Selasa, 28 Disember 2021 | 1:11pm
Kes keganasan rumah tangga dipercayai meningkat ketika pasca banjir dan perlu dikekang. - Foto hiasan
Kes keganasan rumah tangga dipercayai meningkat ketika pasca banjir dan perlu dikekang. - Foto hiasan

Kekang keganasan wanita, kanak-kanak ketika pasca banjir

KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu mengambil langkah tuntas bagi memastikan kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak supaya tidak melonjak ketika pasca banjir besar di beberapa negeri.

Justeru, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mencadangkan enam tindakan kesiapsiagaan pasca banjir dilaksanakan kerana dipercayai kes keganasan membabitkan wanita dan kanak-kanak meningkat.

WAO dalam kenyataan media, berkata berdasarkan kajian lazimnya kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak akan meningkat selepas bencana alam berlaku.

Katanya, langkah pertama, kerajaan perlu memastikan mangsa keganasan rumah tangga mendapatkan bantuan termasuk perkhidmatan pengangkutan dan keselamatan dengan laluan yang tidak terganggu.

"Banjir besar menyebabkan mangsa atau pemandiri sukar bergerak mendapat bantuan disebabkan kenderaan rosak akibat banjir atau tiada wang cukup untuk mendapatkan pengangkutan awam.

"Justeru, penyedia perkhidmatan seperti Talian Kasih dan polis perlu memberikan perhatian kepada pelaporan dan mampu memberikan nasihat secara 'remote' bagi menyelamatkan mereka," katanya.

Katanya, sepanjang pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), siasatan penderaan tergendala atau ditangguhkan berikutan kekurangan kakitangan mengendalikan kes.

"Peruntukan khas dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengambil lebih ramai pekerja sosial bagi membantu krisis banjir dan menambah kakitangan di Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC)

"Ini perlu untuk memberikan perkhidmatan cekap termasuk menerima panggilan pengadu di Talian Kasih mengenai kes penderaan.

"Kekalkan peruntukan RM13 juta kepada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui Bajet 2022," katanya.

Menurut WAO, kerajaan perlu memastikan tempat perlindungan wanita dan penyedia perkhidmatan lain tidak berdepan halangan untuk beroperasi selain mendapat bantuan kos operasi dari kerajaan.

Krisis banjir menyebabkan tempat perlindungan perlu menampung lebih ramai mangsa dan pada masa sama perlu memastikan operasinya memenuhi piawaian dan prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan mangsa terjaga.

"Bajet 2022 memperuntukkan RM10 juta bagi mewujudkan tempat perlindungan khas bagi mangsa keganasan rumah tangga di Pusat Sokongan Sosial Sehenti (PSSS), wajar dalam usaha menyokong kos operasi tempat perlindungan," katanya.

WAO juga mencadangkan supaya sistem penyelarasan antara pasukan pengurusan bencana, penguatkuasaan undang-undang serta Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga (JKRT) dan pihak berkuasa kesihatan ditubuhkan.

Ia bertujuan mencegah keganasan terhadap mangsa sambil dapat merawat kesihatan mereka kesan krisis bencana alam.

"Pakej bantuan ekonomi juga harus sensitif gender terutama mangsa yang terbabit dalam bencana banjir.

"Komunikasi dan pesanan khidmat masyarakat dibuat secara berterusan.

"Kaedah penyampaian pesanan khidmat masyarakat

mengenai keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perlu dipelbagaikan termasuk melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan sidang media.

"WAO akan terus menyediakan khidmat sokongan terutama kepada mangsa keganasan rumah tangga sepanjang tempoh itu," katanya.

Berita Harian X