Isnin, 23 September 2019 | 4:47pm
Buat pemeriksaan doktor untuk kenal pasti kemungkinan menghidapi sindrom MRKH. - Foto hiasan

Cabaran hidup wanita tanpa rahim

KUALA LUMPUR: Pelbagai peringkat kesukaran dilalui individu yang menghidap Sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) berikutan mereka dilahirkan tanpa rahim dan faraj, sekali gus menjadikan kehidupan golongan ini tidak seperti wanita lain.

Di peringkat usia remaja, pesakit MRKH bukan saja tidak pernah didatangi haid atau mengalami pertumbuhan fizikal dan luaran seperti kelaziman wanita akil baligh, tetapi masalah tidak datang bulan itu dianggap remeh.

Lazimnya mereka tidak dibawa pemeriksaan lanjut, diberikan diagnosis dan ubatan salah, selain ada dipersoalkan jantina serta seksualiti hinggakan ramai penghidap mengalami tekanan, kemurungan kerana rasa rendah diri.

Pengasas Kumpulan Sokongan MRKH, Nur Syazwani Abdul Rahim. - NSTP/Syakirah Azhar

Pengasas Kumpulan Sokongan MRKH, Nur Syazwani Abdul Rahim atau Wani Ardy, berkata cabaran itu terus diharungi hingga mereka ke peringkat dewasa berikutan tidak semua semua memahami mengenai MRKH, selain ia tidak dialami kebanyakan wanita.

“Oleh itu, saya mewujudkan Kumpulan Sokongan MRKH Malaysia pada 2015 bertujuan mengumpulkan wanita ‘istimewa’ supaya golongan ini tidak terasing, dapat tampil untuk rawatan dan saling memberikan inspirasi untuk kehidupan positif.

“Sehingga hari ini sudah ada 84 wanita dari Malaysia dan 10 wanita dari Indonesia menyertai kumpulan sokongan ini dan masing-masing saling memberikan sokongan, berkongsi pengalaman serta cabaran, kerana MRKH perlu difahami semua masyarakat,” katanya kepada BH.

Beliau yang juga penulis buku, penyair, dan aktivis MRKH berkata, wanita dalam kelompok ini sering diremehkan oleh segelintir masyarakat serta diberikan ubatan yang salah oleh doktor kerana hanya dianggap sebagai masalah kelewatan darah haid.

“Doktor pula kebanyakannya tidak biasa dengan sindrom MRKH kerana ia begitu jarang berlaku dan cuma boleh disahkan jika seseorang itu menjalani pemeriksaan dengan pakar sakit puan melalui imbasan lanjut serta laparoskopi, barulah dapat disahkan tiada rahim dan faraj.

“Disebabkan kekurangan ini, kebanyakan golongan ini takut untuk mula membina hubungan dan apabila sudah lama mengenali, mereka tidak tahu waktu yang sesuai untuk berkongsi rahsia, selain berdepan kemungkinan ditolak, dikecewa dan dipermainkan,” katanya.

Katanya, masalah itu membuatkan ramai wanita MRKH takut untuk berkahwin dan memikirkan rumah tangga yang dibina tidak akan seperti diharapkan kerana bimbang dimadu atau diceraikan.

“Selain itu, kelompok wanita ini sering terganggu emosi dan mental kerana selain tiada rahim dan faraj, ada di antara mereka juga menanggung masalah kesihatan lain seperti masalah buah pinggang, tulang, pendengaran, dan jantung.

Beliau menegaskan jika seseorang remaja tidak didatangi haid selepas usia 17 tahun, ibu bapa harus bertanggungjawab membawanya berjumpa dengan pakar sakit puan.

Katanya, sebagai rujukan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) satu-satunya hospital di negara ini yang mempunyai pakar serta pengkaji sindrom MRKH.

“Selepas disahkan menghidap sindrom MRKH, hubungi MRKH Malaysia supaya mereka boleh dimasukkan ke dalam kumpulan sokongan. Dari situ mereka diberikan sokongan bagaimana menjalani kehidupan sebagai seorang gadis atau wanita MRKH.

“Dengan sistem sokongan yang kuat serta bantuan dari rakan-rakan MRKH yang lain, penghidap akan mampu untuk menjalani kehidupan normal.

“Menerima realiti dan membina keyakinan diri sudah tentu satu proses yang mengambil masa, tetapi ia sangat tidak mustahil dan sudah ramai wanita MRKH yang berjaya dalam karier serta memiliki keluarga bahagia,” katanya.

Berita Harian X