Sabtu, 24 November 2018 | 10:25am
- Gambar hiasan

Makanan ringan tinggi pengawet

Makanan ringan atau jajan disukai semua peringkat usia meskipun semua tahu ia tidak berkhasiat dan boleh memudaratkan kesihatan jika diambil berlebihan.

Penjualan tanpa kawalan dan pastinya mendapat permintaan tinggi untuk dimakan pada waktu santai seperti ketika menonton televisyen, wayang, dimakan sambil memandu atau sedang membuat sesuatu kerja.

Lebih membimbangkan kalau sudah namanya makanan ringan ini tinggi kalori kerana bahan pewarna tiruan, kadar garam monosodium glutamate (MSG), lemak, minyak yang tinggi.

Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed, berkata makanan ringan pilihan sajian yang mengandungi tinggi kalori, tetapi kandungan zat nutrien adalah rendah.

Katanya, makanan ringan hanya berfungsi sebagai penambah perasa selain bertindak sebagai bahan pengawet makanan.

“Faktor ini merangsang pelbagai deria rasa pada lidah sehingga membuatkan seseorang tertarik dan menginginkan makanan itu terutamanya kanak-kanak.

“Golongan ini mudah tertarik dengan warna terang. Oleh itu, pewarna tiruan digunakan untuk menarik perhatian mereka,” katanya.

Gula tersembunyi

Panduan Pemakanan Kanak-kanak dan Remaja Malaysia terbitan Kementerian Kesihatan mencadangkan kanak-kanak kurang tujuh tahun boleh mengambil gula tidak melebihi empat sudu sahaja. Ini termasuk gula pasir dan gula tersembunyi biasanya ada dalam makanan ringan.

Pengambilan gula menyebabkan kalori tinggi dan menyumbang kepada masalah berat badan berlebihan.

“Pengambilan gula yang kerap seawal usia mempunyai kesukaan pada makanan manis apabila meningkat umur. Ini kerana deria rasa dirangsang dengan kandungan gula yang tinggi sejak kecil,” katanya.

Dr Hamid Jan berkata, kerap makan jajan memberi kesan negatif untuk tempoh jangka panjang.

Beliau berkata, makanan manis juga menyumbang kepada karies gigi iaitu kerosakan gigi selain peningkatan kalori dalam badan.

Makanan ringan tinggi kandungan garam turut mengakibatkan penambahan pengambilan garam yang seterusnya meningkatkan risiko penyakit darah tinggi.

INFO: Tip anak ketagih makanan ringan

→ Jangan membeli makanan ringan

→ Ibu bapa elak makan makanan ringan di hadapan anak-anak

→ Gantikan makanan ringan dengan sajian lebih berkhasiat antaranya buah-buahan, biskut dan roti.

→ Jika dalam perjalanan jauh, sediakan buah potong serta snek yang sihat dalam kenderaan. Elak membeli makanan ringan sepanjang perjalanan

→ Tingkatkan pengetahuan bahayanya makanan ringan untuk kesihatan.

Berita Harian X