Jumaat, 28 Disember 2018 | 9:50am
AMALAH hidup sihat dengan bersenam bantu jaga kesihatan dan elak risiko dapat diabetes. - Foto Hiasan

Jumlah pesakit dewasa ramai hidap diabetes

AMALAN gaya hidup tidak sihat, kurang bersenam dan mengambil sajian tinggi gula antara faktor menyumbang seramai 3.5 juta golongan dewasa disahkan menghidap diabetes, di negara ini.   

Kajian Kesihatan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2015, mendapati 17.5 peratus penduduk berusia lebih 18 tahun adalah penghidap diabetes tahap 2.   

Mereka antara penduduk dunia disahkan menghidap kencing manis dengan jumlah 425 juta, pada tahun ini dan dijangka meningkat 522 juta, menjelang 2030.   

Pakar Kardiologi, Dr Mohd Kamal Mohd Arshad, berkata statistik kebangsaan itu menunjukkan penghidap diabetes dewasa meningkat dalam tempoh lima tahun lalu.   


DR Mohd Kamal Mohd Arshad

"Hampir setengah daripada 17.5 peratus penghidap diabetes tidak tahu mereka mengalami penyakit itu sehingga mendapatkan rawatan buat julung kali.   

"Kebanyakan kencing manis adalah jenis 2 yang berkait rapat dengan amalan gaya hidup tidak sihat, diet tidak seimbang dan berat badan berlebihan," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Sunway, di Petaling Jaya, baru-baru ini.   

Beliau berkata demikian sempena sambutan bulan kesedaran dan kesihatan Hari Diabetes Sedunia yang memberi tumpuan usaha penjagaan diabetes dan kesejahteraan keluarga.   

Diabetes boleh dicegah   

Dr Mohd Kamal berkata, 80 peratus daripada penyakit diabetes boleh dicegah sekiranya individu mengamalkan gaya hidup sihat selain menjalani saringan ujian kesihatan setiap tahun sekali.   

Katanya, kurang kesedaran pentingnya pemeriksaan berkala menyebabkan pesakit menyedari kesihatan berada pada tahap kritikal hingga gagal dirawat.   

"Individu berusia 30 tahun ke atas perlu menjalani ujian saringan bagi memastikan mereka bebas gejala penyakit, termasuk diabetes.   

"Diabetes lazimnya tidak memberikan tanda ketara namun terdapat beberapa amaran dijadikan sebagai panduan.   

"Antaranya dahaga luar biasa, kerap membuang air, luka susah sembuh dan mengalami masalah saraf di kaki atau tangan dalam kalangan individu lewat usia," katanya.   

Dr Mohd Kamal menjelaskan, diabetes menyebabkan statistik pesakit kardiovaskular meningkat bahkan purata usia mereka diserang serangan jantung pula semakin, muda, iaitu sekitar 58 tahun berdasarkan laporan NCVD 2014-2015.

Ganggu kesihatan jantung   

“Hampir 24% serangan jantung di Malaysia membabitkan mereka yang berusia di bawah 50 tahun”

"Perkara ini membimbangkan jika dibandingkan negara maju lain seperti Kanada kerana purata usia serangan jantung adalah sekitar 71 tahun," katanya.   

Dr Mohd Kamal berkata, data menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dan kencing manis dalam kalangan masyarakat anak muda membimbangkan.   

"Umum tidak menyedari berat badan berlebihan atau obesiti pemangkin penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi dan diabetes.

Berita Harian X