Sabtu, 22 Disember 2018 | 11:36am

Persepsi salah seks dalam perkahwinan

SESETENGAH pasangan mengeluh kerana tidak selesa apabila memakai kondom ketika melakukan hubungan seksual yang didakwa tidak memberi kepuasan.

Jika ini berlaku, anda perlu berbincang mengenainya secara serius bagi mengelak rasa tidak puas hati hingga menjejaskan hubungan intim.

Walaupun penggunaan kondom sebagai kaedah pencegah kehamilan paling popular dalam kalangan pasangan di negara ini.

Namun, rasionalnya jika pasangan berhadapan masalah, hal ini tidak boleh dipandang ringan demi keharmonian hubungan.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi dan Penyelaras Unit Perancangan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Harlina Halizah Siraj, berkata kedua-dua pihak perlu faham kerana penggunaan kondom ketika bersama sebagai sebahagian daripada usaha merancang kelahiran.

Katanya, ini bukan sesuatu yang sulit bagi pasangan suami isteri sebaliknya perlu dibincangkan secara berbuka bersama pakar.

Walaupun alat pencegah kehamilan biasanya lebih sinonim kepada isteri, namun ada beberapa kaedah pencegahan membabitkan lelaki, namun terhad seperti penggunaan kondom, pembedahan vasektomi dan pemandulan.

“Objektif menyarung kondom wajar difahami fungsinya. Sama seperti topik kehamilan kepada wanita yang menggunakan pil pencegahan hamil (OCP), alat pencegahan kehamilan di dalam rahim (IUCD), implan (susuk) dan suntikan pencegah kehamilan.

“Komitmen merancang keluarga adalah tanggungjawab kedua-dua pihak. Kita tidak ajar cara pakai kondom, perkara ini perlu dibincang secara terbuka dan bagaimana pencegahan kehamilan perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum ‘Amalan seks yang bijak untuk generasi alaf baharu yang sudah berumah tangga – Kemesraan, keluarga dan kesihatan’ di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman 25 tahun, Dr Harlina Halizah berkata, pihaknya mengharapkan alat pencegahan kehamilan tidak disalah tanggapan termasuk membabitkan generasi muda dan perlu difahami konsepnya dalam mensejahterakan keluarga.


PASANGAN perlu berbincang mengenai hubungan intim secara serius bagi mengelak rasa tidak puas hati hingga menjejaskan kerukunan rumah tangga. - Foto hiasan

“Ramai pasangan muda datang berjumpa saya dan lebih terbuka dalam isu ini. Seperti pelajar saya selesa bertanya soalan secara terbuka,” katanya.

Setiap pasangan perlu memahami kepentingan mengekalkan hubungan perkahwinan dan hubungan intim.

Katanya, pasangan jangan memberi alasan tiada masa, sebaliknya tentukan masa bersesuaian bagi mengelak hubungan seks kerana tekanan.

“Ketahui masalah itu boleh hilang apabila melakukan sentuhan tubuh. Sentuhan mesra umpama terapi bagi membantu mengekalkan keharmonian hubungan,” katanya.

Ahli Psikologi Sosial dan Naib Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Dr Kamal Kenny, berkata sering kali suami merasa kurang puas ketika menjalin hubungan intim.

“Oleh itu, isu kepuasan seksual perlu selalu dibincangkan dan tidak menjadikan alasan kesibukan kerja menyebabkan kenikmatan itu dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Lebih merumitkan pasangan melihat tanggungjawab seksual perlu dilakukan kerana mereka sudah berkahwin.

“Ini persepsi salah dalam hubungan perkahwinan. Pemikiran sebegini menunjukkan seks tidak dinikmati dengan cara yang betul. Ia memberi kesan kepada hubungan. Seks perlu dilalui atas keinginan kedua-dua pihak,” katanya.

Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FHRAM), Datuk Dr Kamaruazman Ali, berkata wanita dinasihatkan menjauhi pengambilan jamu sebagai pilihan merancang kehamilan.

Maklumat tidak tepat daripada laman sosial dan laman sesawang tidak berwibawa tidak boleh diterima, sebaliknya bertemu pakar dan bincang kaedah terbaik untuk kebaikan bersama.

“Kajian pada 2014 mendapati, penggunaan alat cegah kehamilan masih 50 peratus lebih rendah berbanding di Singapura, Indonesia dan Thailand.

“Cara moden mencegah kehamilan antara 25 peratus, selebihnya masing-masing banyak mendapatkan nasihat daripada rakan tanpa merujuk pakar,” katanya.

“Kami berharap lebih ramai wanita menjauhkan diri daripada pengambilan jamu yang tidak diketahui khasiatnya jamu dan bahan terlarang yang didakwa berupaya mencegah kehamilan dan beralih kepada kaedah moden dan terjamin keselamatan,” katanya.


Bincang kaedah terbaik bagi merancang kehamilan. Foto hiasan

Beliau berkata, kebimbangan tidak berasas berkenaan kesan sampingan alat mencegah kehamilan masih tinggi sehingga ramai menggunakan cara sendiri tanpa mendapatkan nasihat dan rujukan terlebih dulu.

“Salah tanggap masyarakat mendakwa pil perancang membawa risiko mandul dan kanser, sebenarnya tidak tepat.

“Cara terbaik jumpa pakar dan berbincang masalah anda, dalam kehidupan realiti semua ubat ada kesan sampingan tetapi yang perlu dijelaskan adalah pilihan mengurangkan kesan sampingan mengikut kemampuan dos ubat,” katanya.

Info:

* Pelbagai kaedah perancang keluarga seperti pil, a;lat dalam rahim ( IUD ), implan dan suntikan digunakan secara meluas untuk mengawal kehamilan.

*Kondom dan pemandulan adalah kaedah yang boleh digunakan wanita dan lelaki selain dapat mengelak risiko jangkitan penyakit seksual.

* Pil perancang bukan saja mencegah kehamilan tetapi turut memberi manfaat lain seperti haid lebih sedikit, tetap dan kurang senggugut, mengurangkan risiko pembentukan kanser ovari dan mengurangkan radang pelvik.

* Kehamilan adalah satu fasa yang memerlukan wanita bersedia dari segi psikologi, fizikal dan mental.

* Bagi pesakit sakit jantung dan buah pinggang disaran mengamalkan teknik pencegahan kehamilan kerana mereka berisiko tinggi sekiranya hamil.

* Fungsi ubat perancang hormon :

Menghalang ovari daripada melepaskan telur,

Menebalkan lendir serviks untuk mencegah sperma memasuki rahim

Menipiskan lapisan rahim untuk mencegah pendarahan.

Berita Harian X