Selasa, 18 Januari 2022 | 12:24pm
Pengguna media sosial sedia berdepan buli siber apabila memuatnaik bahan yang mampu cetuskan kontroversi.- Gambar hiasan
Pengguna media sosial sedia berdepan buli siber apabila memuatnaik bahan yang mampu cetuskan kontroversi.- Gambar hiasan

Adegan mesra mahu cetuskan kontroversi

KUALA LUMPUR: Pendedahan adegan mesra sesetengah individu di media sosial bertujuan menunjukkan 'keindahan' pasangan masing-masing, selain mahu mencetus kontroversi serta provokasi bagi mendapatkan reaksi orang ramai.

Justeru, ada individu sanggup menghasilkan dan memuat naik video unboxing by husband tanpa mengambil kira sama ia menepati tuntutan agama atau sebaliknya.

Ketua Pusat Kerjaya dan Kaunseling Universiti Teknologi MARA (UiTM), Wan Noraini Wan Yusoff, menasihatkan generasi hari ini lebih bertanggungjawab apabila memuat naik sebarang kandungan untuk tontonan ramai.

Katanya, setiap perbuatan mempunyai kesan dan akibatnya, justeru penting memastikan kandungan yang dimuat naik tidak melanggar batasan.

"Oleh itu, berfikir sebelum melakukan sesuatu dan dapatkan nasihat mereka yang lebih berpengalaman supaya tiada batas yang tidak sepatutnya, dilanggar," katanya.

Beliau tidak menafikan ada faktor generasi hari ini cuba disebabkan sikap cemburu dan berusaha supaya turut mendapat perhatian orang lain.

Disebabkan itu, katanya, pelbagai kandungan dihasilkan di media sosial dan sebahagiannya bertujuan mendapatkan perhatian serta perakuan ramai supaya dikagumi.

"Cubaan itu boleh dibuat dalam bentuk lisan atau melalui perbuatan dengan matlamat sama ada mahukan pujian, simpati atau boleh bertujuan mencetus kontroversi dan provokasi bagi mendapatkan reaksi orang ramai.

"Selain itu, ada yang melakukannya kerana tekanan bagi mengikut aliran semasa malangnya kebanyakan perbuatan ini ditiru bulat-bulat tanpa mengetahui ia menyalahi norma dan budaya masyarakat dan agama.

"Kita tidak mahu anak muda hari ini jatuh dalam kategori ini. Mereka perlu berfikir panjang, termasuk mengenai amalan budaya dan agama sebelum melakukan sesuatu tindakan.

"Budaya terikut-ikut dengan trend pada era milenial ini harus dipantau semua pihak supaya anak muda memahami niat dan tujuan asal sesuatu tindakan dibuat," katanya.

Justeru, tidak mustahil generasi hari ini cuba untuk menghasilkan kandungan sedemikian dari aspek psikologi, katanya termasuk disebabkan cemburu dengan orang lain bagi mendapat perhatian, justeru mereka berusaha supaya memancing sesiapa yang melihat.

Dari sudut lain dalam dunia internet, perbuatan ini juga 'mengundang' kritikan, terutama dalam kalangan warga internet yang mudah menghukum atas apa dipaparkan melalui media sosial.

Wan Noraini Wan Yusoff.
Wan Noraini Wan Yusoff.

"Impaknya ada terpaksa berdepan buli siber apabila ramai menghentam serta membuat ulasan.

"Ia kemudian boleh menjurus kepada tekanan perasaan serta tidak mustahil menyebabkan keruntuhan rumah tangga yang baharu didirikan serta menyebabkan mula berlaku salah menyalah antara pasangan, bersikap dingin dan sebagainya.

"Menjaga komunikasi dan hubungan dengan pasangan baharu berkahwin serta ahli keluarga baharu, harus lebih diutamakan," katanya.

Beliau berkata, generasi hari ini, hidup dalam keadaan perbandingan, terutama melalui tayangan di media sosial sedangkan kebanyakan dipaparkan hanya perkara yang indah sahaja.

"Generasi hari ini perlu sedar realitinya, mereka yang kaya atau bahagia dalam perkahwinan, pasti berdepan cabaran serta 1,001 kisah pengorbanan di sebalik apa yang dipaparkan di media sosial," katanya.

Berita Harian X