Khamis, 3 Disember 2020 | 10:30am
Lukisan ‘fronliner’ berpelukan pernah tular diterjemahkan semula dalam bentuk lukisan hasil sentuhan Zarini Junita, antara dipamerkan dalam pameran komuniti Artgeng di Yayasan Warisan Johor (YWJ).- Foto/Omar Ahmad
Lukisan ‘fronliner’ berpelukan pernah tular diterjemahkan semula dalam bentuk lukisan hasil sentuhan Zarini Junita, antara dipamerkan dalam pameran komuniti Artgeng di Yayasan Warisan Johor (YWJ).- Foto/Omar Ahmad

Lukisan 'Frontliner' buka lembaran baru

JOHOR BAHARU: Lukisan bertajuk 'Frontliner' yang memaparkan tiga petugas barisan hadapan lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) berpelukan, dipamerkan dalam pameran Artgeng 2020, di Galeri Seni, Kompleks Sultan Abu Bakar, di sini, membuka lembaran baru kepada seorang guru meneruskan fasa seterusnya dalam bidang seni lukis.

Malah, lukisan Zarini Junita Jamaludin, 42, yang bertugas sebagai Guru Sains di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Onn Jaafar, Simpang Renggam, Johor berkenaan dibeli oleh pihak Yayasan Warisan Johor (YWJ).

Katanya, karya itu bukan 100 peratus miliknya, ia adalah gambar tular yang diterjemahkan dalam bentuk lukisan.

"Saya tersentuh hati lihat keadaan tiga 'Frontliner' itu berpelukan, saya terjemah kesedihan itu menerusi lukisan.

"Sejujurnya saya tersentuh hati, sedih dan terharu dengan pengorbanan mereka dalam mengharungi pandemik COVID-19 pada ketika ini.

"Selain karya 'Frontliner', ada hantar empat lagi karya di Artgeng yang bertemakan kepada unsur tradisional Malaysia seperti batu giling, teh tarik dan menu di kopitiam.

"Salah satu sebab lukis teh tarik dan menu kopitiam itu membangkitkan kerinduan untuk di duduk di kafe seperti lazim dilakukan negara dibadai COVID-19 dan kita tidak boleh lagi bebas bersantai seperti dulu," katanya sudah menghasilkan lebih 200 lukisan dalam tempoh dua tahun.

Minat Zarini Junita dalam bidang seni lukisan tidak pernah pudar.- Foto/Omar Ahmad
Minat Zarini Junita dalam bidang seni lukisan tidak pernah pudar.- Foto/Omar Ahmad

Beliau berkata, dalam pameran itu, sebanyak 2,970 karya lukisan yang dihasilkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Bercerita lanjut, Zarini Junita, berkata beliau mula aktif kembali melukis sejak dua tahun lalu, selepas meninggalkan lebih 30 tahun bidang itu.

"Minat melukis tak pernah terpadam, cuma disebabkan sibuk dengan kerjaya dan perlu mengurus anak kerana suami yang bekerja jurutera bertugas di Terengganu, hasrat melukis saya tangguhkan dahulu," katanya.

Bagaimanapun, segala-galanya bermula selepas beliau dimasukkan ke hospital selama seminggu akibat jangkitan kuman di paru-paru, dua tahun lalu.

Katanya, disebabkan terlalu bosan berada di hospital, beliau mula melukis menggunakan pen dan kertas.

"Masa itu saya ada bawa pen dan buku nota, jadi saya mula melukis dan mengasah bakat semula dalam seni lukisan ini.

"Apabila saya mula melukis, saya dapat ketenangan, hilangkan kebosanan dan dapat mencurahkan rasa di atas sekeping kertas. Saya lebih gemar melukis potret, pemandangan dan objek.

Antara ratusan lukisan yang dihasilkan oleh Zarini Junita.- Foto/Omar Ahmad
Antara ratusan lukisan yang dihasilkan oleh Zarini Junita.- Foto/Omar Ahmad

"Buat masa ini, saya menghasilkan seni lukisan bersaiz sederhana", katanya yang turut menyumbang lima karya dalam 6x6: Pameran Komuniti. Artgeng 2020 yang dipamerkan Galeri Seni, kompleks berkenaan," katanya.

Katanya, lukisan umpama curahan jiwa, interpretasi sesuatu peristiwa dan gambaran mengenai emosi seseorang pelukis.

Beliau bersyukur, bapanya, Jamaludin Abdullah orang seni dan ibunya, Allahyarham Zainab Mohd Noor pula bekas guru Pendidikan Seni, turut memupuk minatnya dalam bidang itu.

"Saya tidak belajar secara formal dalam seni lukisan ini kerana didedahkan sejak kecil lagi apabila ayah dan ibu. Namun disebabkan minat semasa kecil dulu memang saya melukis, jadi secara tidak langsung mempunyai asas dalam teknik lukisan.

"Apabila meningkat dewasa minat terhadap seni ada, tetapi saya memilih aliran Sains," katanya

Sementara itu, Pengarah Yayasan Warisan Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim, berkata Zarini Junita antara lebih 2,000 pelukis amatur serta profesional di seluruh negara dan Indonesia menyertai Pameran Komuniti. Artgeng 2020, baru-baru ini.

Katanya pihak YWJ dan Balai pendidikan seni visual (artgeng) menerima penyertaan sebanyak 3,608 karya bertemakan bebas, namun selepas penilaian dibuat 2,970 daripadanya dipamerkan dan dijual.

"Pelukis yang menghantar karya mereka menerusi pos ini berusia dari dua tahun hingga yang bergelar profesional. Tempoh lukisan ini sebenarnya bermula sejak Januari hingga Mac, namun disebabkan PKP, pengkarya menghantar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB).

"Dari karya yang dihasilkan, penggiat seni ini meluahkan daya kreativiti serta perasaan kehidupan semasa COVID-19 dan PKP.

"Kebanyakan lukisan memaparkan kehidupan ketika PKP, contohnya saya lihat banyak lukisan bintang dan bulan pada waktu malam yang mana ia melambangkan tahap kebosanan pengkarya.

"Banyak juga karya yang berkonsepkan makanan, yang menginterpertasikan kerinduan pengkarya terhadap beberapa jenis makanan semasa tempoh itu seperti nasi lemak, sate, kedai kopitiam, kuih-muih dan sebagainya", katanya

Kesemua karya ini dilukis oleh pengkarya dari 216 institusi termasuk TADIKA, Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) , Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan pelukis profesional.

Berita Harian X