Sabtu, 15 Disember 2018 | 12:29pm
Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Dalaman Hospital Kuala Lumpur, Prof Dr Harikrishna KR Nair. Gambar kecil, lintah digunakan untuk rawatan melegakan penyakit. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Dalaman Hospital Kuala Lumpur, Prof Dr Harikrishna KR Nair. Gambar kecil, lintah digunakan untuk rawatan melegakan penyakit. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Lintah bantu merawat penyakit

RAMAI yang geli dan ada individu akan menjerit-jerit apabila melihat lintah, apatah lagi kalau melekat, menggigit dan menghisap darah pada pangkal kaki.

Namun, siapa menyangka lintah yang selama ini dianggap sebagai parasit sebenarnya mempunyai kelebihan melegakan penyakit yang sukar disembuhkan dan mempercepatkan proses merawat luka.

Sebagai contoh, penyakit arthritis yang menyebabkan sendi seperti jari membengkak boleh diatasi dengan membiarkan lintah menghisap darah di kawasan itu, menjadikan aliran darah lancar seterusnya mengurangkan bengkak serta kesakitan yang dialami.

Lintah sebenarnya memiliki sejenis enzim dikenali sebagai hirudin yang dikeluarkan ketika menghisap darah dan mencegah tisu kulit daripada mati yang membolehkan luka cepat sembuh.

Sebelum menghisap darah, haiwan ini menyuntik bahan kimia yang berfungsi sebagai ‘bius’ di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa tidak menyedari darahnya sedang dihisap.

Tujuan rawatan penyakit

Spesies haiwan dengan dua organ, jantan dan betina ini tidak akan membuatkan mangsa kehabisan darah sebaliknya ia digunakan dalam dunia perubatan untuk merawat pelbagai penyakit sejak 2,500 tahun lalu.

Antara penyakit yang dirawat menggunakan lintah seperti tekanan darah tinggi, migrain, arthritis, buasir, varikos urat dan seperti yang didokumenkan di Russia.

Di Amerika Syarikat, pakar bedah plastik menggunakan lintah untuk mengeringkan darah daripada luka selepas penyambungan anggota badan atau tisu.

Malah, berkesan rawatan kardiovaskular, ginekologi (sakit puan) dan dermatologi (kulit).

Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Dalaman Hospital Kuala Lumpur, Prof Dr Harikrishna KR Nair, berkata lintah paling popular dan kerap digunakan untuk tujuan rawatan adalah hirudinara mallensis yang panjangnya kira-kira 10 sentimeter dan berat dua gram.

“Penggunaan lintah bukan sesuatu yang baharu di negara kita kerana ia sudah digunakan untuk tujuan kesihatan seperti berbekam tetapi apa yang dibimbangkan ia tidak dinyah kuman dan boleh menyebabkan jangkitan serius.

“Bagi memastikan keselamatan pesakit, lintah yang bakal digunakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan dinyah kuman menggunakan campuran kimia bagi memusnahkan bakteria dan kuman yang terdapat di dalam perut lintah,” katanya.

Bagi usaha itu, katanya, negara bakal tampil sebagai yang pertama di dunia menggunakan lintah yang dinyah kuman terlebih dulu bagi mengelakkan jangkitan tidak diingini ke atas pesakit.

Guna untuk pembedahan payudara

Malah, lintah yang digunakan juga diternak khas di taman lintah di Lembah Klang dan Terengganu.

Katanya, kaedah menggunakan lintah setakat ini bakal digunakan ke atas pesakit yang menjalani pembedahan seperti membuang payudara (mastektomi) akibat barah.

Kawasan luka akibat pembedahan perlu ditutup dengan menggunakan tampalan flap daripada kulit lain yang diambil daripada belakang badan pesakit sendiri.

Lintah kemudiannya diletakkan di atas flap untuk menghisap darah sebanyak 15 milileter (ml) selama empat hingga enam jam dan hasilnya flap berkenaan akan melekat atau bercantum pada kulit dalam tempoh satu setengah hari.

“Kaedah penggunaan lintah dapat mengurangkan masa pesakit tinggal di dalam wad yang mana biasanya mengambil masa lima hari untuk flap melekat.

“Flap yang tidak melekat akan menyebabkan ia mati, seterusnya menyebabkan luka lebih lambat untuk sembuh,” katanya.

Katanya, kajian bakal dijalankan dalam tempoh terdekat untuk melihat secara terperinci kesan penggunaan lintah, membabitkan 30 pesakit menggunakan lintah dan 30 pesakit lagi menggunakan rawatan biasa.

Penggunaan hidupan yang selama ini terbiar dan dianggap menggelikan seperti ulat lalat dan lintah oleh HKL, dijangka membawa perubahan dalam dunia perubatan moden negara dengan kesan sampingan minimum berbanding dadah lain.

Info

* Dua lintah kerap digunakan dalam perubatan:

1. Hirudomedicinalis (Lintah perubatan Eropah)

2.Hirudomichaelseni.

* Amat penting untuk mengenal pasti dan memilih lintah yang betul sebelum menggunakannya untuk tujuan perubatan.

* Terdapat lebih 650 spesis lintah

- Hanya beberapa akan menghisap darah dengan menggigit kulit mamalia.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X