Khamis, 12 November 2020 | 8:11pm
Antara sentuhan kreatif Nurul Aini yang menghasilkan kraf tangan berasaskan ukiran kayu.- Foto/ Syaherah Mustafa
Antara sentuhan kreatif Nurul Aini yang menghasilkan kraf tangan berasaskan ukiran kayu.- Foto/ Syaherah Mustafa

Ukiran kayu jadi sumber rezeki selepas hilang pekerjaan

KOTA BHARU: Siapa sangka, seorang wanita yang hilang punca pendapatan sejak Mac lalu, akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini menjadi pengukir kayu kraftangan berjaya dengan pendapatan ribuan ringgit sebulan.

Nurul Aini Mat Besar @ Alias, 31, mengakui pada awalnya terkesan dengan pendemik COVID-19 apabila kerjayanya sebagai pembuat kek dalam talian terpaksa dilupakan selepas permintaan berkurang hari demi hari.

Beliau yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, berkata beliau mula mencuba nasib mengukir kayu sejak Jun lalu bagi menghasilkan jam, cenderamata, kalendar dan pelbagai jenis hiasan dinding serta meja.

"Idea itu datang selepas memikirkan cara terbaik bagi mencari rezeki kerana saya memiliki asas seni halus, selain tidak menyangka hasil tangan ini mendapat perhatian ramai yang dipromosikan di laman sosial.

"Dengan sokongan suami, Mohd Zil Syazwan, 36, saya meneruskan usaha menghasilkan seni kayu ini. Saya ada mesin laser ukiran memudahkan dan menyiapkan lebih banyak tempahan.

"Alhamdulillah, permintaan kraftangan berasaskan kayu semakin bertambah daripada kalangan individu, badan korporat dan kerajaan dari seluruh negara.

"Kini, saya ada beberapa ejen termasuk pelajar dan suri rumah untuk mencari pendapatan sampingan dengan mempromosikan hasil ukiran kayu, sekali gus merealisasikan impian saya berkongsi rezeki dengan mereka," katanya ditemui di premisnya di Bunut Payung, di sini, kelmarin

Beliau juga ibu kepada seorang cahaya mata berusia tujuh tahun berkata, hasil kerjanya itu dijual pada harga RM200 sehingga RM300 untuk satu item bergantung kepada ukiran dan jenis barangan diminta pelanggan.

"Bagi menyiapkan sesuatu bentuk ukiran kayu, saya memerlukan fokus, ketelitian, kreativiti serta kesabaran tinggi supaya hasilnya sempurna dan memuaskan hati pelanggan.

"Saya tidak menyangka miliki kerjaya sebegini, namun menganggap ia adalah hikmah di sebalik ujian saya kehilangan kerja akibat PKP sebelum ini. Saya berdoa orang lain turut diberikan rezeki dan tabah menghadapi ujian," katanya.

From: Fazlina

Berita Harian X