Sabtu, 29 September 2018 | 11:05am
DR Mohd Zabri melakukan prosedur pemeriksaan hidung di Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Lelaki berisiko tinggi hidap kanser hidung

MINGGU lalu kita di kejutkan dengan berita pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang menghidap kanser hidung peringkat awal.

Kanser yang menyerang pesakit dari pangkal hidung atau nama saintifiknya Nasopharyngeal Carcinoma (NPC) lazim tidak mampu dikesan memandangkan tiada tanda-tanda dari luaran tubuh.

Selain pangkal hidung, NPC ini menyerang mulut dan tengkuk. Walau bagaimanapun punca bagaimana NPC ini menyerang seseorang pesakit tidak begitu jelas.

Pakar Perunding Bedah Ortorinolaringologi dan Pembedahan Kepala dan Leher Hospital Pakar KPJ Selangor, Dr Mohd Zabri Affendi Muhamad, berkata gejala NPC sering dikaitkan dengan faktor etnisiti yang terdapat di negara ini menerusi merekodkan kes yang dilaporkan.

“Mengikut data Pusat Kanser Malaysia, NPC disebabkan jangkitan kuman epstein barr yang banyak terdedah dijangkiti oleh kaum Cina iaitu 49 peratus, diikuti kaum Bidayuh di Sabah dan Sarawak (48 peratus) dan Melayu (22 peratus).

“Meskipun puncanya tidak begitu jelas, namun antara tanda lain dikesan seperti kahak berdarah dan ulser luka, selain bengkak yang tidak sakit pada bahagian tengkuk, pendengaran terganggu, sakit kepala, kebas dan tidur berdengkur.

“Jika dibandingkan kesemua jenis kanser di negara ini, NPC antara kanser keempat tertinggi selepas payudara, usus dan paru-paru dengan kekerapan bilangan meningkat antara lima peratus setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, pesakit berusia antara 40 hingga 60 tahun, khususnya lelaki lebih berisiko mendapat kanser hidung berbanding wanita dengan nisbah 3:1.

Katanya, psakit NPC boleh dirawat dan sembuh sepenuhnya mengikut tahap kanser.

“Penyakit NPC juga terbahagi kepada empat tahap, sama seperti kanser lain. Bagi tahap satu, kaedah radioterapi dijalankan dan berupaya menyembuhkan antara 80 hingga 90 peratus pesakit.

“Tahap dua, tiga dan empat, keupayaan pesakit untuk sembuh adalah antara 20 hingga 70 peratus. Bagaimanapun tahap ini pesakit akan diberikan dua rawatan iaitu radioterapi dan kemoterapi,” katanya.

Info

------

Faktor penyebab NPC

1. Etnisiti (kelompok kaum)

2. Gander (lelaki 3 nisbah 1 wanita)

3. Hubungan kekeluargaan (genetik iaitu kelemahan sesuatu sel dalam badan)

4. Gaya Hidup (pemakanan dan rokok)

5. Pencemaran udara (kilang kimia dan kayu)

6. Jangkitan (kuman epstein barr)

Rawatan awal bagi pesakit yang mengalami bengkak di tengkuk dan kahak berdarah lebih tiga minggu;

1. Temuduga oleh doktor untuk menentukan sejarah awal pesakit

2. Pemeriksaan lengkap tubuh termasuk mata

3. Melakukan prosuder indoskopy menggunakan skop ke dalam hidung

4. Ujian darah dan X-Ray

5. Imbasan CT di kawasan pangkal hidung, tengkuk hingga ke dada untuk menentukan tahap jangkitan.

Berita Harian X