Ahad, 13 Oktober 2019 | 2:43pm
Peniaga (dari kiri) Mek Ibrahim, 57, Rohani Deraman 54, Fatin Ayuni Ramli, 24, Asmidar Ramli, 25 dan Nurul Farhana Mohd Hadi, 23, mendengar insentif untuk golongan wanita ketika menonton siaran langsung Belanjawan 2020 di Pasar Besar Siti Khatijah, Kota Bharu. - NSTP/Fathil Asri

Wanita perlu sedia tingkat ilmu

KUALA LUMPUR: Wanita perlu lebih bersedia dengan meningkatkan ilmu pengetahuan bagi merebut peluang disediakan melalui program #WanitaKerja yang akan memanfaatkan 33,000 wanita dalam masa lima tahun.

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz, yang membuat gesaan itu, berkata wanita yang berminat untuk kembali bekerja perlu meneroka peluang baharu terutama dalam Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), dan tidak mengehadkan diri kepada kemahiran sedia ada.

“Mereka perlu mengenal pasti potensi diri. Dalam tempoh tidak bekerja, sudah tentu kita sudah boleh melihat perkembangan dalam peluang pekerjaan yang dimahukan pasaran, bukan terhad kepada kemahiran sedia ada yang boleh kita tawarkan.

“Contohnya, jika dulu anda seorang setiausaha, tidak semestinya anda perlu kembali menjadi seorang setiausaha, sedangkan perniagaan secara atas talian lebih mendapat sambutan.

“Justeru, kita perlu lebih bersedia untuk kembali. Jika wanita boleh menawarkan apa yang dimahukan (pasaran) dan berani keluar dari zon selesa, mereka tidak akan terpinggir,” katanya.

Melalui program #WanitaKerja di bawah inisiatif #MalaysiaKerja, sebanyak 33,000 peluang pekerjaan diwujudkan dalam setahun untuk wanita berusia antara 30 dan 50 tahun yang berhenti bekerja setahun atau lebih.

Wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja RM300 sebulan dalam bagi tempoh yang sama. Sebagai tambahan, pengecualian cukai pendapatan bagi wanita yang kembali bekerja akan dilanjutkan empat tahun lagi sehingga tahun 2023.

Melalui langkah meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021, Norhimah menyifatkan ia tidak akan menurunkan produktiviti wanita, sebaliknya akan lebih sedia kembali bekerja.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan, berkata kerajaan membuktikan komitmen untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran kerja melalui peruntukan kewangan.

“Kami gembira mengetahui bahawa insentif #WanitaKerja diperkenalkan untuk menggalakkan dan membolehkan wanita kembali bekerja, sekali gus menyumbang dan mempunyai hak dalam ekonomi negara,” katanya.

Beliau juga berpendapat peruntukan RM30 juta bagi kemudahan penjagaan kanak-kanak, terutama di sekolah dan hospital adalah satu penambahbaikan yang signifikan supaya lebih banyak wanita menyertai tenaga kerja.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Madeline Berma, menyifatkan Belanjawan 2020 menyediakan peluang kepada wanita untuk meningkatkan potensi diri.

“Kerajaan berusaha untuk meningkatkan penyertaan wanita sepenuhnya dalam ekonomi digital bagi mencapai kemakmuran bersama,” katanya.

Selain #WanitaKerja, manfaat lain yang akan diperoleh wanita secara langsung di bawah Belanjawan 2020 adalah peruntukan tambahan RM20 juta bagi Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) dan Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan yang menyediakan kemudahan jaminan baharu RM500 juta untuk usahawan wanita.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Wanita Islam Malaysia (PEWANIS), Wan Lotfiah Abdul Latiph tidak senada dalam hal itu dan berpendapat Belanjawan 2020 tidak menawarkan apa-apa yang baharu khusus untuk badan bukan kerajaan (NGO) wanita Islam.

Katanya, ada beberapa kelemahan dalam belanjawan itu untuk wanita walaupun ada beberapa penambahbaikan dari segi peruntukan dan penelitian ke atas undang-undang gangguan seksual.

Berita Harian X