Khamis, 20 Ogos 2020 | 8:30am
Yus sudah biasa membawa lori untuk ke tapak jualan pasar borong dan destinasi jualan. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Yus sudah biasa membawa lori untuk ke tapak jualan pasar borong dan destinasi jualan. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Ibu tunggal tak kisah pandu lori, angkat buah

CEKAL dan gigih membuktikan status ibu tunggal bukan halangan buat Yus Abdul Malik, 37, menguruskan perniagaan buah, walaupun terpaksa membawa lori dua tan ke setiap destinasi jualan.

Baginya, itulah punca rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan tabah menyara diri selagi terdaya dengan tulang empat kerat.

Menurutnya, walaupun ramai terkejut berikutan melihat dia memandu lori dua tan membawa buah-buahan, namun kerja berkenaan sudah biasa dilakukan bagi menjana pendapatan.

Malah dia jelas tidak terkesan dengan tanggapan pihak tertentu kerana yang penting perlu terus berusaha gigih bagi memastikan mempunyai wang simpanan untuk hari tua yang tidak dapat dipastikan sihat atau sebaliknya.

"Selagi termampu saya perlu bekerja kerana susah senang hidup sendirian perlu di lalui dengan penuh kesungguhan terutama selepas berpisah dengan suami beberapa tahun lalu.

"Selain memandu lori, memasang khemah, mengangkat bakul dan kotak buah-buahan juga antara yang perlu saya lakukan, termasuk mengangkut meja jualan serta menyusun dan menyimpan jualan perlu dilakukan sendiri," katanya.

Yus menyusun buah-buahnya sebelum memulakan perniagaan. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Yus menyusun buah-buahnya sebelum memulakan perniagaan. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Dia yang tinggal di kampung Ulu Duyung Bemban, Jasin, Melaka, berkata, setiap hari dia akan keluar ke lokasi jualan di pasar borong Melaka dan tapak pasar malam sementara beberapa lokasi di Jasin, Paya Ikan dan Bukit Baru untuk memastikan buah-buahan tempatan dan import yang dijual termasuk epal, anggur, pir, limau, longan, betik, pisang, tembikai, nanas, nangka dan jambu batu mampu menjana pendapatan buatnya.

Beliau berkata, jika musim buah-buahan termasuk rambutan, manggis, langsat, duku dan durian menjadi pilihannya untuk dijual.

Yus berkata, biarlah apa pandangan sesetengah orang berkaitan tugasnya namun bukan halangan buatnya kerana dia sudah biasa dengan kerja berkenaan selepas mendapat idea daripada ayahnya yang juga peniaga buah-buahan.

Walaupun, kepenatan dan keletihan selepas pulang berniaga, namun puas hati berikutan mampu berusaha dengan tulang empat kerat tanpa mengharap belas orang lain.

Pada masa sama, dia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai sentiasa menjadi pelanggannya tambahan pula, dia dilihat tidak berkira dengan harga jualan.

Malah sikap ramahnya juga menarik perhatian orang ramai untuk membeli, selain pemurah dengan sesekali memberi kuantiti lebih daripada sepatutnya untuk pelanggan.

Berita Harian X