin,” katanya.

Dr Nuguelis juga mengingatkan ibu yang menghidap penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis supaya berhati-hati mengambil jamu kerana dikhuatiri tidak sesuai dengan sistem badan mereka.

Herba yang dimakan bersama ubat ini boleh mengganggu proses penyerapan dan sistem kumuh ubat berkenaan diambil pada masa sama.

Berbanding mengambil jamu, Dr Nuguelis mencadangkan amalan pemakanan yang baik untuk membolehkan wanita terus kekal sihat selepas bersalin.

“Sekiranya disahkan mengalami sebarang penyakit memerlukan pengambilan ubat-ubatan secara berkala, berbincang dengan doktor jika bercadang mengambil makanan tambahan seperti jamu.

“Sesetengah jamu tidak boleh diambil pada awal tempoh berpantang kerana boleh menyebabkan susu badan kering,” katanya.

Ibu dalam pantang memerlukan nutrisi mencukupi, sekatan pengambilan minuman dan makanan boleh menyebabkan penghasilan susu kurang.

Bagi mengembalikan keanjalan organ dalaman, senaman ringan membantu selain merangsang peredaran darah.

Katanya, tubuh dan minda yang sihat penting untuk ibu bersedia menempuh rutin bersama bayi sekali gus mengelak masalah gangguan emosi atau meroyan.

“Pergerakan ringan seperti senaman membantu mengembalikan kesegaran tubuh dan baik untuk pengaliran darah dari kaki ke jantung. Proses mengembalikan kesegaran itu boleh dilakukan dengan amalan urutan bersesuaian,” katanya.

Berita Harian X