Khamis, 30 Januari 2020 | 10:25am
Rozita (kanan) beramah mesra dengan usahawan Muslimah pada Kejohanan Futsal Wanita Terbuka 2020, di Johor
Rozita (kanan) beramah mesra dengan usahawan Muslimah pada Kejohanan Futsal Wanita Terbuka 2020, di Johor

PUMJ bantu usahawan B40 pasar produk

JOHOR BAHRU: Bagi memperkasa usahawan Muslimah B40 dalam bidang perniagaan, Persatuan Usahawan Muslimah Johor (PUMJ) aktif membantu golongan berkenaan memasarkan produk mereka secara langsung.

Pengerusinya, Rozita Muhamad Sanusi,  berkata persatuan berkenaan dianggotai seramai 300 usahawan Muslimah daripada golongan B40, termasuk ibu tunggal.

Rozita berkata, penubuhan persatuan itu bertolak daripada pengalamannya sendiri mengalami kepayahan bermula sebagai usahawan Muslimah yang cuba mencari peluang memasarkan produk syarikatnya.

“Sebenarnya ramai wanita Muslimah ada kepakaran dan kepandaian, terutama dalam bidang masakan contohnya menghasilkan biskut yang sedap, selain membuat pelbagai jenis masakan, termasuk sambal menyelerakan.

“Namun, mereka tidak memiliki peluang serta kurang ilmu perniagaan untuk memasarkan produk ke pasaran lebih luas, sekali gus bangkit daripada kemiskinan dan meningkatkan pendapatan keluarga.

“PUMJ mengambil kesempatan ini dengan membantu ahli kami dengan mengadakan pelbagai seminar dan bengkel perniagaan secara percuma bagi mendedahkan ahli kepada ilmu pemasaran dan pembangunan jenama dan produk mereka.

“PUMJ memberi peluang kepada usahawan berminat berniaga sempena Kejohanan Futsal Wanita Terbuka 2020 dengan menyediakan lot niaga secara percuma,” katanya kepada BH.

Kira-kira 20 pasukan futsal wanita, termasuk dari Lembah Klang dan Melaka menyertai kejohanan dianjurkan PUMJ, di samping 10 gerai niaga ahli memasarkan produk mereka termasuk kuih, biskut dan sambal.

Rozita berkata, peluang berniaga yang disediakan PUMJ bagi melatih ahlinya memasarkan produk mereka secara langsung, selain mewujudkan jaringan bersama peniaga dan pelanggan baharu.

“Kita juga sering bekerjasama dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menjalankan program pinjaman pembiayaan, selain membantu ahli yang berjaya mendapatkan geran daripada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, usahawan biskut dan kek, Afrina Cookies, Zuraihan Sadikin, 42, berkata inisiatif yang disediakan PUMJ amat membantu usahawan kecil sepertinya untuk memperluaskan pasaran bagi produk biskut dan keknya.

“Alhamdulillah, sejak dua tahun lalu sudah banyak bengkel dan seminar dianjurkan PUMJ sudah saya sertai.

“Saya juga diberi peluang menjadi tenaga pengajar bengkel brownies dan kek bakar pandan bagi wanita B40 di Johor Bahru yang berminat,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X