Khamis, 3 Februari 2022 | 10:13am
Membantu membersihkan kediaman mangsa terkesan akibat banjir di beberapa negeri antara disertai Fatimah - Foto/Ihsan Fatimah Suhaily.
Membantu membersihkan kediaman mangsa terkesan akibat banjir di beberapa negeri antara disertai Fatimah - Foto/Ihsan Fatimah Suhaily.

Rumah rosak, kerap tinggal di PPS jadi perkara biasa

KUALA LUMPUR: Pernah menjadi mangsa banjir dan kerap terkesan sejak kecil berikutan kampung yang didiami berdekatan dengan sungai menjadi dorongan wanita ini mengabdikan diri melakukan kerja kesukarelawan.

Penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Fatimah Suhaily Zaini Rijal, 45, berkata pengalaman dilalui dalam kejadian banjir membuatkan beliau bertekad membantu mangsa bah besar membabitkan beberapa negeri.

Katanya, peluang sebagai JAWI memudahkannya menyertai misi banjir membuatkan dirinya tersentuh akibat kemusnahan harta benda mangsa.

"Saya pernah menjadi mangsa banjir ketika tinggal di kampung di Sungai Siput, Perak, yang sering dilanda banjir apabila musim tengkujuh. Di tempatkan dan tinggal di pusat pemindahan banjir (PPS), rumah rosak, sudah biasa saya lalui.

"Jadi saya amat memahami perasaan dilanda musibah banjir. Dalam kejadian baru-baru ini, antara yang membuatkan saya hiba ketika membantu membersihkan rumah seorang warga emas yang tinggal bersendirian kerana anaknya berada di luar negara.

"Warga emas itu tinggal di Kampung Sungai Buloh, Mentakab, Pahang dan rumahnya tenggelam hingga hingga mencecah bumbung, sebelum diselamatkan pasukan penyelamat.

Fatimah Suhaily Zaini Rijal.
Fatimah Suhaily Zaini Rijal.

"Dia yang kami panggil nenek pula tidak sihat dengan kaki bengkak dan demam, kami bantu beri ubat.

"Hati tersentuh melihat dia tinggal keseorangan, kami dari pasukan sukarelawan Sahabat JAWI membantu membersihkan rumahnya yang musnah teruk.

"Apa yang saya boleh kongsikan membersihkan rumah mangsa banjir bukan tugas mudah kerana turut berhadapan dengan mereka yang emosi dan trauma mereka. Kita mampu tenangkan mereka dengan bantuan ini, selain mendengar luahannya," katanya.

Ibu enam cahaya mata ini, selain itu dalam misi beliau juga mengutip naskhah al-Quran yang rosak akibat banjir di rumah mangsa untuk dilupuskan.

"Antara kawasan yang kita bantu adalah di Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Jenjarom dan Klang, Selangor.

"Ada juga mangsa tidak mahu kami ambil al-Quran yang sudah rosak yang dibeli di Makkah ketika menunaikan umrah.

"Sepanjang misi bantuan itu, kami mengutip lebih lebih dua troli besar al-Quran dan kitab yang rosak akibat banjir untuk dilupuskan," katanya.

Sahabat JAWI ketika membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Mentakab, Pahang, baru-baru ini.- Foto/Ihsan Fatimah Suhaily
Sahabat JAWI ketika membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Mentakab, Pahang, baru-baru ini.- Foto/Ihsan Fatimah Suhaily

Bercerita lanjut, mengambil pelbagai iktibar kejadian banjir yang melanda di beberapa negeri itu, Fatimah berkata, keadaan itu membuatkannya supaya sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk tidak terlalu selesa dan mengambil mudah sesuatu kejadian. Kita sepatutnya menyimpan dokumen penting di tempat selamat dan langkah awal perlu diambil ketika dilanda musibah.

"Siapa sangka kejadian berlaku itu termasuk di Shah Alam, terutama di Taman Sri Muda meninggalkan kesan mendalam kepada semua rakyat.

"Sebagai manusia biasa, kita sentiasa beringat dan bersiap siaga mental dan fizikal apabila berdepan dengan musibah seperti ini," katanya.

Beliau juga bersedia untuk melakukan kerja kesukarelawan dalam apa sahaja bentuk kerana akan membuatkan diri lebih insaf sebagai makhluk Allah, ada masanya tidak sentiasa berada dalam keadaan selesa.

Berita Harian X