Isnin, 4 November 2019 | 9:54am

Doktor, peguam antara pendera

KUALA LUMPUR: Doktor dan peguam tersenarai sebagai pelaku kes keganasan rumah tangga serta penderaan ke atas isteri atau pasangan masing-masing secara mental dan fizikal.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Malaysia, Sumitra Visvanathan, berkata aliran kes keganasan rumah tangga kini bukan sahaja membabitkan lelaki dari kelompok bermasalah dan penagih dadah, namun menjalar kepada golongan profesional.

“Dulu keganasan rumah tangga biasanya membabitkan golongan bawahan dan bermasalah, tetapi kebelakangan ini, lelaki berpendidikan tinggi tidak terkecuali melakukan dera,” katanya kepada BH.

Faktor utama lelaki berpendidikan bertindak demikian, katanya, juga bukan lagi disebabkan masalah kewangan, tetapi lebih kepada rasa ego dan mahu menunjukkan kuasa lelaki kepada pasangan mereka.

“Apabila rasa memiliki dan hormat semakin tinggi, mereka mendera untuk memenuhi kepuasan diri,” katanya.

Semalam, BH melaporkan sebanyak 4,277 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini. Mangsa paling ramai adalah wanita muda bekerja dalam sektor swasta, menyebabkan mereka mengalami masalah kesihatan mental kronik.

Daripada jumlah itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 1,600 kes keganasan rumah tangga membabitkan mangsa berusia antara 25 hingga 35 tahun.

Mengulas lanjut, Sumitra berkata, paling menyedihkan apabila ada suami mendera emosi isteri dengan memanggil mereka dengan panggilan menjijikkan seperti ‘pelacur’ dan ‘monyet’ sehingga mangsa mengalami tekanan perasaan dan kemurungan kronik.

Penderaan psikologi juga meliputi dalam bentuk ugutan, mengancam dengan keganasan, merosakkan harta benda dan mengurung mangsa.

Sumitra turut mendedahkan, antara kes yang diterima WAO membabitkan penderaan psikologi dilakukan suami dengan kejam, iaitu mengurung isteri bagi tempoh begitu lama sehingga lima tahun.

“Dalam tempoh itu, suami mengurung, dera isteri secara mental dan emosi, tidak benarkan isteri berhubung dengan dunia luar, dilarang guna telefon dan menonton televisyen. Paling kejam, isteri hanya diberi makan sekali sehari, manakala anak-anak pula tidak bersekolah,” katanya.

WAO Malaysia juga menerima aduan ada wanita diugut, dimaki hamun, dihina paras rupa dan direndahkan martabat oleh pasangan mereka, dipercayai bagi menanam rasa tidak yakin dalam diri, sekali gus akur dengan kekejaman dilakukan suami.

“Bagi penderaan jenis ini, memang tidak nampak kesan fizikal seperti lebam pada badan, tetapi boleh dibuktikan menerusi pemeriksaan dan laporan pakar psikiatri sama ada mangsa alami gangguan tekanan pasca traumatik (PTSD), tekanan, keliru mahupun paranoid.

“Masyarakat dan semua pihak perlu tahu bahawa penderaan psikologi juga termasuk dalam kesalahan mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.

Beliau berkata, wanita yang kerap menjadi mangsa dera pasangan masing-masing adalah daripada kalangan mereka yang masih muda, berusia antara 20 hingga 29 tahun.

Ia berdasarkan rekod kes diterima WAO Malaysia yang menunjukkan wanita dalam usia berkenaan paling ramai menjadi mangsa dera dengan 41.03 peratus, diikuti wanita berusia 30 hingga 39 tahun sebanyak 30.77 peratus.

“Mengikut rekod kami, kes keganasan rumah tangga di Lembah Klang, khususnya Selangor adalah yang tertinggi berbanding negeri lain, iaitu sebanyak 85.71 peratus,” katanya.

Berita Harian X