Khamis, 10 Disember 2020 | 7:22pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Jadi pemimpin perlu pengetahuan, stabil emosi dan mental

PUTRAJAYA: Wanita muda harus bersedia dari segi pengetahuan, kestabilan emosi dan mental untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai program dan strategi untuk memperkasakan wanita.

Katanya, antaranya program itu adalah Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang ditandatangani pada 1995 untuk menentang diskriminasi ke atas wanita serta Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing, iaitu kerangka antarabangsa untuk memperkasakan golongan wanita dan kanak-kanak perempuan sebagai agenda dalam pembangunan negara.

Beliau berkata, komitmen kerajaan itu menyaksikan penyertaan wanita dalam sektor awam sebanyak 36 peratus, melebihi aras minimum 30 peratus, manakala di sektor swasta juga menggalakkan tetapi tidak secepat sektor awam.

"Ramai wanita yang berkelayakan untuk menjadi pemimpin, tetapi mereka tidak dipilih sebagai pemimpin.

"Jadi, rugi bagi negara kerana kita tidak boleh mencapai 50 peratus kepimpinan wanita dalam organisasi, institusi, atau mana-mana saja sama ada dalam sektor kerajaan, swasta atau badan bukan kerajaan," katanya.

Beliau berkata dalam ucapan penutup 'Program Kepimpinan Wanita: Membina Pemimpin Masa Hadapan' yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Sharifah Hapsah berkata, wanita muda khususnya pelajar universiti perlu bersedia untuk menjadi pemimpin yang bukan sahaja perlu membabitkan pengetahuan, tetapi juga kekuatan mental dan emosi kerana ia adalah cabaran yang perlu digalas oleh seorang pemimpin.

Ketika menjadi Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dahulu, beliau dapat melihat bagaimana pelajar dan pensyarah muda mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat bagus tetapi malangnya mereka kurang keyakinan diri.

Beliau berkata, antara ciri seorang pemimpin yang baik ialah menjadi suri teladan kepada pasukan dengan mewujudkan suasana profesional dan sihat untuk masyarakat berkembang, bekerjasama dengan mereka sebagai pasukan untuk mencapai matlamat dan nilai dalam kepimpinan iaitu moral dan etika.

Dianjurkan UKM melalui Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) dengan kerjasama NCWO dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, seminar itu mengetengahkan enam topik menarik iaitu Wanita dan hak-haknya, Cabaran Kepimpinan, Libat urus dan Jaringan, Menangani Kepelbagaian, Ketahanan Mental dan Perkongsian Pengalaman Kepimpinan.

– BERNAMA

Berita Harian X