Selasa, 25 Januari 2022 | 10:54am

77 bayi ditinggalkan di dalam peti khas

KUALA LUMPUR: Seramai 77 bayi yang tidak diketahui identiti ibunya ditinggalkan di dalam dalam peti khas Baby Hatch di lapan kemudahan yang dikendalikan oleh Yayasan OrphanCare di seluruh negara, sejak 12 tahun lalu.

Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare, Riza Alwi, berkata kemudahan yang disediakan itu membolehkan ibu yang enggan dikenali menyerahkan bayi mereka dalam keadaan selamat di situ.

Katanya, berbanding bayi yang ditinggalkan ibu mereka di pelbagai lokasi, mereka kemudian akan ditempatkan di rumah anak yatim tanpa taraf kewarganegaraan sekali gus menyukarkan untuk bersekolah atau mempunyai kehidupan yang baik.

Jelasnya, hampir semua bayi yang ditinggalkan di Baby Hatch tanpa dokumen daripada ibu kandung atau bayi itu, menyebabkan sukar untuk mengetahui identiti mereka terutama agama.

"Bagaimanapun, ada juga ibu yang meninggalkan nota meminta anaknya dijaga dengan baik kerana mereka tidak dapat menjaganya.

"Selain itu ada juga ibu yang memaklumkan nama anak mereka sekali gus memudahkan urusan pengangkatan apabila sudah diketahui agama mereka.

"Namun bagi bayi yang ditinggalkan di Baby Hatch tanpa sebarang dokumen, mereka secara automatik akan mengikut agama rasmi Malaysia iaitu Islam.

Riza Alwi
Riza Alwi

"Oleh itu, tujuan penubuhan Baby Hatch ini dapat membantu anak-anak malang ini dijadikan anak angkat seterusnya mendapat kehidupan yang lebih sempurna," katanya.

Sebelum ini BH melaporkan seramai 456 bayi berjaya diselamatkan oleh Yayasan OrphanCare di seluruh negara dengan 281 diambil sebagai anak angkat sejak 2008.

Daripada 456 bayi itu, seramai 163 dijaga sendiri ibu kandung dan 12 lagi bayi ditempatkan di rumah anak yatim kerana pelbagai masalah kesihatan seperti sindrom down, cerebral palsy dan lain-lain.

Beliau berkata, melihat kepada statistik kes pembuangan bayi semakin meningkat sewajarnya ada tempat sedemikian bagi mengelak keadaan semakin parah.

Yayasan OrphanCare akan membantu mencari ibu bapa angkat bagi bayi yang tinggalkan atau tidak mampu dijaga ibu kandung dengan menubuhkan Baby Hatch pada 2010.

Ketika ini, ada lapan kemudahan Baby Hatch dikendalikan yayasan itu hasil kerjasama dengan Hospital Pakar KPJ iaitu di Pulau Pinang; Ipoh, Perak; Damansara; Seremban, Negeri Sembilan dan KPJ Tawakkal Kuala Lumpur.

Selain itu, sebuah Baby Hatch baru ditubuhkan pada November tahun lalu di Hospital Pakar An-Nur, Bangi.

Riza berkata, ketika ini Yayasan OrphanCare merancang untuk membuka lebih banyak Baby Hatch di seluruh negara termasuk di hospital dan klinik kesihatan kerajaan.

Katanya, ia bertujuan membantu lebih ramai bayi diselamatkan daripada dibuang begitu sahaja sehingga ada yang meninggal dunia apabila dibiarkan begitu sahaja.

Baby Hatch dapat membantu anak malang ini dijadikan anak angkat untuk kehidupan lebih sempurna. - Foto/Ihsan Yayasan OrphanCare.
Baby Hatch dapat membantu anak malang ini dijadikan anak angkat untuk kehidupan lebih sempurna. - Foto/Ihsan Yayasan OrphanCare.

"Di Baby Hatch, apabila seseorang meletakkan bayi di tempat yang disediakan, akan ada bunyi amaran dan penjaga kemudahan itu akan mengambil segera bayi itu untuk membuat pemeriksaan kesihatan," katanya.

Namun akuinya, tidak mudah untuk mewujudkan Baby Hatch kerana ia perlu pemantauan 24 jam kerana bayi akan diletakkan pada bila-bila masa dalam pelbagai keadaan sama ada lengkap berpakaian atau hanya dibiarkan begitu sahaja.

Justeru katanya, perlu ada perancangan mendalam jika ingin melaksanakannya di hospital atau klinik kerajaan kerana ia kawasan yang terbuka.

"Selain itu, tahun ini juga kami bercadang untuk berjumpa semula dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meminta mereka membuat pencerahan yang meletakkan bayi di Baby Hatch bukanlah satu kesalahan jenayah.

"Berbeza dengan membuang bayi, ia baru dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah kerana saya difahamkan ada yang takut untuk meletakkan bayi di kemudahan disediakan kerana bimbang ditahan polis," katanya.

Riza berkata, beliau berharap usaha itu akan berjalan lancar sekali gus dapat berusaha membantu lebih ramai bayi malang supaya mendapat kehidupan yang lebih sempurna.

Berita Harian X