Khamis, 5 November 2020 | 10:14am
 Sharifah Norizah (kanan) kongsi bagaimana golongan muda patut berperanan dalam masyarakat bagi berdepan survive sejajar dengan perubahan zaman yang terlalu pantas.-
Sharifah Norizah (kanan) kongsi bagaimana golongan muda patut berperanan dalam masyarakat bagi berdepan survive sejajar dengan perubahan zaman yang terlalu pantas.-

Jaringan dalam talian beri impak positif

PUTRAJAYA: Penularan COVID-19 sejak Disember tahun lalu di seluruh dunia menuntut banyak perubahan dalam menjalani kehidupan dan cara kerja berkaitan pelbagai aspek lain.

Malah, isu kesihatan awam sejagat ini turut memberi impak dan menjadi perhatian golongan muda terutama apabila ia memberi impak langsung terhadap pekerjaan dan pendidikan.

Penyelaras Kaukus Serantau (Asia Pasifik) bagi United Nations Major Group for Children and Youth (UN MGCY), Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabeer, berkata pandemik COVID-19 mengajar semua pihak keperluan untuk tadbir urus lebih kukuh dan saling bergantungan.

Beliau berkata, sebagai masyarakat, semua pihak perlu akur bahawa simbiosis antara masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan belia dan golongan profesional dan sektor kerajaan adalah sangat penting.

"Kita perlukan satu sama lain, khasnya apabila membabitkan teknologi dan inovasi baharu yang diusahakan oleh golongan profesional contohnya dalam penyediaan sistem, infrastruktur dan kelengkapan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang lebih baik dan berkos rendah.

"Dari sudut pengurangan pengangguran, golongan profesional muda lebih kreatif dengan inovasi perniagaan secara dalam talian dan membantu lebih ramai peniaga 'offline' dan golongan B40 menggunakan peluang meningkatkan perniagaan.

"Simbiosis inilah maksud saya amat penting untuk kita fahami dan guna peluang membantu membina semula negara yang berdepan dengan cabaran COVID-19," katanya kepada BH.

Sharifah Norizah yang sebelum ini, antara empat belia di seluruh dunia yang menyampaikan ucaptama di Majlis Pembukaan Perasmian Ulang Tahun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-75 secara maya, turut melihat penggunaan teknologi mengubah cara masyarakat berkomunikasi dan berhubung termasuk merentasi sempadan negara.

Beliau melihat sesi perkongsian seperti webinar dan sebagainya secara dalam talian sebagai sesuatu yang positif dan dapat membantu masyarakat meningkatkan kemahiran dan berkongsi pengetahuan bersama rakan lain di dalam dan di luar negara.

Aplikasi seperti Zoom menjadi antara platform utama yang diguna pakai oleh masyarakat untuk mengadakan perjumpaan atau perkongsian secara maya.

"Kalau dahulu kita menjadikan alasan tidak mempunyai rakan luar negara kerana tiada duit untuk melancong atau mengembara ke luar negara, sekarang bagi saya alasan itu tidak boleh diguna pakai lagi.

"Terlalu banyak platform di media sosial seperti Facebook yang boleh kita dapatkan kenalan dan jaringan dan boleh kita terbabit dalam perbincangan dan berkongsi amalan terbaik dari Malaysia sendiri, terkait dengan pelbagai isu berikutan COVID-19," katanya.

Beliau berkata, semua masyarakat mempunyai peranan masing-masing dan sebagai golongan muda, mereka perlulah mencari peluang dan ruang untuk menjalankan peranan itu berikutan perubahan zaman terlalu pantas.

Katanya, ilmu juga bukan sekadar apa yang dipelajari dalam bilik kelas semata-mata, sebaliknya mereka perlu bersikap terbuka untuk belajar melalui mana-mana platform yang ada. Sharifah Norizah berkata, ia berikutan Malaysia dikenali dengan sistem dan pelan pembangunan yang baik, yang tidak dipunyai oleh semua negara.

Justeru, kelebihan itu boleh digunakan untuk membantu negara lain yang tidak memiliki sistem dan pelan pembangunan seperti dinikmati di negara ini.

"Jadi, menerusi konsep perkongsian amalan terbaik ini, ia dapat membantu negara yang memerlukan khususnya yang terkesan dengan COVID-19.

"Wadahnya adalah menerusi e-learning. Golongan muda perlu luaskan jaringan dengan rangkaian organisasi di luar negara. Jika tidak dengan negara lain, mulakan perkongsian sesama negeri, sesama masyarakat bandar dan luar bandar," katanya.

Berita Harian X