Rabu, 8 April 2020 | 9:00am
Rohaiza melihat pokok bunga di nurseri miliknya di Kampung Lepar, Limbat, Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Rohaiza melihat pokok bunga di nurseri miliknya di Kampung Lepar, Limbat, Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Nurseri dalam talian dapat sambutan

KOTA BHARU: Bermula sekadar hobi dan minat mengisi masa lapang, kini wanita ini memiliki nurseri menjual bunga, sekali gus mampu menjana pendapatan sampingan.

Menurut Rohaiza Ab Rahman, 42, dia mengusahakan kebun mininya itu seawal jam 9 hingga 11 pagi dan mempunyai lebih 400 spesies anak pokok bunga termasuk ros, orkid, sand paper wind dan adenium yang menjadi kegilaan pencinta bunga.

Ibu kepada seorang cahaya mata berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media dari Universiti Malaya (UM) ini berkata, pada peringkat awal dia hanya menanam pokok bunga sekadar hobi untuk menghiasi halaman rumah.

“Bagaimanapun, selepas bunga yang ditanam sering kali mencuri perhatian mereka yang berkunjung ke rumah, selain ada yang bertanya dan mahu membelinya menyebabkan saya mengambil keputusan untuk membuka nurseri bunga dan kini kian mendapat permintaan.

“Untuk mempromosikan bunga yang ditanam di nurseri, saya menyertai kelab peminat bunga di dalam laman sosial Facebook yang mempunyai kira-kira 30,000 ahli dari seluruh negara, sekali gus menjadikan medium ini sebagai platform untuk menjual bunga, selain mendapatkan tip mengenai penjagaan bunga.

Sebahagian lebih 400 spesies anak pokok bunga di nurseri mini Rohaiza. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Sebahagian lebih 400 spesies anak pokok bunga di nurseri mini Rohaiza. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

“Untuk memastikan bunga dijual segar, saya menyiram anak pokok bunga ini dua kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan petang,” katanya ketika ditemui di nurseri miliknya di Kampung Lepar, Limbat, di sini.

Rohaiza berkata, sejak mengusahakan nurseri berkenaan, antara 120 hingga 150 anak pokok bunga dijual sebulan. Harga bagi setiap anak pokok bunga serendah RM25 hingga RM60, termasuk caj penghantaran.

“Pelanggan saya bukan sahaja wanita, malah ada juga lelaki.

“Saya menjual bunga ini secara dalam talian dan bagi pelanggan yang tinggal berdekatan, terutama di daerah Kota Bharu, saya akan menghantar terus kepada mereka, manakala yang berada di luar Kelantan saya menghantarnya melalui pos.

“Memandangkan pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, buat sementara waktu saya menghentikan penghantaran bunga, namun masih mengambil tempahan dan pembelian secara dalam talian,” katanya.

Rohaiza melakukan penyemburan baja dan vitamin kaktus dan sukulen setiap minggu bagi memastikan tanamannya subur. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Rohaiza melakukan penyemburan baja dan vitamin kaktus dan sukulen setiap minggu bagi memastikan tanamannya subur. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, dalam situasi yang berlaku pada ketika ini, masih ada pelanggan yang membuat tempahan dan pembelian, pada masa sama, mereka juga sudah dimaklumkan mengenai penghantaran yang mungkin terjejas disebabkan PKP.

“Walaupun dalam tempoh PKP, saya bersyukur kerana masih ada yang ingin membeli bunga dan menganggap ia rezeki.

“Pada masa sama, saya juga mengambil tempahan membuat kek melalui Facebook Iza Nasir dan mendapat sambutan,” katanya.

Berita Harian X