Khamis, 20 Disember 2018 | 11:19am
Keadaan muka Siti Zalina melecur teruk terkena air panas ketika mendapatkan rawatan kecantikan, manakala gambar kanan, wajahnya sebelum menerima rawatan kecantikan.

EKSKLUSIF: Muka melecur angkara kecuaian terima rawatan kecantikan

Kuala Lumpur: Wajah seorang eksekutif syarikat insurans melecur teruk terkena air panas daripada peralatan wap (steamer) didakwa kerana kecuaian rakannya ketika memberikan rawatan kecantikan secara bergerak di rumahnya di Klang, Ahad lalu.

Ibu kepada dua cahaya mata, Siti Zalina, 34, kini berada di bawah pemantauan pasukan perubatan sebuah di hospital di Klang, selepas terkena air panas itu sehingga memasuki mata, selain muka dan lehernya melecur teruk.

Katanya, paling dikesalkan, pengusaha kecantikan itu langsung tidak membawanya ke hospital, meskipun hanya mereka berdua berada di rumah ketika kejadian.

“Saya menghubungi suami dan terus ke bahagian kecemasan bimbang sesuatu yang buruk berlaku pada mata dan dia tidak menemani hingga ke hospital, sedangkan ia disebabkan kecuaiannya.

“Doktor memberitahu kesan lecur tidak mungkin pulih pada keadaan asal, selain pigmentasi kulit akan berubah disebabkan melamin rosak.

“Saya juga tidak boleh terdedah pada cahaya untuk tempoh sebulan dan dilarang memakai apa-apa produk selama enam bulan,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Akhbar BH sebelum ini melaporkan lebih 20,000 ‘pakar’ kecantikan atau estetik tidak bertauliah, bebas menawarkan khidmat rawatan kecantikan di negara ini, yang dikhuatiri boleh mendedahkan pengguna kepada pelbagai komplikasi kesihatan, termasuk kanser dan maut.

Laporan itu mendedahkan hanya kira-kira 200 daripada 20,000 doktor dalam bidang estetik atau rawatan kecantikan, mempunyai pentauliahan Letter of Credentialing and Privileging (LCP) di bawah Kementerian Kesihatan.

Ramai menyangka semua pusat kecantikan atau spa mempunyai doktor bertauliah, sedangkan sebenarnya mereka tiada LCP berkenaan.


Keratan akhbar BH 19 Ogos lalu.

Siti Zalina berkata, kecederaan yang menimpanya amat membimbangkan kerana beliau bertugas di barisan hadapan berurusan dengan pelanggan, sekali gus akan menjejaskan keyakinan dirinya.

“Saya bukan seorang yang gemarkan rawatan wajah kerana mempunyai kulit sensitif, tetapi terganggu apabila sering diasak melakukan rawatan kecantikan tanpa perlu ke salun atau spa.

“Apabila ditimpa kemudaratan, pihak berkenaan tidak menunjukkan keprihatinan sebagai rakan atau mahu bertanggungjawab di atas kecuaian dilakukan.

“Saya tidak berniat menularkan kejadian ini cuma tidak mahu wanita lain mengalami nasib sama, kerana kecuaian dan prosedur rawatan tanpa bertauliah,” katanya.

Beliau berkata, dua anak yang bakal memulakan persekolahan Tahun Satu pada Januari ini, takut melihat keadaan mukanya dan enggan mendekati.

“Keadaan ini sangat menyedihkan, apatah lagi saya dan suami perlu membuat persediaan sekolahnya, tetapi saya tidak dapat berbuat demikian kerana dinasihatkan tidak terkena cahaya untuk tempoh terdekat ini,” katanya.

Berita Harian X