Isnin, 9 March 2020 | 8:12am
Tan Seri Rafidah Aziz, memotong kek sebagai simbolik perasmian sempena Hari Wanita Sedunia di Dewan D’ Attap, Kuang, semalam. - Foto Fathil Asri
Tan Seri Rafidah Aziz, memotong kek sebagai simbolik perasmian sempena Hari Wanita Sedunia di Dewan D’ Attap, Kuang, semalam. - Foto Fathil Asri

Jaga dulu keluarga, sebelum perjuangkan hak di luar

SUNGAI BULOH: Setiap wanita perlu memperkasakan diri dengan mempamerkan kepimpinan bermula dari rumah dan memastikan semua terurus secara menyeluruh termasuk memberi pendidikan terbaik untuk anak.

Tokoh politik wanita negara, Tan Sri Rafidah Aziz, berkata, sejajar itu semua mereka sewajarnya memikirkan semula perkara yang betul dan memastikan keluarga terjaga sebelum ingin memperjuangkan hak wanita di luar rumah.

Katanya, hari ini kebanyakan ibu bapa masing-masing sibuk sehingga anak tidak terdidik sehingga ada yang menjadi pembuli di sekolah kerana tidak diajar dengan baik di rumah.

Beliau berkata, wanita seharusnya tidak dipandang daripada soal jantina sahaja, sebaliknya perlu dilihat bersandarkan keupayaan mereka.

“Ada yang mahukan wanita berada dalam semua tempat, tetapi mereka perlu mempamerkan kerana bukan untuk perang jantina.

“Sebenarnya, wanita memainkan peranan yang cukup besar, dari pagi hingga malam walaupun bukan sebagai lembaga pengarah syarikat, tetapi keputusan yang dibuat mereka dalam soal rumah tangga jauh lebih hebat daripada itu.

“Tidak perlu berebut dengan lelaki dan saya jelak mendengar wanita perlu diberi ruang 30 peratus dalam membuat keputusan (pentadbiran kerajaan).

“Kita mahu golongan wanita yang berkemampuan dan berkebolehan dan tiada gunanya jika memenuhi kuota 30 peratus kalau tak boleh menyumbang kepada pembangunan wanita dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia, di sini, semalam.

Program sehari anjuran badan bukan kerajaan (NGO), Wanita Wibawa dan Majlis Perbandaran Selayang itu diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk bicara keselamatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), senamrobik dan pertandingan membabitkan penyertaan wanita bersama anak seperti pakaian sedondon serta gubahan sirih.

Rafidah berkata, wanita juga perlu sedar bukan mudah untuk mengecapi hak dan peluang sama rata yang diperoleh hari ini.

“Seingat saya, ketika legasi Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, kami menggesa pucuk pimpinan memberi hak saksama kepada wanita termasuk dalam soal gaji, pampasan dan cukai taksiran sebagaimana lelaki.

“Ketika itu melalui pertubuhan wanita, pelbagai perubahan penting dibawa kerana dalam masyarakat ketika itu ada peraturan atau amalan di tempat kerja misalnya yang menghalang wanita untuk menyumbang sepenuhnya.

“Gerakan ini bukan baru dibuat tetapi sejak tahun 60-an lagi sudah dimulakan dan hasil perjuangan wanita waktu itu dapat dinikmati dan dirasai generasi hari ini,” katanya.

Beliau menyarankan jasa dan sumbangan besar tokoh wanita masa lalu tidak seharusnya diketepikan kerana golongan itu banyak menyumbang kepada pembangunan wanita dan pembinaan negara yang mapan.

Bagaimanapun, katanya, persaingan di antara lelaki dan wanita masih diletakkan di hadapan.

“Kita tak mahu melihat seolah-olah golongan hawa tidak mampu melangkah jauh sekiranya tidak berada di tempat, jawatan dan taraf hidup sebagaimana lelaki,” katanya

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X