X
Khamis, 16 April 2020 | 4:16pm
Sesi terapi, kaunseling menerusi panggilan video bantu mangsa trauma didera suami. Gambar hiasan
Sesi terapi, kaunseling menerusi panggilan video bantu mangsa trauma didera suami. Gambar hiasan

Panggilan video bantu mangsa keganasan rumah tangga

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) membuat sesi terapi dan kaunseling menerusi panggilan video untuk membantu mangsa yang trauma selepas berdepan dengan keganasan rumah tangga, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Kempen WAO, Tan Heang-Lee, berkata sebelum ini setiap sesi kaunseling dilakukan secara bersemuka, namun bagi memastikan mangsa terus mendapat sokongan, panggilan video ini antara cara yang efektif supaya mereka terus kuat.

Katanya, sepanjang mematuhi arahan PKP pihaknya tetap aktif menjalankan khidmat sosialnya dengan cara lebih berkesan dalam menangani isu keganasan rumah tangga.

“Kami juga mengambil inisiatif dengan memberi khidmat nasihat melalui panggilan telefon dan WhatsApp kerana hanya itu saluran yang mampu membantu wanita mendapatkan pertolongan,” katanya dihubungi di sini.

Kebiasaannya WAO akan memberi nasihat bagaimana mereka membuat laporan polis dan sebagainya, sekiranya dalam hal kecemasan contohnya penderaan serius, WAO akan maklumkan kepada pihak polis dengan segera.

"Sesi terapi dan kaunseling menerusi panggilan video kepada mangsa yang trauma, namun ia sangat terhad dalam tempoh PKP ini, “katanya.

Menyentuh mengenai rumah perlindungan pula, Tan berkata sehingga kini kapasiti rumah perlindungan sudah berada di tahap maksimum, dan bagi memastikan penghuninya terutama kanak-kanak tidak bosan, WAO mengadakan program pendidikan menerusi video.

"Kes penderaan sepanjang PKP ini berlangsung semakin meningkat dan majoritinya adalah mereka yang sudah berdepan dengan keganasan rumah tangga sebelum PKP lagi.

"Apabila PKP, ia semakin kerap dan serius. Contohnya berkaitan dengan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), apabila wanita itu memohon dan diketahui oleh pendera, mereka akan berdepan dengan keganasan yang serius. Ini yang menyebabkan kes semakin meningkat," katanya.

Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan, berkata, pihaknya menerima 44 peratus kes keganasan rumah tangga sepanjang PKP menerusi panggilan telefon.

Katanya, kebanyakan peratusan wanita meminta nasihat selepas didera secara seksual, fizikal dan sebagainya.

“Faktor aduan bertambah kerana berada di rumah dan wanita 'terperangkap' tanpa sebarang bantuan.

"Sepanjang tempoh Januari hingga Mac lalu, sebanyak 877 panggilan membabitkan keganasan rumah tangga diterima, berbanding sebelum PKP.

"WAO menyediakan 24 jam talian supaya mereka dapat menghubungi kami,” katanya.

Bagi memastikan keselamatan wanita terjamin, Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumahtangga di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu bertindak segera dengan beberapa cadangan yang disyorkan.

"Kita juga mahu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas kepada barisan hadapan dalam memberi maklum balas kepada kes keganasan rumah tangga.

“Wanita patut mendapat Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) dan Perintah Perlindungan Interim (IPO) bagi melindungi diri selepas membuat laporan polis sebagai amaran kepada mereka sedang diawasi.

"Kerajaan juga boleh menghasilkan pesanan khidmat masyarakat mengenai perkhidmatan tersedia bagi meredakan kebimbangan mereka terhadap akses yang boleh dihubungi," katanya.

Sumitra berkata, dalam keadaan negara berdepan dengan pandemik ini, semua pihak perlu mengenal pasti siapa paling terpinggir dan berisiko.

"Hubungi Hotline 24 jam WAO di 03-7956 3488 atau WhatsApp TINA di 018 9888 058 untuk bantuan, katanya.

Berita Harian X