X
Jumaat, 10 April 2020 | 1:41pm
AZLIANA sedang bertugas ketika operasi sekatan jalan raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Gambar ihsan e-emel
AZLIANA sedang bertugas ketika operasi sekatan jalan raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Gambar ihsan e-emel

Panggilan video pengubat rindu

KUALA LUMPUR: Hanya mampu berkomunikasi dengan anak melalui panggilan video, selain terpaksa menyerahkan sepenuh tugas menjaga bayi kepada pengasuh antara realiti pengorbanan ibu yang bertugas di barisan hadapan sepanjang krisis COVID-19, sekarang.

Mereka bukan sahaja berdepan risiko lebih besar dijangkiti wabak ini kerana banyak masa diperuntukkan menjaga keselamatan masyarakat, tetapi juga bimbang kemungkinan menyebarkan virus kepada ahli keluarga lain.

Bagi anggota trafik, Koperal Azliana Abu, 39, jadual tugasan yang tidak menentu khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksanya membuat keputusan meninggalkan anaknya yang baru berusia 11 bulan bersama pengasuh.

“Tugas sebagai anggota polis wanita terutama cawangan trafik sangat mencabar tambahan saya mempunyai anak kecil berusia 11 bulan, selain suami anggota tentera turut terbabit bagi pemantauan COVID-19.

“Disebabkan itu, sukar mengambil bayi di rumah pengasuh kerana tugas kami suami isteri biasanya keluar pagi sehingga ke malam.

ANAK, Azliana berusia 11 bulan dijaga pengasuh sepanjang PKP. - Gambar ihsan e-emel
ANAK, Azliana berusia 11 bulan dijaga pengasuh sepanjang PKP. - Gambar ihsan e-emel

“Jadi bagi mengelakkan sebarang risiko, walaupun sedih dan rindu, saya kuatkan diri untuk berjauhan dengan anak demi tugas dan keselamatan semua,” katanya.

Azliana yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, memandangkan anaknya masih menyusu badan, beliau tetap menjalankan rutin mengepam susu setiap malam untuk diserahkan kepada pengasuh keesokan harinya.

“Dalam waktu krisis COVID-19 ini, tugas kami tidak menentu jadi ada ketika sehingga seminggu bayi terpaksa tinggal bersama pengasuh.

“Nasib saya baik kerana pengasuh boleh bertolak ansur, jadi kami suami isteri cuba sehabis daya untuk membantu keluarga mereka antaranya menyediakan keperluan makanan terutama barang dapur apatah lagi dalam tempoh ini tidak digalakkan keluar rumah,” katanya yang turut bertugas dalam operasi sekatan jalan raya sepanjang tempoh PKP ini.

Justeru, Azliana berharap rakyat Malaysia lebih peka terhadap bahaya wabak ini dengan turut memikirkan pengorbanan besar dilakukan dalam kalangan barisan hadapan.

“Jangan mudah memaki hamun kami bila ditahan dalam sekatan jalan raya. Sebaliknya, sahutlah saranan Perdana Menteri supaya duduk di rumah,” katanya.

Bagi pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Bangi yang mengendalikan kes COVID-19, Dr Siti Nur Syamimi Mohamad Asaad, berkata sebagai isteri dan ibu sudah pasti rungsing sehingga pada awalnya terlalu paranoid kerana bimbang anak berisiko dijangkiti.

“Antara cabaran terbesar saya dan suami juga bertugas sebagai doktor mungkin membawa penyakit ini pulang ke rumah, justeru penjagaan mereka perlu difikirkan.

“Kerungsingan bertambah kerana saya bertugas di daerah Hulu Langat yang menyumbang jumlah pesakit positif COVID-19 antara tertinggi setakat ini dengan tugas pengambilan sampel secara purata sehingga 110 kes sehari.

“Pada awalnya, perasaan gementar benar-benar menghantui diri pada ketika itu dan saya juga mengakui hampir paranoid dengan semua benda yang disentuh,” katanya.

PEGAWAI perubatan di Klinik Kesihatan Bangi yang mengendalikan kes COVID-19, Dr Siti Nur Syamimi Mohamad Asaad bersama keluarganya. - Gambar Ihsan e-emel
PEGAWAI perubatan di Klinik Kesihatan Bangi yang mengendalikan kes COVID-19, Dr Siti Nur Syamimi Mohamad Asaad bersama keluarganya. - Gambar Ihsan e-emel

Menyentuh rutin penjagaan kesihatan sebelum pulang ke rumah, Dr Siti Nur Syamimi berkata, banyak peraturan baru dibuat demi melindungi anak daripada terdedah dengan penyebaran virus berkenaan.

“Walaupun mempunyai pembantu rumah untuk menjaga anak sepanjang tugasan, mereka sebenarnya tetap terdedah kepada jangkitan wabak ini ketika kami pulang dari tempat kerja.

“Biasanya saya dan suami berpakat untuk membersihkan diri terlebih dahulu di tempat kerja mahupun di lebuh raya sebelum pulang ke rumah.

“Selain itu, satu sudut nyah cemar dibuat di bahagian luar rumah dan anak tidak dibenarkan memeluk sehingga kami selesai membersihkan diri,” katanya.

Berkongsi pengalamannya mengendalikan kes berisiko COVID-19, ada ketikanya mereka tidak mengenakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang lengkap, justeru tidak ada cara lain selain menjalani kuarantin sendiri di rumah.

“Saya dan suami akan duduk di dua bilik khusus yang berlainan dan menjauhkan diri daripada anak-anak sehingga keputusan pesakit didapati negatif COVID-19.

“Keputusan biasanya akan diketahui selepas lima hari, jadi dalam tempoh itu kami hanya akan melakukan panggilan video untuk berhubung walaupun berada dalam satu rumah.

“Berulang kali juga saya terpaksa menerangkan bahaya COVID-19 kepada anak-anak supaya mereka faham dan bersabar,”katanya.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini turut berkata, antara ikhtiar untuk sentiasa tenang adalah dengan bacaan ayat al-Quran bersama terjemahannya sebelum keluar bekerja setiap pagi.

Berita Harian X