Isnin, 18 November 2019 | 2:12pm
Ahli BPW menerima anugerah pada ASEAN Woman Entrepereneur 2019, di Bangkok, baru-baru ini.
Ahli BPW menerima anugerah pada ASEAN Woman Entrepereneur 2019, di Bangkok, baru-baru ini.

BPW bantu teroka pasaran luar

KUALA LUMPUR: Persatuan Wanita Profesional dan Perniagaan (BPW) Malaysia cawangan Kuala Lumpur menyediakan platform untuk pembangunan usahawan bagi membantu wanita, termasuk golongan profesional meneroka pasaran lebih luas dalam dan luar negara.

Presidennya, Sarimah Mohamad Sabudin, berkata pihaknya yakin dapat melahirkan lebih ramai wanita terbabit dalam bidang keusahawanan dan mampu berdaya saing.

Katanya, sejak ditubuhkan lima tahun lalu, pertubuhan bukan kerajaan itu melahirkan 100 usahawan dalam pelbagai bidang.

“Ada beberapa cawangan BPW termasuk di Putrajaya, Damansara, Bangsar dan Kuching, Sarawak menerusi misi sama bagi melahirkan wanita berdaya saing dan komited bagi meneroka perniagaan antarabangsa.

“Perniagaan memerlukan jaringan hubungan luas dengan pihak lain dan tidak hanya memberi fokus dalam negara.

“Menerusi rakan niaga daripada pelbagai negara, mereka yang menceburi bidang perniagaan mempunyai kelebihan dan dapat berkongsi maklumat dan membantu antara satu sama lain,” katanya.

BPW ditubuhkan Dr Lena Medesin Philips di Geneva, Switzerland pada 1930 yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat dan mempunyai perwakilan tetap dalam Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC).

Selain itu, misi persatuan itu juga mahu mewujudkan hak sama rata antara wanita dan lelaki sebagai pembuat keputusan, mewujudkan kesaksamaan gender dalam segala aspek.

Katanya, pelbagai program pembangunan usahawan wanita disediakan, termasuk melatih ahlinya mendalami ilmu perniagaan secara menyeluruh supaya mampu berdaya saing.

“Tidak terkecuali agenda pembangunan dan memperkasakan wanita juga diperluaskan di pedalaman kerana yakin mereka berpotensi maju dengan mengembangkan bakat dalam pelbagai bidang seperti perniagaan kraf tangan sehingga mampu menembusi pasaran global,” katanya.

Beliau berharap persatuan ini menjadi platform dan suara kepada pembabitan wanita dalam sektor perniagaan yang berpotensi mengangkat kepakaran di mata dunia.

Wanita dibantu dari aspek pemasaran, penjenamaan dan jaringan sosial, bersikap profesionalisme serta kepemimpinan meneroka alam perniagaan antarabangsa secara serius.

Setiap individu perlu sedar kewujudan persatuan bukan untuk menawarkan kewangan, tetapi menjadi platform menonjolkan diri dan berkongsi jaringan sosial untuk menjana pendapatan.

“BPW di negara ini disertai pelbagai golongan wanita sama ada pemimpin, usahawan, pemilik perniagaan, eksekutif, profesional seperti peguam dan doktor.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai golongan profesional untuk bertempur secara sihat dalam landskap perniagaan tempatan, sekali gus berjaya menempatkan diri di persada dunia,” katanya.

Sarimah berkata, memastikan wanita di kampung atau pedalaman tidak ketinggalan dalam melestarikan usaha murni ini, persatuan itu turun padang membantu wanita di daerah Miri dan Limbang, Sarawak dalam usaha memperkenalkan produk kraf tempatan ke luar negara.

“Saya sudah mulakan usaha ini tahun lalu dengan mengumpulkan wanita kawasan pedalaman yang ada bakat dan mahu berjaya menerusi produk kraf mereka.

“Hasil kraf iaitu beg ini diteruskan pula wanita di Kuala Kangsar yang mahu menjana pendapatan dan ada bakat menjahit ‘lining’ beg untuk dipasarkan di 23 negara.

“Kepakaran saya dari segi promosi dan pemasaran diterjemahkan dalam usaha memperkasakan wanita luar bandar menerusi perniagaan,” katanya.

Berita Harian X