Khamis, 21 Oktober 2021 | 11:36am
Bengkel latihan belajar membuat seramik buatan tangan berasaskan tanah liat.- Gambar Ihsan Koh
Bengkel latihan belajar membuat seramik buatan tangan berasaskan tanah liat.- Gambar Ihsan Koh
Antara hasil seramik buatan tangan yang mendapat tempat di hati penggemar. - Foto/Ihsan Koh
Antara hasil seramik buatan tangan yang mendapat tempat di hati penggemar. - Foto/Ihsan Koh
Koh (kanan) yakin industri kraf seramik buatan tangan antara industri yang mampu berdaya saing.- Foto/Ihsan Koh
Koh (kanan) yakin industri kraf seramik buatan tangan antara industri yang mampu berdaya saing.- Foto/Ihsan Koh
 Pui Yi ketika mengikuti kelas membuat seramik dan bercita-cita membuka perniagaan sendiri berasaskan bidang berkenaan.- Foto/Ihsan Koh
Pui Yi ketika mengikuti kelas membuat seramik dan bercita-cita membuka perniagaan sendiri berasaskan bidang berkenaan.- Foto/Ihsan Koh

Perusahaan seramik buatan tangan mampu bertahan

KUALA LUMPUR: Tidak ramai yang optimis seramik buatan tangan mampu memberi masa depan yang cerah memandangkan peminat dan pasarannya tidak begitu meluas berbanding industri lain.

Kebanyakan pelanggan juga tidak suka mengambil risiko membeli barangan seramik kerana mudah pecah dan harganya agak mahal jika buatan tangan.

Namun, berbeza bagi wanita yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Seramik University of Evansville, Indiana, Amerika Syarikat, Cindy Koh, yang yakin seramik terus mendapat permintaan, sekali gus mendorong beliau mengusahakan perniagaan berasaskan tanah liat ini, selain mampu membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Ternyata, lebih 20 tahun mengusahakan perniagaan Clay Expression ini pelbagai pengalaman susah senang sudah dilalui dalam usaha menjadikannya kekal bersemangat menghasilkan seni seramik.

Katanya, tidak mudah mengusahakan perniagaan berasaskan tanah liat kerana ia tidak tidak sepopular industri lain, namun tidak ramai pesaing.

Pada awal pembukaan studionya di Subang Jaya, Selangor, hanya ekspatriat yang berminat membeli serta belajar membuat produk seramik dan kini ada antaranya sudah membuka studio di negara masing-masing.

"Apabila kita ikhlas dan bersungguh-sungguh menghasilkan seni seramik ini, lambat-laun ia pasti ada permintaan.

"Memang niat saya melakukan perkara ini sebaik menamatkan pengajian. Saya tidak mahu apabila tua, baru hendak memulakannya kerana ketika itu tenaga tidak sekuat ketika muda.

"Namun, cabarannya lebih berganda berbanding ketika ini apabila segala maklumat di hujung jari," kata Koh yang membuka studio penghasilan seramik pada tahun 2000 dengan bantuan ayahnya.

Anak pertama daripada dua adik beradik ini berkata, pada awal pembukaan studio itu, beliau terpaksa menebalkan muka meminjam RM30,000 daripada bapanya untuk mulakan perniagaan.

Koh berjanji dalam tempoh tiga tahun jika usahanya tidak berjaya, beliau akan berhenti dan mencari pekerjaan untuk membayar pinjaman itu.

"Saya bermula dengan sifar, namun sokongan keluarga membuatkan saya bertahan.

"Di mana saja ada maklumat mengenai industri ini, saya akan pergi. Kebiasaannya saya ke Ipoh, Perak yang terkenal dengan industri labu sayong.

"Awal tahun 2000, harga barangan seramik ini tidak mahal iaitu paling murah RM3, tetapi kini boleh mencecah RM50 sebiji bergantung kepada rekaan.

"Dahulu, apa saja acara dan komuniti kraf saya sertai sehingga apabila tiba pandemik ini, semuanya berubah dengan tempahan lebih kepada bersifat komersial," katanya yang kini mempunyai klien tetap sejak 21 tahun lalu iaitu sebuah syarikat penyediaan makanan, selain pereka hiasan dalaman.

Koh kini semakin rancak menyediakan kelas kepada mereka yang berminat untuk mengikuti modul disediakan.

Kelas disediakan adalah dengan bantuan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pelajar dapat mengikutinya dengan cepat serta efisien.

"Namun, sejak pandemik kebanyakan pelajar mendaftar dalam talian dan boleh belajar modul disediakan mengikut tahap masing-masing.

"Saya lebih galakkan mereka untuk belajar dan berlatih, kemudian sambung semula modul kerana tiada gunanya jika tidak berlatih," katanya.

Bagi mereka yang ingin menghasilkan seramik, bengkel juga dibuka dengan bayaran RM275 setiap seorang.

Katanya, membuka perniagaan berasaskan kemahiran ini tidak mudah, namun disebabkan minat secara tidak langsung, beliau juga menjadikannya terapi terbaik dalam kehidupan.

Bagi pelajar, Lim Pui Yi, 27, berkata mengikuti kelas di sini mengakui bidang ini perlu mempunyai kesabaran yang tinggi, selain menghargai hasil titik peluh sendiri.

Katanya, daripada seketul tanah liat yang bulat, ia boleh berjaya menghasilkan rekaan tersendiri tanpa perlu meniru produk lain.

"Apabila kita melihat sendiri hasil kerja tangan yang dihasilkan, kita akan berpuas hati dan berbangga kerana mampu sampai ke tahap pembuatan produk terakhir kerana masa yang diperuntukkan sangat lama.

"Dari situ kita akan belajar menghargai masa dan secara tidak langsung keseronokan itu akan timbul dalam jiwa," katanya yang kini meneruskan kelas sebagai pelajar sedia-ada (intermediate).

Pui Yi yang kini bekerja sepenuh masa sebagai ahli terapi berkata, beliau gembira kerana berjaya menghasilkan produk tembikar sendiri dan bercita-cita untuk membuka perniagaannya sendiri suatu hari nanti.

"Apabila saya sudah mahir nanti, saya akan mula menghasilkan produk sendiri dan menjualnya kerana tembikar juga mempunyai nilai dan pasarannya yang tersendiri," katanya.

Bagi Alexandria Yeo, 36, pengalaman dua tahun belajar seni menghasilkan tembikar sangat memuaskan hatinya.

Katanya, sebelum ini beliau mempelajari seni seramik di Jepun dan ingin meluaskan teknik pembelajarannya sebaik pulang ke Malaysia.

"Saya menyertai kelas itu pada 2017 dan ia sangat menarik kerana Cindy mengajar teknik yang sangat baik.

"Sehingga kini saya masih lagi menggunakan teknik di ajar dan sering mendapatkan nasihatnya dalam memastikan hasil seni saya terbaik," katanya.

Apa yang menarik apabila mengikuti kelas seni seramik ini ialah ia memberikan seseorang itu kebebasan cara untuk berkarya dan kepuasan itu akan dirasai dalam diri pada tahap maksimum.

"Idea dan input yang anda buat dalam menghasilkan seramik itu tidak ada sesiapa yang kecam kerana ia adalah hasil kreativiti anda," katanya.

Berita Harian X