Khamis, 8 Oktober 2020 | 11:17am

Ambil syabu sejak usia 14 tahun

KUALA LUMPUR: "Saya ambil syabu sejak usia 14 tahun dan ia menjadi sejarah hitam dalam hidup". Menjadi hamba dadah satu kesilapan besar.

Itu luahan seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Laila, 26, yang nekad memperbaiki diri dengan mendapatkan rawatan pemulihan akibat ketagihan syabu di rumah Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), di sini.

Laila adalah antara lima wanita yang sedang mendapatkan rawatan pemulihan di Rumah PENGASIH, di ibu negara, manakala 40 lagi wanita lagi di tempatkan di seluruh negara.

Atas nasihat keluarga, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mendaftar masuk ke rumah berkenaan selama enam bulan berakhir Oktober tahun lalu, namun dimasukkan kembali pada Mac lalu selepas terjebak kembali dengan penggunaan dadah.

"Saya mula terjebak dengan dadah pada usia 14 tahun akibat pengaruh sepupu. Saya berjaya mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun ketika itu hisap syabu dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun, saya 'tumpas' ketika melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya.

"Ia menyebabkan saya lebih aktif menghisap dadah. Keluarga hantar saya ke rumah PENGASIH, tahun lalu selepas saya dan bekas kekasih ditangkap pihak berkuasa ketika mahu menghisap syabu di sebuah hotel.

"Bila saya selesai sesi pemulihan selama enam bulan, saya keluar dan mencari kenalan untuk bertanya khabar serta meluangkan masa lapang. Namun, tindakan itu membawa padah selepas saya turut serta menghisap syabu dengan wanita itu," katanya dalam temubual bersama BH, baru-baru ini.

Mengenai pengalamannya di pusat pemulihan itu, Laila berkata, dia berdepan kesukaran pada awal proses berkenaan.

"Tipulah jika kata tidak 'memberontak' pada peringkat awal kerana terikat dengan peraturan dan jadual program disediakan.

"Namun selepas beberapa minggu, secara sendirinya mula rasa seronok mengikuti pelbagai program motivasi dan kerohanian.

"Saya nekad mahu berubah dan tidak mahu hampakan ibu bapa yang banyak bersusah payah selepas kali kedua dihantar ke sini," katanya.

Presiden PENGASIH, Ramli Abd Samad, berkata 80 peratus daripada jumlah penghuni di situ berusia 18 hingga 30 tahun manakala bakinya berusia 31 hingga 50 tahun.

Katanya, tempoh program pemulihan bergantung kepada tahap fizikal dan mental seseorang pengguna bahan terlarang itu.

"Kita ada program selama tiga bulan, enam bulan dan setahun. Dalam tempoh itu, kita memeriksa tahap kesedaran penghuni, melihat jika mereka sudah sedia untuk kembali ke dunia luar.

"Kalau masih tidak bersedia, kita akan nasihat mereka untuk melanjutkan tempoh untuk tinggal lebih lama di rumah PENGASIH atau mendapatkan rawatan di institusi tertentu sebab maksimum hanya setahun untuk tinggal di sini," katanya.

Berita Harian X