Khamis, 16 September 2021 | 11:05am
Hazian (kiri) ketika lawatan di sebuah sekolah bagi memperkenalkan produk berasaskan madu kepada murid. - Foto ihsan Hazian Ghazali
Hazian (kiri) ketika lawatan di sebuah sekolah bagi memperkenalkan produk berasaskan madu kepada murid. - Foto ihsan Hazian Ghazali

Dulu peguam, pramugari, kini usahawan madu

KUALA LUMPUR: Bermula kerjaya dalam bidang guaman, kemudian beralih tugas di awan biru bersama sebuah syarikat penerbangan antarabangsa, dan kini bergelar usahawan produk berasaskan madu sehingga berjaya mendapat anugerah.

Bagi Hazian Ghazali, 44, pengalaman dalam perundangan dan perkhidmatan sebagai pramugari membantu mempersiapkan dirinya berdepan cabaran besar dalam bidang keusahawanan.

Berkongsi kisahnya, Hazian berkata beliau menjadi peguam bela dan peguam cara selama enam tahun selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Katanya, minat terhadap profesion ini timbul berikutan sikapnya yang suka bercakap selain gemar membuat perbandingan antara undang-undang di negara ini dengan negara lain.

Bagaimanapun, mencecah usia 30 tahun, Hazian berkhidmat sebagai pramugari di syarikat penerbangan Etihad.

Menariknya, sebagai pramugari berlaku tanpa dirancang dan asalnya hanya bertujuan menemani sahabat baiknya, sebelum Hazian turut sama menghantar permohonan.

"Saya pada masa itu sibuk dengan persediaan bagi kes pelanggan di mahkamah tetapi tanpa disangka, akhirnya disenarai pendek untuk temu duga di ibu negara.

"Selepas itu, saya menjadi antara yang terpilih daripada ratusan calon lain dan mula berkhidmat dengan Etihad pada Ogos 2007," katanya.

Meskipun menyukai kerjaya barunya itu tetapi Hazian hanya sempat berkhidmat bersama Etihad dan menetap di Abu Dhabi sehingga 2009 berikutan 'janji' pada ibunya untuk berkhidmat di awan biru selama dua tahun.

Produk madu yang diusahakan Hazian menerima Anugerah Madu Asli Terbaik 2020 daripada Natural Health Magazine. - Foto ihsan Hazian Ghazali
Produk madu yang diusahakan Hazian menerima Anugerah Madu Asli Terbaik 2020 daripada Natural Health Magazine. - Foto ihsan Hazian Ghazali

Kemudian, Hazian mengakhiri dua bidang tugas itu, kemudian mengambil langkah berani menceburi perniagaan pada 2016, dengan menghasilkan produk berasaskan madu asli dengan campuran ekstrak buah-buahan.

Belum pun lama memulakan perniagaan ini, Hazian berdepan cabaran apabila dua rakan kongsinya menarik diri berikutan komitmen kepada kehidupan masing-masing.

"Saya agak patah semangat pada mulanya apabila mereka menarik diri tetapi disebabkan misi besar menjadikan madu yang juga makanan sunnah sebagai snek sihat buat anak-anak, saya tekad meneruskan usaha.

"Pada masa itu, 'pejabat' saya hanyalah meja tempat menunggu anak habis kelas Tadika. Di situlah tempatnya saya memulakan proses mendapatkan ilham untuk perniagaan ini," katanya.

"Dalam bidang penjualan madu ini sendiri, isu paling kerap timbul antaranya penggunaan madu tidak asli, justeru dengan latar belakang dalam perundangan menjadikan saya begitu berhati-hati tidak berurusan dengan pembekal dan pengilang," katanya.

Tanpa disangka, jenama produknya banyak diperkenalkan melalui kunjungan ke sekolah, ekspo, karnival, dan kios itu, menerima sambutan baik ibu bapa dan sehingga kini sudah mengeluarkan tiga produk iaitu madu asli, madu asli dengan buah beri dan madu asli dengan lemon.

Banyak rintangan dilalui membangunkan perniagaan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, beliau berbangga apabila

produknya memenangi Anugerah Madu Asli Terbaik 2020 dari Natural Health Magazine, menjadi jenama madu pilihan untuk kanak-kanak serta dipercayai ibu bapa.

Berita Harian X