Selasa, 9 Oktober 2018 | 10:45am

Waspada produk 'sembuhkan' penyakit

KUALA LUMPUR: Pengguna produk makanan kesihatan tambahan atau suplemen perlu lebih berwaspada ketika mengambil produk berkenaan bagi mengelak kekeliruan pengeluar yang mendakwa menyembuhkan penyakit.

Produk yang sering dikaitkan dengan penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak serta meningkatkan tenaga batin itu sering dipaparkan menerusi media sosial bagi tujuan promosi.

Media sosial dijadikan medium penyebaran maklumat mengenai produk, sedangkan tindakan itu melanggar syarat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr Erna Nadia Noordin, berkata pelanggaran syarat dikesan selepas KKM mengenal pasti segelintir pengusaha mengubah notifikasi (NOT) pada produk dihasilkan.

Semua produk awalnya kata beliau, dinyatakan kepada KKM sebagai makanan bentuk cecair seperti jus, pil, susu, kopi, teh dan soya, namun selepas mendapat kelulusan, mereka menjalankan strategi pengiklanan.

“Pengeluar mendakwa produk mengurangkan masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.

Tiada bukti perubatan

Mereka mendakwa produk dihasilkan mampu memulihkan tenaga batin, selain meningkatkan kesuburan, memulihkan asma atau menurunkan paras kolesterol.

“Kemudian strategi berkembang dengan memaparkan testimoni kepada pelanggan yang sebenarnya boleh direka, malah produk itu tiada sebarang bukti perubatan kerana tiada kajian dilakukan,” katanya.

Dr Erna Nadia berkata, untuk mendapatkan NOT, pengusaha hanya perlu menghantar borang permohonan dan menyatakan ramuan yang ada dalam produk.

“Selepas berjaya mendapatkannya, pengusaha bertindak mencampur bahan terlarang ke dalam produk dan biasanya steroid.

“Pengusaha mendakwa produk baik untuk pesakit kronik, selain meyakinkan pengguna, pengambilannya membantu mencerahkan kulit.

“Lebih menyedihkan golongan yang paling mudah terpedaya dengan iklan begitu adalah golongan tua dan masyarakat kampung,” katanya ketika dihubungi BH, baru-baru ini.

Dr Erna Nadia yang aktif sebagai ahli Medical Mythbusters Malaysia, berkata sudah terlalu ramai pesakit mahu sihat segera, mudah terpengaruh dan membeli produk begini, namun hasilnya banyak komplikasi berlaku.

Anggapan tak berasas

Kesannya beliau berkata, serangan kencing manis semakin teruk, darah tinggi sukar dikawal, buah pinggang rosak dan masalah kesihatan kewanitaan terjejas.

Beliau berkata, pengguna sering salah sangka dengan mengatakan buah pinggang mereka rosak akibat ubatan dari klinik dan hospital. Anggapan ini salah dan tidak berasas, namun malangnya ramai mempercayainya.

“Perlu diingatkan penyakit kronik seperti kencing manis jenis dua dan darah tinggi serta masalah kolesterol mengambil masa bertahun untuk berlaku. Keadaan itu tidak boleh disembuhkan, namun boleh dikawal,” katanya.

Dr Erna Nadia berkata, pengambilan ubat dan penjagaan pemakanan seharian yang sempurna mampu mengawal penyakit, tetapi ramai kurang sabar. Pesakit juga sukar mengawal penyakit disebabkan gagal mengawal nafsu makan.

“Kami sering menasihati pesakit supaya mengawal pengambilan gula dan garam, mengawal diet, minum air mencukupi selain menyarankan senaman 150 minit seminggu.

“Orang ramai mengambil jalan mudah dengan cara salah. Namun lebih menyedihkan apabila pengusaha mempergunakan agama untuk melariskan produk mereka. Contoh ayat yang biasa kita dengar adalah jus sunah, susu sunah, kopi dan teh sunah.

“Produk makanan kesihatan tambahan yang melambak di pasaran kini dipercayai mengandungi kandungan gula yang tinggi. Pengguna perlu bijak dengan memilih buah-buahan segar berbanding jus yang dijual secara komersial.

“Wanita mengandung juga dinasihat tidak mengambil makanan kesihatan tambahan tanpa nasihat daripada doktor, ini dikhuatiri pengambilan tanpa kawalan boleh menjejaskan janin dalam kandungan.,” katanya.

Berita Harian X