Khamis, 5 November 2020 | 11:48am
Penyelaras Kaukus Serantau (Asia Pasifik) bagi United Nations Major Group for Children and Youth (UN MGCY), Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabeer di Majlis Pembukaan Perasmian Ulang Tahun PBB ke-75, secara maya baru-baru ini.
Penyelaras Kaukus Serantau (Asia Pasifik) bagi United Nations Major Group for Children and Youth (UN MGCY), Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabeer di Majlis Pembukaan Perasmian Ulang Tahun PBB ke-75, secara maya baru-baru ini.

Gesa PBB tak abai suara orang muda

PUTRAJAYA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) digesa tidak mengetepikan suara orang muda dalam agenda Orang Muda, Keamanan dan Keselamatan (YPS) bagi memastikan keselamatan penggerak keamanan golongan berkenaan di rantau ini terjamin.

Penyelaras Kaukus Serantau (Asia Pasifik) bagi United Nations Major Group for Children and Youth (UN MGCY), Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabeer, berkata di beberapa negara identiti golongan itu terpaksa dirahsiakan apabila cuba bersuara mengenai hak orang muda kerana bimbang 'diserang' pihak tertentu.

Katanya, golongan muda termasuk dalam UN MGCY, sangat mementingkan solidariti dalam mengangkat advokasi golongan itu menjurus kepada YPS.

"Saya berpandangan golongan muda boleh bergiat aktif sebagai penggerak keamanan atau 'peacebuilder' dan 'peacemaker' di negara masing-masing untuk bertindak ketika berlaku konflik, selain mengajak kepada perpaduan dalam masyarakat," katanya kepada BH.

Sharifah Norizah berkata, mereka boleh menggerakkan masyarakat dengan mengelak terbabit dengan kumpulan ekstremis atau kumpulan radikal yang mengancam keselamatan dan kesamarataan sosial.

Golongan muda perlu sedar, ada pelbagai cara untuk memprotes berkenaan sesuatu isu tanpa perlu menjadikan tindakan radikal sebagai budaya dalam masyarakat.

Katanya, golongan muda perlu juga bertanya kepada diri, apa mereka buat untuk mengekalkan keamanan sedia ada, mengelak peperangan dan keganasan, peperangan bukan jalan keluar mengelak sesuatu konflik.

"Mereka perlu cakna apa yang berlaku di kawasan kerana isu keamanan adalah isu yang 'cross-sectional', terkait dengan pendidikan, keselamatan makanan, ekonomi, alam sekitar dan pelbagai isu sosial.

"Golongan muda perlu menjadi penyebar keamanan kerana mereka adalah penerus generasi. Sebagai ejen perubahan, mereka perlu bersuara dan bekerjasama dengan pemimpin setempat.

"Suara belia akan didengari jika ada strategi untuk bekerjasama dengan kuasa politik atau organisasi setempat, bantu mengubah budaya kerja dan tangani isu setempat, sebelum ke peringkat mengubah dasar," katanya.

Beliau sebelum ini, antara empat belia di dunia yang menyampaikan ucaptama di Majlis Pembukaan Perasmian Ulang Tahun PBB ke-75 secara maya, berpendapat golongan muda perlu mengubah persepsi mereka dahulu, dan mula memberi impak kepada masyarakat, selain mengambil tahu berkenaan budaya global yang semakin mudah dipelajari menerusi media sosial.

Katanya, ia boleh dicapai melalui perkongsian bersama rakan luar negara untuk kepentingan warga global.

Justeru, negara ini mempunyai kelebihan terutama kemampuan rakyat Malaysia hidup bersatu padu meskipun berlainan agama dan bangsa.

Sharifah Norizah berkata, mereka perlu sokongan dan pelaburan menyeluruh dalam aktiviti membabitkan orang muda.

Pembabitan dalam pembangunan komuniti atau pembangunan bandar, contohnya dilihat penting, selain golongan dikatakan terpinggir seperti orang kurang upaya (OKU), luar bandar, wanita dan kanak-kanak.

Golongan itu menjadi sumber utama data dalam melakukan perubahan atau penambahbaikan sistem pentadbiran serta dasar kerajaan.

"Jika dasar dibuat secara am, selagi itu kita akan mendapati kepincangan dan tidak mencapai sasaran pembangunan yang baik," katanya.

Selain itu, banyak suara golongan terpinggir seperti masyarakat OKU sering dilupakan, lantas banyak perkara boleh diperbaiki supaya tidak ketinggalan daripada pembangunan.

Berita Harian X