Selasa, 6 Oktober 2020 | 10:30am
INDUSTRI spa antara sektor penting untuk menjana ekonomi dan pelancongan. - Foto hiasan
INDUSTRI spa antara sektor penting untuk menjana ekonomi dan pelancongan. - Foto hiasan

Bantu untuk kami terus bernafas

KUALA LUMPUR: "Bantu kami untuk terus bernafas. Bagai pengusaha pusat spa berskala besar impak penularan COVID-19 amat dirasai yang memerlukan kos perbelanjaan tinggi termasuk kadar sewa dan gaji pekerja.

"Bagi operasi spa kecil seperti yang saya miliki kesannya kurang dirasai, namun tetap lega apabila ada inisiatif daripada kerajaan untuk membantu kami terus bertahan dalam industri ini," kata pengusaha spa di ibu negara, Hana Halim, 37.

Hana berkata, beliau bersyukur Program Subsidi Upah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang disediakan banyak membantunya dalam meneruskan operasi bagi perkhidmatan itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau yang mengusahakan spa di Bangi, Selangor, berkata melalui program itu, pihaknya tidak perlu runsing lagi memikirkan mengenai gaji perlu dibayar kepada pekerja sejak industri spa dibenarkan beroperasi pada 1 Julai lalu kerana pihaknya mendapat bantuan PERKESO.

"Program ini amat membantu. Saya mendapat RM1,200 dari PERKESO bagi bayaran gaji untuk setiap seorang kakitangan pada Julai, Ogos dan September.

"Saya membuat permohonan untuk bayaran empat kakitangan dan ia diluluskan. Jadi memang mengurangkan beban kami sebagai pemilik spa kerana pembayaran gaji kakitangan dapat diselesaikan," katanya yang sudah dua tahun menguruskan spa sendiri.

Hana berkata, bagi operasi spa kecil seperti dimiliki ini, kesan yang dirasai akibat COVID-19 tidak begitu menjejaskan berbanding premis yang besar kerana perbelanjaannya tidak terlalu tinggi dengan kadar sewa lebih murah, selain diberikan bantuan oleh kerajaan menyebabkan pihaknya masih boleh terus bernafas.

Beliau mempunyai pengalaman 16 tahun dalam operasi spa berkata, pendapatan bagi perkhidmatan menurun 10 peratus sebelum ini akibat beberapa larangan perlu dipatuhi sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Hana Halim.
Hana Halim.

Katanya, ini kerana, sebelum ini tempoh rawatan boleh diberikan kepada setiap pelanggan hanya terhad kepada satu jam sahaja selain rawatan yang berkaitan dengan air juga tidak dibenarkan.

"Namun, kami bersyukur kerana sejak 1 Oktober, tempoh had rawatan sudah dipanjangkan dari satu jam kepada tiga jam, manakala semua rawatan berkaitan air juga dibenarkan dan kami menjangkakan keadaan boleh bertambah lebih baik selepas ini.

"Sehingga kini, hanya rawatan skrub dan aktiviti pengumpulan beramai-ramai di spa sahaja yang tidak dibenarkan bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19, " katanya.

Beliau berkata, aspek paling penting perlu ditekankan kini dalam memastikan perniagaan boleh terus bertahan ialah meningkatkan tahap pemasaran bagi memastikan pelanggan terus dimaklumkan mendapatkan khidmat mereka.

Katanya, pihaknya sendiri mengakui aspek pemasaran amat membantu jualan operasi spa turut melonjak naik selepas melaksanakan inisiatif itu secara maksimum.

"Pihak spa harus memainkan inisiatif sendiri dengan tidak hanya menyalahkan keadaan ekonomi namun juga melakukan usaha seperti pemasaran untuk menarik kedatangan pelanggan, " katanya.

Beliau menganggap industri spa wajar diberi perhatian kerana ia turut membantu menjana pendapatan ekonomi dan sektor pelancongan negara, selain mengelak lebih banyak pengusaha gulung tikar terutama dalam situasi COVID-19 yang masih berhadapan dengan kes yang turun naik.

BANTUAN kerajaan masih diperlukan bagi memastikan industri mampu bertahan. - Foto hiasan
BANTUAN kerajaan masih diperlukan bagi memastikan industri mampu bertahan. - Foto hiasan

Berita Harian X