Khamis, 8 Oktober 2020 | 10:51am
Peserta Malacca Ladys Bikerz menyertai Konvoi Jelajah Melaka Kita sempena Bulan Kemerdekaan ke -63. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar
Peserta Malacca Ladys Bikerz menyertai Konvoi Jelajah Melaka Kita sempena Bulan Kemerdekaan ke -63. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar

Kembara kelab motosikal besar wanita erat hubungan

MELAKA: Menunggang motosikal berkuasa tinggi bukan sekadar bersiar-siar memenuhi masa lapang ketika hujung minggu atau cuti umum, sebaliknya dijadikan sebagai medium mengeratkan hubungan dalam kalangan sekumpulan wanita dari negeri ini menerusi pelbagai program termasuk penjelajahan lokasi menjadi tarikan pelancong.

Presiden Kelab Malacca Ladys Bikerz, Maszila Mohd, berkata beliau bersama kira-kira 70 ahli kelab itu menyediakan pelbagai aktiviti dengan pengisian program berbeza.

Katanya, aktiviti kelab terdiri daripada wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun juga bertujuan meningkatkan motivasi dan semangat antara satu sama lain menerusi aktiviti sihat serta lasak.

"Kebiasaannya menunggang motosikal berkuasa tinggi menjadi kegilaan golongan lelaki, namun kami membuktikan ia bukan halangan buat wanita melakukan perkara sama.

"Banyak program yang kami lakukan. Program Jelajah Melaka Kita' dengan misi menjelajah destinasi pelancongan di negeri ini dan lain-lain lokasi.

"Pada program Jelajah Melaka Kita, kami mengambil masa hampir 10 jam bermula 7.30 pagi sehingga jam 5 petang, membabitkan jarak perjalanan kira-kira 148.8 kilometer (km) bermula di Taman Lebah, Ayer Keroh yang juga pusat pelancongan terkenal di Melaka yang berakhir di Muzium Kapal Selam, di pantai Klebang.

"Laluan lain termasuk Sungai Rambai, Asahan, Jasin, Pengkalan Rama dan Bukit Beruang yang turut membabitkan pemandangan menarik di negeri berkenaan selepas singgah di Taman Tiga Budaya di Asahan," katanya.

Peserta Malacca Ladys Bikerz menyertai Konvoi Jelajah Melaka Kita sempena Bulan Kemerdekaan ke -63. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar
Peserta Malacca Ladys Bikerz menyertai Konvoi Jelajah Melaka Kita sempena Bulan Kemerdekaan ke -63. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar

Beliau berkata, perjalanan itu juga turut melintasi sehingga kaki Gunung Ledang dan menyusuri Laman Budaya yang juga titik pertemuan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Menurutnya, program mendapat kerjasama Ban Zen Motor berkenaan turut disertai masing-masing 10 peserta dari Johor, enam dari Bahau dan lima dari Kuala Lumpur .

"Misi terbabit tetap mencabar termasuk mengendalikan motor berkuasa tinggi berat dan besar berbanding saiz wanita yang kecil.

"Malah saya dengan ketinggian 1.54 sentimeter (sm) dan berat 58 kilogram (kg) mampu mengendalikan motosikal jenis BMW GSR 1220 RC yang jika sekali imbas tidak tertanggung oleh badan dan fizikal.

"Pengalaman yang ada sejak remaja mengendalikan motosikal bermula dengan 'kapcai' membolehkan ia dikendalikan dengan baik dan bagi saya ia kegiatan amat menyeronokkan terutama ketika memecut. Namun, kita mesti mematuhi peraturan jalan raya dan had laju ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pengalaman dan kemahiran menunggang motosikal ini tiada masalah jika sentiasa mementingkan keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sepanjang jelajah sama ada sebelum dan selepas berakhirnya program berkenaan.

Maszila berkata, program juga antara usaha mempromosi Melaka sebagai destinasi pelancongan popular di negara dan dunia.

Setiausaha kelab itu, Khairunnisa Rosli, berkata program yang disertai memberi impak besar terhadap hubungan silaturahim antara ahli keluarga, pasukan keselamatan dan semua pihak yang terbabit.

Beliau berkata, program juga mendekatkan peserta dengan komuniti, perpaduan kaum, semangat patriotik sekali gus memperkenalkan lokasi pelancongan popular kepada peserta dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Berita Harian X