Selasa, 17 November 2020 | 10:30am
Meskipun dunia berhadapan dengan kemerosotan ekonomi akibat pandemik COVID-19, namun permintaan terhadap emas sama sekali tidak terjejas. - Foto hiasan
Meskipun dunia berhadapan dengan kemerosotan ekonomi akibat pandemik COVID-19, namun permintaan terhadap emas sama sekali tidak terjejas. - Foto hiasan

Jana pendapatan jadi ejen jual emas

GEORETOWN: Tidak lekang dek panas, tak lapok dek hujan', demikian ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan kegemilangan emas di masa ini.

Meskipun dunia berhadapan dengan kemerosotan ekonomi akibat pandemik COVID-19, namun permintaan terhadap emas sama sekali tidak terjejas.

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, memberi peluang kepada kerani, Nur Aisyah Hassan dari Seberang Perai, 'berjinak-jinak' dengan perniagaan emas.

Masa yang terluang dalam tempoh itu, beliau secara serius mula mengikuti dan mempelajari tentang 'ilmu emas' menerusi dalam talian.

Pada mulanya, beliau hanya membeli emas sebagai ganjaran buat diri sendiri.

"Terdetik dalam hati, mengapa saya tidak mendalami ilmu jual beli dan berkecimpung dalam perniagaan emas?"

Nur Aisyah Hassan.
Nur Aisyah Hassan.

"Kata kuncinya ialah satu, memiliki emas tidak akan rugi kerana ia umpama pelaburan jangka masa panjang," katanya.

Menurut Nur Aisyah, beberapa bulan kemudian, beliau mengambil peluang menjana pendapatan sampingan dengan menjadi ejen jualan emas dengan sebuah syarikat di Seberang Jaya.

Katanya, agak sukar mencari pelanggan awal berikutan pada waktu 'gawat' ini, orang ramai mula berhati-hati dengan penjual emas dalam talian kerana bimbang ditipu.

"Saya mulakan dengan mendorong keluarga dan kenalan menyimpan emas, malah mereka menjadi antara pelanggan awal saya.

"Wanita sekarang perlu bijak mencari peluang dan ruang, boleh juga jadikan hobi mereka sebagai sumber bagi menjana pendapatan sampingan," katanya.

Nur Aisyah ditemui di Pameran Penang Signature Gold (PSG) 2020, di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Baru, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Pengurusan Foong Capital Trading, Joy F berkata, memang penjualan emas secara dalam talian berlangsung dengan agak perlahan berikutan faktor keselamatan.

Katanya, malah kebanyakan pembeli emas berasa tidak puas dengan hanya melihat gambar tanpa memegang sesuatu koleksi.

"Kita sedar kebelakangan ini banyak penipuan dijalankan secara dalam talian namun kami mengenakan prosedur baharu penghantaran dengan memberi insurans pada pada setiap koleksi yang dipesan pelanggan.

"Memang trend membeli emas koleksi agak perlahan terutama ketika musim perayaan dan kenduri namun ia tidak bermakna permintaannya berkurangan," katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Promosi Eksport dan Akses Pasaran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Koyakutty berkata, pembelian emas di negara ini tidak menunjukkan perbezaan sejak Mac lalu.

Katanya musim perayaan dan majlis perkahwinan yang banyak dibatalkan juga turut memberi kesan terhadap permintaan emas di negara ini.

Namun, dengan kelonggaran PKP kebelakangan ini, ia secara perlahan sudah mula menunjukkan peningkatan terhadap permintaan.

Berita Harian X