Jumaat, 8 November 2019 | 11:01am
TAHIRA mendaki anak tangga Menara Kuala Lumpur. - Foto Azih Azmee

Daki 2,058 anak tangga dalam tempoh 15 minit

KUALA LUMPUR: Bukan calang-calang wanita mampu berlari sambil mendaki 2,058 anak tangga setinggi 288 meter dalam tempoh hanya 15 minit 55 saat.

Masa itu berjaya dicatatkan jurupandu aktiviti lasak, Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, 30, pada acara larian mendaki anak tangga Menara Kuala Lumpur bermula di pintu masuk ke paras Mega View, baru-baru ini.

Tahira yang juga juara ultra-maraton berlumba bersama pelari menara nombor dua dunia dan nombor satu Asia, Soh Wai Ching dan pelari veteran nombor satu Malaysia, Jeffrey Ros sempena Larian Potatoes USA Powers Up KL Tower.

Soh mencatatkan masa lapan minit 42 saat, manakala Jeffrey sampai dengan mengambil masa 10 minit pada acara berkenaan.

Tahira berkata, acara larian mendaki anak tangga itu cukup mencabar berbanding larian di atas trek rata kerana perlu menggunakan banyak tenaga.

“Berbeza larian di atas tanah, saya perlu banyak menggunakan tangan untuk memegang besi di kiri kanan tangga bagi mendorong tubuh ke atas selain kekuatan kaki dan paha.

“Ini antara acara cukup mencabar selepas 10 tahun menyertai larian mendaki anak tangga di sini, selain terpaksa menangguhkan latihan selama dua tahun kerana masalah kesihatan anak bongsu yang menghidap jantung berlubang,” katanya.

Wanita kacukan Melayu dan British ini aktif membabitkan diri dalam sukan lasak selepas menamatkan zaman persekolahan sehingga berjaya mengukir pelbagai kejayaan manis.

Antaranya bergelar juara acara Utlra Trail Mount Hallasan, Korea 2019 (kategori terbuka wanita) dan juara Women Champion Asia Trail Master Series (2016).

Beliau didedahkan aktiviti luar termasuk berkhemah sejak di bangku sekolah rendah bersama pasukan pengakap yang disertai sehingga menerima pengiktirafan King Scout.

Beliau yang dilahirkan di Tanjung Malim, Perak, mula berjinak dengan aktiviti daki gunung selepas tamat zaman persekolahan.

Demi minatnya Tahira bekerja dengan syarikat pengembaraan sebagai jurupandu aktiviti lasak seperti mengharung jeram dan menerokai gua, selain jurupandu mendaki gunung pada 2007.

Paling manis apabila beliau terpilih sebagai wanita tunggal mewakili negara pada misi pertama merentasi Greenland dengan ski sejauh 550 kilometer (km) selama 27 hari dalam suhu negatif 40 darjah Celsius pada 2014.


JURUPANDU aktiviti lasak, Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid. - Foto Azih Azmee

Kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan apabila terjatuh ke dalam gaung ketika berlumba di Pulau Tioman, Pahang.

Ketika mendahului peserta lain, Tahira tersadung sebelum jatuh ke bawah gaung, namun semangatnya gigih dan bangkit semula untuk meneruskan perlumbaan kerana jarak garisan penamat hanya lima kilometer.

Sakit di rusuk akibat terhentak di batang pokok tidak dihiraukan akhirnya berbaloi apabila berjaya menduduki tempat pertama.

Sokongan suami, Abdul Rahman Abu Hassan, 37, turut mendorong beliau untuk terus aktif walaupun selepas bergelar ibu.

“Sebagai tentera, suami sentiasa sibuk menyebabkan saya memilih jadi suri rumah sepenuh masa bagi menumpukan perhatian kepada anak-anak.

“Saya tetap membahagikan masa untuk bersukan atau menjalankan latihan kerana tidak mahu gelaran isteri dan ibu mengubah diri saya,” katanya.

Menurut Tahira, usai menguruskan anak, beliau mencuri masa untuk berlari di atas treadmill di rumah.

Bergelar ahli sukan lasak, Tahira sentiasa memastikan diri dan keluarga makan makanan berkhasiat dengan menyediakan sendiri masakan di rumah.

Kesihatan diri amat penting baginya bukan saja untuk menyertai pertandingan, tetapi demi anak kerana sekiranya jatuh sakit, tiada siapa akan menjaga anak apabila suaminya bekerja.

“Sebolehnya saya elak minum air dalam tin, makanan segera dan jarang makan di kedai. Masak juga kurang menggunakan minyak.

“Kebanyakan masakan saya ringkas seperti sup dengan perisa semula jadi menggunakan bahan seperti bawang untuk cita rasa manis,” katanya.

Oleh kerana ibunya wanita British, sejak kecil beliau banyak didedahkan dengan makanan berasaskan kentang.

Selain itu, katanya, beliau amalkan makan salad, buah-buahan tempatan seperti mangga, tembikai dan betik untuk mengimbangkan diet.

Prinsipnya adalah lebih banyak kalori diambil, lebih banyak ia perlu dikeluarkan menerusi aktiviti lasak.

Berita Harian X