Sabtu, 16 November 2019 | 2:41pm
Ayesha ketika mengikuti A Level di Fleetwood Nautical Campus.
Ayesha ketika mengikuti A Level di Fleetwood Nautical Campus.

Ayesha Marina, pelayar wanita Malaysia pertama kapal pesiaran Princess Cruise

KUALA LUMPUR: Anak kelahiran Petaling Jaya, menjadi rakyat Malaysia pertama ditawarkan mengikuti program pengajian Asas Sains Nautika, sekali gus memberikannya peluang bekerja sambil belajar sebelum bergelar pegawai tinggi kapal persiaran Princess Cruise.

Ayesha Marina Lee, 19, kini menetap di Portsmouth, United Kingdom (UK) adalah cahaya mata sulung Intan Suraya Lee, 46, wanita Malaysia dan Darren John Lee, 58, warga Britain memulakan ijazah asas itu pada September lalu.

Anak gadis ini bertuah kerana mendapat tajaan sepenuhnya daripada syarikat perkapalan berpangkalan di Amerika Syarikat. Tawaran ini, sekali gus memberi beliau peluang melangkah lebih jauh untuk bergelar pegawai tertinggi ketiga di syarikat ternama itu.

Beliau sebelum ini mengikuti pengajian A Level di Portsmouth College, UK dengan pengkhususan Matematik, Fizik dan Fotografi, menyifatkan peluang ini ibarat bulan jatuh ke riba.

Katanya, pemilihan mengikuti program kadet di Fleetwood Nautical Campus sebagai pegawai dek berdasarkan prestasi cemerlang sejak enam tahun lalu dengan menyertai pelbagai aktiviti berkaitan sukan, akuatik.

Ayesha Marina bersama Intan Suraya. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
Ayesha Marina bersama Intan Suraya. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

“Menerusi data pada kurikulum vitae (CV) banyak memaparkan pelbagai program berkaitan sukan akuatik yang disertai selain penyertaan dalam pelbagai pertandingan antaranya kejohanan mendayung, aktiviti renang, pelayaran dan ‘power boating’.

“Pembabitan aktif sejak enam tahun lalu dalam kegiatan sukan air sebenarnya bermula sejak usia lima tahun lagi, berikutan ibu bapa menghantar saya dan adik, Alesha Suraya, 17, ke kelas renang bertujuan mempersiapkan diri, terutama ketika kecemasan.

“Melihat minat dan kecenderungan saya terhadap sukan air, jurulatih mengesyorkan saya untuk mengikut kelas lanjutan,” katanya yang ditemui ketika menziarah keluarga di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sepanjang enam tahun ini, Ayesha Marina berjaya mendapat pengiktirafan antaranya memiliki sijil tahap dua untuk kemahiran mengendalikan ‘power boat’, sijil Personal Water Craft (PWC) dan kursus pertolongan cemas.

Pada masa itu juga beliau mendapat sijil Kelayakan Penyeliaan Pantai Vokasional Kebangsaan (NVBLQ) dan menyertai sukarelawan perenang muda.

Ayesha Marina di Fleetwood Nautical Campus, United Kingdom.
Ayesha Marina di Fleetwood Nautical Campus, United Kingdom.

“Semua pencapaian ini memberi banyak kelebihan dan dimuatkan dalam CV hingga ada pihak tertarik menawarkan tajaan bekerja sambil belajar.

“Saya akan memulakan jadual pelayaran ke Amerika Utara diikuti Asia Selatan, Eropah serta perjalanan perairan utama lain bermula Februari ini,” katanya.

Beliau berkata, kesungguhan ini didorong oleh minat mendalam kerana mahu melakukan hingga tahap membanggakan.

Katanya, dia bersyukur kerana ibu bapa tidak putus-putus menyokong selepas mengetahui bidang ini sangat diminati sejak kecil dan mempunyai peluang mengembangkan kerjaya pada masa depan.

“Kesungguhan berlatih sepanjang tempoh tiga tahun berturut-turut bersama pasukan mendayung, saya tidak melepaskan peluang mengambil bahagian pada kejohanan terbuka London Great River Race di Sungai Thame yang menjadi acara popular di seluruh dunia dalam kalangan penggiat sukan itu.

Aksi Ayesha Marina pernah menyertai London Great River Race antara 2016 hingga 2018.
Aksi Ayesha Marina pernah menyertai London Great River Race antara 2016 hingga 2018.

“Pernah bergelar juara pada 2016 bagi kategori terbuka 16 tahun, tempat kedua (2017) kategori 18 tahun dan nasib juara terbuka wanita 2018,” katanya.

Beliau yang juga ahli Langstone Cutters Rowing Club berkata, selain aktif aktiviti renang dia juga selesa menyertai aktiviti sukarelawan, pembantu jurulatih renang serta kadet Stokes Bay Sailing Club.

Katanya, semua pencapaian itu dikecapi dengan keberanian, bakat, kepakaran, kualiti dan tidak takut pada air. Melihat kepada sukan ini semuanya cenderung kepada aktiviti air yang memerlukan keberanian.

Sementara itu, Intan Suraya yang bekerja sebagai pembantu penjagaan kesihatan berkata, sebagai ibu beliau memahami kecenderungan anaknya meminati bidang sukan air.

Beliau berkata, berbekalkan usaha berterusan akhirnya hasrat Ayesha Marina untuk bergelar pelayar menjadi kenyataan. Pada masa sama, dia sentiasa mengingatkan kepada mereka mengenai pentingnya disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

“Selain sentiasa memberi nasihat menjaga tatasusila di mana sahaja berada. Baginya semua itu perlu diberi perhatian untuk terus berjaya dalam apa sahaja bidang diceburi,” katanya yang menurunkan kemahiran memasak kepada dua-dua anak yang dibesarkan di perantauan atas tuntutan tugas suaminya.

Intan Suraya kini bertugas sebagai pembantu penjagaan kesihatan, sementara suaminya kini di Bangkok, Thailand kerana bertugas sebagai ketua bahagian operasi, melatih juruterbang kadet di Pusat Latihan Penerbangan Asia (AATC).

Berita Harian X