Khamis, 10 Februari 2022 | 10:14am
Zara Basyirah (depan) bersama Shahmalarani antara empat alumni Universiti Taylor’s terbabit membawa baton sebagai simbol tradisi Sukan Komanwel. - Foto Universiti Taylor’s
Zara Basyirah (depan) bersama Shahmalarani antara empat alumni Universiti Taylor’s terbabit membawa baton sebagai simbol tradisi Sukan Komanwel. - Foto Universiti Taylor’s

Bawa simbol tradisi Sukan Komanwel 2022

KUALA LUMPUR: Terpilih menjadi antara wanita yang layak membawa simbol tradisi bagi Sukan Komanwel 2022 disifatkan begitu bersejarah dan peluang yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat.

Pemilihan itu bukan mudah kerana ia memerlukan pelbagai kriteria utama termasuk berdasarkan latar belakang, kejayaan dan sumbangan diberikan kepada negara.

Namun, bagi atlet karate kebangsaan dan profesional seni mempertahankan diri, Shahmalarani Chandran, 24, berjaya melepasi saringan daripada ramai calon disenaraikan, sekali gus menjadi satu kejutan buat dirinya.

Apa yang menjadikan ia lebih manis, beliau juga adalah alumni Universiti Taylor's, iaitu rakan kongsi kampus Universiti Birmingham dengan Sukan Komanwel 2022, yang kali ini diadakan di Birmingham, England.

Beliau menganggap penyertaan itu sebagai penghormatan terbesar, selain membawa nama universiti berkenaan ke peringkat antarabangsa dan menjadi sebahagian daripada temasya sukan terhebat.

"Ketika disenaraikan antara empat individu layak membawa baton itu, saya begitu bersyukur, gembira dan teruja.

"Sebagai orang yang memiliki jiwa kesukanan, pasti membawa baton ini menjadikan saya lebih bersemangat.

"Saya tidak terfikir dapat membawa simbol begitu bermakna yang menyatukan semua orang di seluruh dunia pada temasya sukan ini," katanya.

Malaysia menjadi negara Komanwel ke-29 daripada 72 negara menerima baton yang dirasmikan Ratu Elizabeth II, pada Oktober 2021 sebelum temasya sukan itu dijadual berlangsung, pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Baton itu akan 'mengembara' selama 294 hari sejauh 140,000 kilometer sebelum sampai ke Birmingham bagi memula temasya sukan itu secara rasmi.

Shahmalarani berkata, menariknya apabila membawa baton Sukan Komanwel ialah terdapat mesej yang ditulis di atasnya yang hanya akan didedahkan ketika acara bermula.

"Apabila berlari membawa baton itu, saya akan pastikan mesej itu terletak di tempatnya dengan kamera 360 darjah dipasang pada baton itu.

"Saya individu pertama diberi tanggungjawab membawa baton itu sebelum menyerahkan kepada tiga yang lain, sekali gus lengkap menghabiskan pusingan larian," katanya yang berlari sejauh dua kilometer.

Zara Basyirah (kiri) dan Shahmalarani (dua dari kanan) bersama peserta lain terpilih membawa baton sebagai simbol tradisi Sukan Komanwel. - Foto Universiti Taylor’s
Zara Basyirah (kiri) dan Shahmalarani (dua dari kanan) bersama peserta lain terpilih membawa baton sebagai simbol tradisi Sukan Komanwel. - Foto Universiti Taylor’s

Beliau berkata, menjadi antara yang terbabit pada temasya sukan ini, seolah-olah turut mengiktiraf sumbangan wanita dalam mengharumkan negara menerusi sukan.

"Walaupun bukan atlet terpilih ke sukan itu, saya tetap rasa dihormati dan menjadikan saya bersemangat untuk terus aktif dalam sukan demi negara dan kepuasan diri sendiri.

"Wanita jangan merendahkan diri kerana bidang sukan boleh memberikan aura positif dan masa depan cerah.

"Maksimumkan semuanya dan pastikan ibu bapa turut merestui anda," katanya yang turut menjadi guru tutor Matematik bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seorang lagi pembawa baton dan pelajar tahun akhir Universiti Taylor's, Zara Basyirah Md Shah, berkata ini adalah pengalaman menakjubkan seumur hidupnya apabila diberi peluang membawa baton yang nanti diserahkan secara rasmi oleh Ratu Elizabeth II.

Katanya, beliau bersyukur diberi peluang mewakili Malaysia, sekali gus Universiti Taylor's dan Sukan Komanwel 2022.

"Temasya sukan tahun ini sangat istimewa kerana tema 'Kelestarian' ditonjolkan dengan usaha saya menyediakan pendidikan untuk golongan kurang bernasib baik dan komuniti terdekat saya.

"Selepas mencipta aplikasi mengikut Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) #3 'Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik' dan memenangi hackathon, saya berbangga mewakili wanita dalam STEM sebagai jurutera perisian serta memainkan peranan dalam meningkatkan bilangan wanita dalam bidang teknologi," katanya.

Naib Canselor di Universiti Birmingham, Prof Adam Tickell, berkata universiti ini sejak beberapa dekad lalu mengadakan perkongsian dalam pendidikan dan penyelidikan.

"Sukan adalah kuasa penyatuan dan sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menyokong Sukan Komanwel Birmingham 2022, kami mengadakan siri acara akademik, pelajar dan rakan kongsi di negara Komanwel bertepatan dengan lawatan Queen's Baton Relay.

"Saya gembira kerana kami dapat mengadakan acara menarik ini sekali gus menunjukkan cara kami bekerjasama dengan rakan kongsi penyelidikan dan pendidikan untuk menangani cabaran global dan membantu meningkatkan kualiti hidup orang di negara ini dan seterusnya," katanya.

Berita Harian X