Selasa, 10 Ogos 2021 | 11:10am
Banyak spa ditutup impak pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP.- Gambar hiasan
Banyak spa ditutup impak pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP.- Gambar hiasan

Lebih 100 spa gulung tikar

KUALA LUMPUR: Lebih banyak lagi pusat rawatan kecantikan dan spa di negara ini, dijangka ditutup berikutan tidak mampu lagi beroperasi akibat terkesan susulan pandemik COVID-19.

Sejak Mac 2020 sehingga Mei lalu lebih 100 spa yang berdaftar dengan Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) dan Persatuan Kesejahteraan dan Spa Malaysia (MAWSPA) terpaksa gulung tikar selepas tidak mampu bertahan impak pandemik.

Industri itu terjejas teruk kerana setiap kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sering menjadi yang pertama diarahkan ditutup dan terakhir dibenarkan dibuka.

Presiden AMSPA, Datin Jeanette Tambakau, berkata sejak Mac 2020 sehingga Mei lalu terdapat lebih 100 spa daripada dua persatuan termasuk MAWSPA mempunyai lebih 500 ahli berdaftar.

"Industri Spa ketika ini sangat terkesan dan sejak Mac 2020 iaitu dalam tempoh kira-kira 15 bulan, hanya tujuh bulan sahaja spa dibenarkan beroperasi.

Datin Jeanette Tam
Datin Jeanette Tam

"Jika perkara ini berterusan, saya bimbang lebih banyak spa yang akan ditutup sekali gus menjejaskan ekonomi negara pada masa akan datang," katanya kepada BH.

Jeanette berkata, pihaknya sudah beberapa kali memohon kepada kerajaan supaya membenarkan industri itu beroperasi dengan mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Namun katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih tidak benarkan juga kerana industri itu dikatakan berisiko.

"Jika berisiko, mengapa industri berisiko lain seperti kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi kerana risiko masih sama.

"Setakat ini, saya juga tidak pasti apa alasan kukuh industri ini masih tidak dibenarkan beroperasi," katanya.

Beliau berharap industri itu boleh dibuka semula pada November ini selepas negara beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti perancangan.

Katanya, ketika ini sudah ramai pengusaha yang menyatakan mereka sukar bertahan berikutan masih perlu membayar sewa kedai walaupun tidak beroperasi.

"Justeru, saya amat berharap industri spa ini akan dapat beroperasi semula pada tempoh ditetapkan supaya pengusaha dapat menarik nafas lega.

"Selain itu, mereka juga dapat membantu memberikan semula pekerjaan kepada pekerja yang terpaksa diberhentikan sebelum ini," katanya.

Pemilik Jemari Studio, Sharifah Salmah Syed Zainal Abidin, berkata kerana terkesan dengan pandemik COVID-19, beliau terpaksa memberhentikan kakitangan dua spa miliknya.

Katanya, bagi mengurangkan tanggungan kerana spa tidak dapat beroperasi sejak Mac 2020, dia mengambil pekerja sambilan yang hanya dibuat bayaran setiap kali mempunyai pekerjaan.

"Saya terpaksa berbuat demikian kerana sejak PKP, spa adalah industri yang kerajaan tidak benarkan beroperasi terutama jika kes COVID-19 naik mendadak.

"Saya bersyukur kerana premis spa saya beroperasi adalah milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan agensi itu menawarkan pelbagai insentif termasuk pengecualian dan diskaun sewa sejak PKP yang sekali gus mengurangkan sikit beban saya," katanya.

Katanya, untuk kelangsungan hidup, dia mencari alternatif dengan menjual produk kecantikan, selain membuat kemudahan pembekalan.

"Saya membuka spa sejak 14 tahun lalu dan ini bidang yang amat saya minati sejak dahulu dan selagi mampu, saya akan berusaha mempertahankan perusahaan ini.

Pusat kecantikan dan spa Sharifah Salmah terbiar sepi menunggu kerajaan membenarkan semula industri itu dibuka semula. - Foto Ihsan Sharifah Salmah
Pusat kecantikan dan spa Sharifah Salmah terbiar sepi menunggu kerajaan membenarkan semula industri itu dibuka semula. - Foto Ihsan Sharifah Salmah

"Saya berharap, satu hari nanti keadaan akan kembali seperti sedia kala dan bukan sahaja industri spa dapat beroperasi seperti biasa, tetapi semuanya kembali seperti sebelum negara berada dalam PKP," katanya.

Katanya, apa yang boleh dilakukan ketika ini adalah sentiasa membersihkan peralatan yang ada di spa miliknya supaya sentiasa berada dalam keadaan baik dan sedia digunakan jika kerajaan membenarkan beroperasi semula.

Berita Harian X