Selasa, 6 Oktober 2020 | 11:01am
Tempoh rawatan tiga jam untuk setiap pelanggan memberikan kelegaan kepada pengusaha spa. - Foto ihsan Jeanette
Tempoh rawatan tiga jam untuk setiap pelanggan memberikan kelegaan kepada pengusaha spa. - Foto ihsan Jeanette

10 pusat spa gulung tikar

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 10 pusat spa terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasi yang tinggi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tempoh rawatan dihadkan hanya sejam bagi setiap pelanggan turut menyumbang kepada penurunan jumlah individu untuk mendapatkan perkhidmatan spa sehingga menjejaskan pendapatan usahawan dalam industri ini sebelum ini.

Bagaimanapun sejak 1 Oktober lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) difahamkan sudah memberi kelonggaran kepada tiga jam bagi perkhidmatan bagi setiap pelanggan berbanding satu jam sebelum ini.

Sehingga kini, terdapat 250 ahli berdaftar di bawah Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) dengan jumlah spa direkodkan sebelum PKP ialah sebanyak 15,000.

Presidennya, Datin Jeanette Tambakau, berkata industri spa negara mengalami kerugian bernilai ratusan juta ringgit kerana tidak beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB), sejak 18 Mac lalu.

Katanya, pendapatan kasar minimum sebuah outlet spa bernilai RM100,000 sebulan, manakala premis yang beroperasi di hotel atau resort pula RM300,000 bagi tempoh sama, selain pemilik perlu membayar bil utiliti dan gaji pekerja.

Datin Jeanette Tambakau.
Datin Jeanette Tambakau.

Malah, kebanyakan spa dilihat bergerak perlahan membabitkan kadar jualan antara 20 hingga 30 peratus, sejak perkhidmatan dibenarkan beroperasi mulai 1 Julai lalu sekali gus menyukarkan pengendali menampung kos operasi.

"Mengehadkan tempoh perkhidmatan selama sejam bagi setiap pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan kami sebelum ini menjadi antara punca industri ini berdepan tempoh sukar untuk kekal dalam industri ini.

"Kebiasaannya, pelanggan mahu mendapatkan lebih daripada satu rawatan, contohnya kombinasi urutan dan rawatan muka yang memerlukan dua jam bagi mendapatkan perkhidmatan itu.

"Ini menyebabkan ada pelanggan tidak mahu datang semata-mata ke spa kerana diberi masa had yang singkat. Mereka tidak mahu berulang-alih.

"Namun, dengan pengumuman terbaharu ini, kami berharap keadaan akan menjadi bertambah baik pada masa depan," katanya kepada BH.

Pada masa sama, beliau berkata semua pengusaha industri spa sentiasa diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan COVID-19 khususnya dalam keadaan kes yang semakin meningkat kini.

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Mengulas lanjut, ketiadaan pelanggan dari negara luar menyuramkan lagi aliran perniagaan perkhidmatan itu kerana kebanyakan spa bergantung kepada pelancong asing yang mewakili kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan pengunjungnya.

"Kebanyakan pelanggan kami adalah pelancong dari Asia Tenggara, Eropah dan China yang mewakili 60 peratus, manakala 40 peratus lagi adalah pelanggan tempatan.

"Kami banyak kehilangan pelanggan dan kini bergantung harap kepada pengunjung tempatan, susulan tindakan kerajaan mengekalkan pendirian menutup sempadan negara," katanya.

Katanya, walaupun berdepan kesukaran beroperasi buat masa ini, namun semua ahli persatuan dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Pada masa sama, beliau turut mengakui industri spa negara dijangka terus berdepan situasi perniagaan mencabar sekurang-kurangnya bagi tempoh setahun, susulan penularan COVID-19.

Berita Harian X