Sabtu, 20 Oktober 2018 | 12:18pm
KESAN pengumpulan cecair dalam otak disebabkan ubun-ubun masih lembut.
KESAN pengumpulan cecair dalam otak disebabkan ubun-ubun masih lembut.

Cecair berlebihan dalam otak punca kepala membesar

Hidrosefalus atau saiz kepala membesar sering kali dilihat berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak tetapi hakikatnya keadaan ini juga boleh dialami orang dewasa.

Statistik pada tahun lalu, mencatatkan kehadiran pesakit di Klinik Pakar Neurosurgeri Hospital Kuala Lumpur (HKL), hidrosefalus lebih kerap berlaku dalam kalangan orang dewasa.

Daripada 9,759 pesakit yang mendapatkan rawatan tahun lalu, 62 peratus adalah pesakit dewasa manakala 38 peratus adalah kanak-kanak, manakala 177 membabitkan kes baharu hidrosefalus dengan purata 15 kes baharu setiap bulan.

Timbalan Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Neurosurgeri, Institut Kajisaraf Tunku Abdul Rahman, HKL, Dr Azmi Alias, berkata hidrosefalus boleh berlaku kepada orang dewasa tanpa mengira umur, jantina dan bangsa.

Katanya, hidrosefalus berlaku akibat pengumpulan cecair dalam otak atau Cerebral Spinal Fluid (CSF) berlebihan dan menyebabkan tekanan di dalam otak.

“Dalam kalangan bayi, tekanan ini menyebabkan saiz kepala membesar kerana ubun-ubun masih lembut, berbeza orang dewasa. Saiz kepala kekal kerana tekanan hanya berlaku di dalam kepala saja,” katanya.

Umpama air sungai

Beliau berkata, CSF umpama air sungai mengalir, dihasilkan Choroid Plexus dan lapisan sistem ventrikel di dalam otak yang beredar ke saluran ventrikel dan ruang subarachnoid di sekeliling otak serta saraf tunjang.

Cecair berfungsi membawa nutrien, menyerap gegaran dan terlibat dalam sistem perlindungan immunolgi kepada otak.

Ia akan diserap semula ke dalam sistem salur darah melalui struktur yang dipanggil Arachnoid granulations sebelum dibawa ke jantung dan dikitar semula di dalam sistem ventrikel.

Bagi orang dewasa normal, sebanyak 500 milimeter (ml) cecair CSF dihasilkan setiap hari pada kadar 25 ml/jam dan dianggarkan sebanyak 125 hingga 150 ml beredar di dalam sistem ventrikel pada satu masa.

Hidrosefalus terjadi apabila CSF berlebihan, laluan CSF terhalang atau kegagalan di dalam proses penyerapan semula CSF ke dalam sistem salur darah.

Jenis hidrosefalus

Dr Azmi berkata, hidrosefalus secara umumnya boleh dibahagi kepada dua iaitu kongenital, terjadi ketika dalam kandungan ibu.

Ia juga boleh berlaku secara Acquired iaitu semasa atau selepas kelahiran akibat penyakit lain seperti ketumbuhan, jangkitan otak, kecederaan otak dan pendarahan yang mengganggu sistem aliran cecair otak.

“Hidrosefalus boleh berlaku secara akut atau mengejut iaitu tekanan otak meningkat secara tiba-tiba yang boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dan secara kronik. Ini berlaku secara perlahan-lahan, merosakkan tisu dan fungsi otak secara kekal.

“Pesakit dewasa boleh mengalami gejala seperti pening kepala, mual, muntah, hilang imbangan ketika berjalan, penglihatan menjadi kabur dan sawan.

“Sekiranya tekanan berlaku pada bahagian otak hadapan atau frontal lobe, pesakit boleh menjadi kerap lupa, kemurungan, gangguan kawalan kencing dan koma,” katanya.

Cara didiognos

Hidrosefalus boleh didiagnos menerusi imbasan ultra bunyi, Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan) dan Mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) untuk mengesan sama ada sistem ventrikel otak mengembang, mengenal pasti punca seperti ketumbuhan atau pendarahan otak.

Rawatan lebih mujarab sekiranya hidrosefalus dikesan pada peringkat awal melalui pembedahan Shunts untuk mengalirkan CSF daripada ruang ventrikel otak ke ruang peritoneum di bahagian abdomen.

Bagi kes tertentu, pembedahan endoskopik third ventriculostomi boleh dilakukan bertujuan membentuk laluan alternatif bagi CSF yang dapat mengurangkan tekanan di dalam otak dan memberi ruang untuk otak dan saraf berkembang.

Info

* Definisi hidrosefalus:

- Perkataan Greek:

i. Hidro -air

ii. Sefalus -bahagian kepala

*Jenis hidrosefalus dalam kalangan orang dewasa:

i. Hidrosefalus Ex Vacuo:

- Berlaku akibat strok, kecederaan atau penyakit alzheimer

- Otak mengecil dan secara relatifnya saiz ventrikel membesar bagi mengisi ruang kosong.

ii. Normal Pressure Hidrosefalus (NPH):

-Berlaku apabila terdapat halangan kepada laluan CSF secara perlahan-lahan.

- Saiz ventrikel membesar bagi mengatasi jumlah CSF.

- Menekan dan merosakkan tisu otak daripada dalam.

- Gejala - dementia (pelupa), ataxia (jalan tidak seimbang) dan kencing tidak terkawal.

Berita Harian X