Ahad, 18 Oktober 2020 | 10:54am
Panel Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI. - FOTO MAGGI Malaysia
Panel Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI. - FOTO MAGGI Malaysia

Program Mentor Wanita Cukup Berani bantu tingkat keyakinan wanita

KUALA LUMPUR: Nestle Malaysia, pengeluar produk makanan jenama MAGGI, meneruskan usaha memperkasakan wanita dengan memberi inspirasi dan mendorong mereka untuk mencuba sesuatu yang baharu, menerusi Kempen Tak Kenal, Tak Cinta.

Kempen Tak Kenal, Tak Cinta atau 'Never Try, Never Know' yang dilancarkan tahun lalu oleh MAGGI® CukupRasa, memasuki fasa kedua iaitu dengan pelancaran Program Mentor Wanita Cukup Berani.

Geetha Balakrishna, Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI, Nestlé (Malaysia) Berhad. - FOTO MAGGI Malaysia

Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI, Nestlé (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna, berkata Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI, dengan kerjasama Women Will oleh Google Malaysia, bertujuan untuk memberi sokongan dan panduan kepada wanita di seluruh Malaysia supaya meningkatkan keyakinan diri, membina kemahiran digital serta keusahawanan asas.

Katanya, "Kempen ini juga adalah untuk mendorong wanita mencapai impian dan memberanikan diri mencuba sesuatu yang baharu, lain daripada kebiasaan sama ada memasak di dapur mahupun dalam kehidupan secara umumnya," katanya.

Jelasnya, Program Mentor Wanita Cukup Berani merangkumi dua siri bengkel dalam talian selama 3 hari yang diadakan, pertamanya dari 1 September hingga 3 September dan seterusnya dari 20 Oktober hingga 22 Oktober dan berlangsung dari jam 10 hingga 11.30 pagi setiap hari.

Katanya, pada hari pertama bengkel, peserta didedahkan kepada cara-cara membina keyakinan dengan mengambil langkah pertama mencuba sesuatu yang baharu; berkomunikasi menerusi menulis e-mel efektif dan mempelajari kemahiran digital untuk meningkatkan produktiviti perniagaan.

"Pada hari kedua, peserta memperoleh ketrampilan dalam perniagaan iaitu cara memula dan memperluaskan perniagaan serta menguruskan kewangan dengan lebih efektif.

"Untuk hari ketiga, mereka akan mempelajari kemahiran baharu seperti petua meningkatkan kemahiran memasak bersama Chef MAGGI, cara menyediakan hidangan nutrisi lengkap dan memasak dalam kuantiti besar serta keselamatan dan kebersihan makanan," katanya.
Beliau berkata, bengkel siri pertama mendapat sambutan yang menggalakkan dengan menerima 500 peserta.

Selepas siri bengkel dalam talian kedua, seramai 20 peserta akan dipilih untuk menjalani temubual dan penilaian untuk mara ke pusingan akhir.

Tiga peserta akan dipilih dalam pusingan yang terakhir untuk menerima bimbingan peribadi oleh tiga mentor iaitu pelakon dan usahawan, Datin Paduka Eina Azman; pelakon dan penerbit produksi, Sheila Rusly; dan pemilik My Mum's Bakery, Siti Saleha Idris atau lebih dikenali sebagai Anne Idris.

Samantha Lim dari Google Malaysia. - FOTO MAGGI Malaysia

Sementara itu, Samantha Lim dari Google Malaysia berkata, syarikatnya ingin membantu pengusaha perniagaan kecil memahami bahawa proses perniagaan adalah berbeza bagi setiap perniagaan.

Justeru katanya, Google sudah melancarkan pelbagai inisiatif dan program sejak Mac tahun ini supaya pengusaha perniagaan dapat menyesuaikan diri dengan cepat serta mempelajari kemahiran digital baharu, menggunakannya dalam perniagaan, dan dalam pada itu mengembangkan pasaran mereka.

"Menerusi Program Mahir Digital bersama Google, kami menyertakan modul baharu yang bertujuan, membimbing pemilik perniagaan membina kehadiran dalam talian mereka dan melakukan penjualan secara dalam talian.

"Selain latihan secara bersemuka, terdapat juga Skillshop iaitu platform dalam talian sehenti percuma untuk rakyat Malaysia meningkatkan pengetahuan mereka mengenai peralatan dan penyelesaian Google serta memanfaatkan kemahiran itu untuk tujuan perniagaan atau kegunaan peribadi.

"Dengan struktur fleksibel, pengguna bebas memilih bila, di mana dan bagaimana mereka ingin belajar, yang bersesuaian untuk mereka, sekali gus meningkatkan kemahiran diri sambil meneruskan perniagaan dengan berkesan," katanya.
Beliau berkata, Google My Business pula adalah penyelesaian percuma yang bermanfaat, membolehkan pengguna untuk berhubung bersama pelanggan menerusi Carian dan Peta Google dengan mudah.

Katanya, dengan peningkatan jumlah perniagaan di rantau ini yang beralih kepada e-dagang, Google menumpukan usaha untuk menyokong perniagaan kecil dalam apa jua cara.
Ini termasuk membantu peruncit menyenaraikan produk mereka di dalam talian secara percuma, bermula pertengahan Oktober, di tab Google Shopping.

Dalam pada itu, Anne teruja terpilih sebagai salah seorang mentor untuk Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI ini dan yakin ia (program) dapat membantu wanita meningkatkan kemahiran dalam bidang pengusahawan serta penggunaan teknologi.

"Platform sudah disediakan, jadi kita perlu mengambil langkah untuk menyertainya bagi meningkatkan kemahiran dan ilmu di dalam bidang perniagaan.

"Wanita perlu mengambil kesempatan ini dengan menggunakan platform digital untuk melakukan sesuatu yang baharu di dalam perniagaan," katanya.

Anne berkata, pada awal perniagaan beliau menggunakan teknik 'offline' yang mengharapkan pelanggan datang ke kedai. Langkah ini hampir membuatnya muflis (bankrap).

Bagaimanapun, selepas platform digital diperkenalkan beliau menggunakan kemudahan yang ada di Instagram serta Facebook untuk mempromosikan produk.
Selain itu katanya, Google My Business juga membantu dalam perniagaannya iaitu memudahkan pelanggan menghubungi serta membuat pesanan dengan mudah.

"Dalam proses 'mentorship' peribadi, saya akan mengajar mentee dalam pelbagain aspek sama ada fakta atau realiti berniaga, cabaran di dalam perniagaan serta cara mengatasi dan kekal bertahan.

"Perniagaan bukan perkara mudah. Jadi kita sebagai usahawan perlu mencari peluang untuk memperkembangkan perniagaan.

"Bermula secara kecil-kecil dahulu, persiapkan diri anda dengan ilmu dan sentiasa percaya usaha tanpa henti, cekal dan tawakal rezeki tidak salah pintu," katanya.

Berita Harian X