Khamis, 7 Oktober 2021 | 10:30am
Antara barisan gabungan 14 NGO yang terbabit dalam Tribunal Wanita Malaysia, 27 November ini.
Antara barisan gabungan 14 NGO yang terbabit dalam Tribunal Wanita Malaysia, 27 November ini.

20 wanita mangsa diskriminasi kongsi pengalaman

KUALA LUMPUR: Kira-kira 20 wanita yang menjadi mangsa diskriminasi pelbagai bentuk akan berkongsi pengalaman pada Tribunal Wanita Malaysia 2021 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 27 November ini.

Pengerusi Tribunal Wanita Malaysia (TWM), Ivy Josiah, berkata diskriminasi itu meliputi keganasan terhadap wanita dan keluarga, ekonomi, kesihatan, pendidikan dan yang berkaitan dengannya.

Katanya, menerusi Laporan 2021 Jurang Gender Global yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Sedunia meletakkan Malaysia di kedudukan 112 daripada 156.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan terakhir dari 10 negara di ASEAN.

"Ditambah dengan keadaan pandemik ketika ini, ketidaksamarataan gender dilihat semakin meningkat.

"Menerusi laporan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Belanjawan 2021: Negara yang Lebih Baik untuk Wanita" pada September lalu, menunjukkan pandemik menimbulkan kesan negatif terhadap semua diskriminasi kepada wanita.

"Antaranya ialah keganasan berdasarkan gender, peruntukan semula sumber penjagaan kesihatan, peningkatan beban rawatan yang tidak dibayar dan wanita yang keluar dari tenaga kerja," katanya dalam sidang media mengenai Tribunal Wanita Malaysia, di sini.

Ivy berkata, selama hampir 30 tahun masyarakat sivil memperjuangkan hak asasi wanita dan pelbagai alat advokasi digunakan bagi usaha merapatkan jurang berkenaan.

"Justeru, Tribunal Wanita ini antara yang diusahakan dalam memastikan hak asasi wanita di negara diberi perhatian dan kesamarataan.

"Saya pernah hadir di Tribunal Wanita Jepun yang diadakan di Tokyo mengenai perhambaan seks tentera Jepun terhadap wanita dari

Korea dan Malaysia yang dihantar ke kem tentera dijadikan sebagai hamba seks.

"Daripada tribunal itu, diakui amalan perhambaan seksual dan eksploitasi wanita berlaku dan memaksa mereka meminta maaf selain hakim mencadangkan pampasan dibayar kerajaan Jepun kepada wanita yang masih hidup," katanya,

Justeru, beliau berharap dengan penganjuran tribunal ini, suara wanita ini didengari dan diberi perhatian kerana hampir setiap bulan pelbagai isu diterima membabitkan wanita

"Bagi wanita yang berkongsi pengalaman nanti, kami menyediakan sistem sokongan kaunselor tanpa mengira latar belakang supaya mereka bersedia dari pelbagai aspek termasuk emosi.

"Selesai testimoni saksi dan pernyataan advokat, semua rekomendasi dibuat hakim akan dibentangkan ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan diserahkan kepada semua ahli parlimen dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)," katanya.

Sesiapa yang ingin menyertai Tribunal Wanita Malaysia anjuran Joint Action Group for Gender Equality (JAG) bersama Engender Consultancy secara dalam talian boleh melakukan pendaftaran di WomensTribunalMalaysia.com

Berita Harian X